Follow if you like

Jun 4, 2016

Resepi Nasi Kerabu Kelantan yang sangat sedap!



Assalamualaikum...
Alhamdulillah bertemu lagi kita. Apa khabar semua rakan-rakan alam maya ita, semoga semuanya sihat-sihat selalu, senantiasa riang dan gembira.

Diam-tak diam, kita semakin hapir dengan bulan Ramadhan, tak sepelaung kata orang.. Pejam celik.. pejam celik dah masuk Ramadhan. Pasti anda semua dah bersedia nak merebut segala pahala yang telah di janjikan. Selamat beramal dan selamat menyambut Ramadhan Al Mubarak ita ucapkan kepada semua umat Islam di seluruh dunia.

Lama jugak rasanya dapur maya ita ni tak berasap kan..?
Ada yang dah rasa rindu ke?
Ok lah.. kerana dah lama dapur tak berasap.. hari ini ita sajikan dengan satu menu istimewa dari negeri Cik Siti Wan Kembang.

Kalau sebut Nasi Kerabu, pasti semua dah terbang melayang-layang ke negeri yang popular dengan gelaran Serambi Mekah ni kan..
Nasi kerabu adalah menu yang cukup sinonim dengan negeri Kelantan. Ia merupakan makanan yang sering di sajikan untuk sarapan pagi, makan tengahari, atau sebagai hidangan keramaian.
Nasi yang unik dengan warna biru ini adalah terlalu rumit penyediaannya. Oleh itu tidak hairanlah ramai yang lebih suka membeli sahaja daripada membuatnya.




Biasanya nasi kerabu berwarna biru. Namun ada juga yang membuat nasi kerabu kuning. Warna biru ini adalah dari warna bunga telang yang di rendam untuk mendapatkan warna biru yang original. Namun di sebabkan agak sukar nak dapatkan bunga telang, maka ramai yang menggunakan pendekatan lain dengan hanya menggunakan pewarna biru untuk mendapatkan warna biru pada nasi yang unik ini.

Kebiasannya di Kelantan merka tak panggil nasik kerabu biru, sebaliknya memanggilnya nasi kerabu hitam. Itu adalah gelaran yang seringkali ibu mertua ita lontarkan setiap kali suami memesan nasi kerabu.
" nak hok itae atau hok putih?"
itulah pertanyaan dari ibu mertua yang membuatkan ita tahu gelaran nasi kerabu hitam lebih mesra di kalangan mereka.


Walaupun ita telah hampir 23 tahun menjadi menantu orang Kelantan dan sering ke Kota Bahru, namun serius ita katakan ita tak pernah sekali menjamah nasi kerabu. Tak tahu kenapa.. ita rasa macam pelik bila lihat nasi berwarna biru. Pernah dulu ita tanya pada suami, seawal usia perkhawinan kami dan ketika kali pertama menjejakkan kaki ke negeri pantai timur ini.
"  nasi ni letak nila ke? "
Bederai tawa suami bila lihat ita tanya soalan yang mungkin tidak masuk akal baginya. Ialah manalah ita pernah jumpa nasi warna biru. Kalau kat Johor ni memang tak jumpalah kan.. kalau nasi hujan panas atau nasi minyak tu adalah... Bila di terangkan dengan panjang lebar barulah ita faham. Tapi anak tekak ita masih lagi tak boleh menerimanya.


Entah kenapa bila terpandang bunga telang yang galak berbunga di tepi rumah, terus teringin pula nak mencuba.
Penyediaannya memang agak rumit kerana banyak bahan makanan sampingan yang perlu di sediakan. Ada juga bahan yang agak sukar di jumpai di Johor seperti lada hijau untuk membuat solok lada. Kalau di Kelantan mereka menggunakan lada yang warna hijaunya cukup muda atau cerah, tapi kat Johor memang tak jumpalah lada tu.. rasanya lada macam tu di bawa masuk dari selatan Thailand.

Untuk ulamnya pula ita kurang satu bahan iaitu kacang botol. Puas cari di pasar hingga semua pasar ita pergi, tapi tak nampak kelibat kacang ni.. kalau kita tak cari.. berlambak-lambak lah pulak... bila nak guna mesti tak ada.. Tak apalalah.. lagi pun anak-anak pun bukannya makan sangat kacang botol tu.. ita guna bahan mana yang ada aje..

Resepi ini ita ambil dari beberapa rujukkan, ada yang ita ambil dari internet dan ada juga rujukan dari buku. Namun bila di himpunkan.. serius ita katakan resepi ini sangat sedap! ruginya ita tak mencuba makan nasi kerabu 23 tahun yang lalu.. sedap rupanya nasi kerabu ni..

Cara memasaknya memang agak rumait, tapi ita akan cuba bantu anda masak seringkas yang boleh. Yang penting mesti ada persedian, agar kerja memasak menjadi mudah dan lancar.
Jom kita mulakan.


NASI KERABU

Sebelum memasak nasi kerabu ni, kita kena pastikan semua bahan telah tersedia. Kalau tak cukup bahan kenalah cari di pasar atau kedai. Kita juga kena senaraikan apa menu sampingan yang di makan bersama. Supaya tak ada banhan yang tertinggal pulak nanti. Ok di sini ita senaraikan menu sampingan yang di makan bersama



  • Nasi Biru
  • Gulai atau kuah tumis
  • Sambal kelapa atau serunding ikan
  • Sambal lada
  • Daging bakar
  • Solok lada
  • Ikan goreng celup tepung
  • Ulam-ulaman
  • Kerupuk ikan
  • Telur masin
  • Budu


Wah! naik juling biji mata bila lihat senarai menu yang perlu di sediakan kan..
Jangan risau jika kita buat persedian dan perancangan, kerja memasak yang rumit akan menjadi mudah dan ringkas.

Mula-mula kita sediakan daging bakar dulu. Daging ni perlu di perap semalaman sebelum di bakar. Ini bertujuan supaya segala rempah ratus tu serap dalam daging, dan menghasilkan daging yang enak untuk di nikmati. Jom kita intai bahan-bahan yang kita perlukan.


DAGING BAKAR
Rujukkan : Yutube

500 gm daging batang pinang ~ cuci bersih

Bahan Sangai
1 sudu teh jintan manis
2 sudu teh jintan putih
~ bahan ini di sangai atau goreng tanpa minyak

Bahan kisar
3 tangkai cili kering ~ potong, rendam lembut dan cuci bersih
5 ulas bawang merah
2 inc halia
1/2 inc lengkuas
1 inc kunyit hidup
3 batang serai
Gula dan garam secukup rasa


Daging cuci bersih dan toskan
Sangai atau goreng tanpa minyak jintan manis dan jintan putih
Satukan semua bahan dalam mesin pengisar, tambah sedikit air  dan kisar hingga lumat
lumurkan pada daging
Tutup bekas dan simpan dalam peti ais semalaman
Esoknya, bolehlah bakar.
Anda boleh bakar dengan oven atau menggunakan dapur arang. Kalau nak bakar dalam magik pan pun boleh.

Sekarang kita nak sediakan gulai atau kuah tumis pulak. Jika kita nak sediakan nasi kerabu ni sebagai sarapan pagi, sebaiknya gulai ni kita masak di malam hari sebelumnya. Sebab gulai ni lagi lama lagi sedap!. lagi pula ia memudahkan tugasan kita untuk keesokkan harinya pulak. Jom kita mula menumis.


GULAI TUMIS ATAU KUAH TUMIS
Rujukkan : Nasi Kerabu Ummi

1 cawan santan pekat ~ ita guna KARA
7 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
3 labu bawang besar
15 tangkai cili kering
1 cm halia
1 batang serai ~ di titik
1 keping asam keping
3 sudu besar budu
sedikit gula Melaka
gula secukup rasa
garam secukup rasa


Cili kering, potong kecil dan rendam hingga lembut.
Satukan cili kering, bawang merah, bawang putih dan halia. Kemudian kisar dengan sedikit air


Panaskan minyak dalam kuali
Tumiskan bahan kisar  dan serai yang di titik hingga garing
Tambahkan air jika kuah terlalu kering
Kemudian masukkan santan
Biarkan ia merenih sebentar sambil di kacau supaya santan tak pecah minyak
Kemudian masukkan asam keping, budu dan gula melaka
Akhir sekali perasakan gula dan garamnya secukup rasa
Biarkan kuah pekat.

Setelah kuah siap, bolehlah kita goreng kerupuk ikan dan rebuskan telur masin. Bahan ini kita sediakan 1 hari awal supaya persedian kita untuk memasak esok hari lebih mudah dan ringkas.



Hari kedua kita bolelah sediakan bahan yang lain pula.
Kita mulakan dengan merebus dahulu ikan kembung untuk membuat sambal kelapa dan solok lada.
Kita buat sambal kelapa dahulu lah ya.


SAMBAL KELAPA ATAU SERUNDING KELAPA IKAN

1 ekor ikan kembung
1/2 biji kelapa parut ambil putih sahaja
4 ulas bawang merah
2 batang serai
garam dan gula secukup rasa


Ikan kembung, di siang, cuci bersih dan rebus.
Ita rebus 2 ekor terus sebab solok lada pun guna ikan kembung juga.
Ita letak asam keping dan garam sedikit ketika merebus ikan
Bila ikan dah empuk, angkat dan asingkan isinya.

Kelapa parut pula kita sangai dalam kuali tanpa minyak. Senantiasa kacau supaya kelapa tak hangus.
Bila dah masak, angkat.
Larikan 3 sudu besar kelapa untuk buat solok lada.


Bawang merah dan serai di tumbuk lumat
Isi ikan kembung juga di tumbuk lumat
Masukkan kelapa sangai dalam lesung dan tumbuk lumat juga
Gaulkan semua bahan yang di tumbuk
Perasakan dengan garam dan gula

Ita pula, goreng semula kelapa ini dalam kuali sebab ita tak boleh makan bawang mentah yang tak masak.

Dah siap sambal kelapa kita buat solok lada pula


SOLOK LADA

7 tangkai cili hijau
1 ekor ikan kembung
3 sudu besar kelapa parut yang telah di sangai
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inc halia
1 sudu teh lada hitam
1 cawan santan
garam dan gula secukup rasa
asam limau

Cili hijau kita belah tengah dan buang bijinya
Ikan kembung rebus dan asingkan isinya
Kelapa parut di sangai ~ ambil dari sangai kelapa parut untuk sambal kelapa


Tumbuk lada hitam, bawang merah, bawang putih dan halia hingga lumat
Kemudian tumbukkan pula isi ikan kembung
Tumbukkan juga kelapa yang telah di sangai tadi
Satukan dalam mangkuk, perasakan dengan garam dan gula secukup rasa
Jika terlalu kering, perahkan asam limau atau boleh juga letakkan air asam

Lada kita belah 2 dan buang biji tengahnya
Sumbatkan kelapa dan ikan tadi dalam lada hingga penuh
Susun dalam periuk
Tuangkan santan
Rebus hingga masak
Boleh juga di kukus

Ok bila dah siap bolehlah kita tanak nasi pula


NASI BIRU BUNGA TELANG

1 gengam bunga telang
2 1/2 cawan beras
3 cawan air rendaman bunga telang
5 helai daun limau purut ~ di koyak-koyak
1 batang serai ~ di titik
garam secukup rasa


Bunga telag, cuci bersih
Masukkan dalam bekas berisi air dan ramas-ramas
Biar seketika
Kemudian tapis


Beras di cuci bersih
Toskan
Tuangkan air rendaman bunga telang
Biar sebentar hingga warna serap pada beras
Masukkan serai, daun limau purut dan garam secukup rasa
Tanak nasi seperti biasa

Sementara tunggu nasi masak, bolehlah bakar daging yang kita dah perap semalaman.
Sementara tunggu daging dan nasik masak, kita sediakan air lada



AIR LADA

10 tangkai cili padi
sedikit gula Melaka
Sedikit garam
sedikit gula
2 biji limau kasturi


Satukan semua bahan dan kisar
Atau jika suka kasar boleh tumbuk lumat
Perahkan asam limau

Ok air lada dah pun siap, sekarang kita nak sediakan ikan celup tepung pulak


IKAN CELUP TEPUNG RANGUP

2 ekor ikan kembung ~ di siang dan cuci bersih
1 cawan tepung beras
1 sudu besar tepung gandum
secubit garam
1 biji telur
1 sudu besar air kapur makan
1 sudu teh kunyit
air secukupnya



Satukan semua bahan kecuali ikan kedalam mangkuk
Kacau adunan rata, adunan tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair
Bila kita celup sudu adunan melekat pada sudu
Masukkan ikan dalam adunan
Panaskan minyak dalam kuali
Minyak kena panas, kalau tidak ikan serap minyak
Ambil ikan yang telah di celup tepung dan goreng
Balik-balikkan
Angkat setelah masak
Celup semula ikan yang dah goreng dalam adunan tepung dan goreng semula
Bermakna kita goreng ikan 2 kali
Angkat setelah ikan garing
Baki adunan , kita renjis dalam kuali untuk jadikan kerupuk yang rangup.

Dah pun siap ikan kita sekarang kita sediakan pula ulam ulaman


ULAM ULAMAN

1 batang timun ~ potong bulat kemudian hiris halus
1 kuntum bunga kamtan ~ belah 4 dan hiris halus
5 batang kacang panjang ~ hiris halus
2 kelopak kubis ~ buang batang tengah dan hiris halus
Daun kesum ~ hiris rampai
3 batang kacang botol ~ potong 2 hiris halus
1 mangkuk taugeh

Semua sayur-sayuran ni cuci besih dahulu, kemudian keringkan
Potong atau hiris halus sayur-sayuran dan ulam-ulaman kecuali taugeh
Satukan dan gaul rata

Alhamdulillah siap dah set hidangan nasi kerabu kita. Jika nak enak lagi boleh lah tambahkan budu. Mudah aje buatnya, tuang budu dalam mangkuk, hiris bawang merah dan cili padi, perahkan asam limau dan boleh di nikmati.


Walaupun penyediaannya agak rumit dan renyah.. tapi bila dah terhidang atas meja rasa seronok sangat.... Bertambah seronok bila anak-anak dan suami makan bertambah-tambah.

Pada kawan-kawan yang nak cuba boleh lah cuba. nampak memang renyah sikit, sebab banyak nak kena sediakan , tapi bila kita buat perancangan.. kerja yang rumit menjadi mudah dan ringkas.

Selamat mencuba dan selamat menjamu selera.









10 comments:

halimah basirah said...

Resepi ni utk berape org mkn ye?

Wan Qahhar said...

10 org kot sis

jue lia said...

wahhhh perfecto.. nk try utk rye nnt heeee

` Wan Nor yusmiza ` said...

Menyelerakan.tq atas resepi..

Pawana Bayu said...

Terima kasih banyk2 Ita sbb bagi step by step cara penyediaan Nasi Kerabu ni. Mmg perfect dari nasi, lauk, tumis and rencah !

Noor Ridah said...

Mohon share resepi. Tq.

rozipeni said...

Tina kasih atas resepi nasi kerabu INI....seronok tgk husband n ank puji...makan bertambah2.. X sangka sy dah pandai buat solok lada

idachalo said...

dah 7 tahun duk Kota Bharu, tak pernah langsung buat Nasi Kerabu sendiri. Agaknya sebab mudah sangat nak dapat, sampaikan takde rasa nak belaja buat sendiri.hehe

Tapi bila balik Sabah, malu gak bila orang tanya cara buat nasi kerabu tapi tak pandai. Padahal duk Kelantan dah berkurun.haha

Cik strawberry said...

2 jam lebih masa penyediaan..sakit pinggang. Hihi...tq atas resepinya 😄😄

Suhaily ahmad juffri said...

Pernah ikut kawan buat nasi kerabu ni, memang nampak renyah, ambil masa. Betul tu kena ada perancangan, atau delegate kerja dengan adik beradik 😄

Powered by Blogger.