Follow if you like

Oct 3, 2015

Minnie Mouse Cake Tutorial


Hari ini ita belajar satu lagi cara atau kaedah menyediakan kek 3 D bentuk muka Minnie Mouse. Ita dapat tempahan kek ini semalam untuk majlis hari lahir. Pada mulanya ita risau juga bagaimana nak menyediakan kek ini, kerana ianya adalah percubaan ita yang pertama.

Oleh kerana ita tiada kemahiran asas dalam pembuatan kek, maklumlah nak belajar yurannya juga agak mahal. Kerana itu ita harus mencari sendiri bagaimana nak menyediakan kek sebagaimana permintaan customer ita. Bak kata perpatah, kalau tak pecahkan ruyung manakan dapat sagonya.

Kek ni nampak macam mudah, tapi sebenarnya agak sukar terutamanya pada bahagian lekuk. Kesukaran untuk meratakan fondant pada bahagian yang sukar di celah-celah dan bucu-bucu.
Kek ni dalamya adalah kek vanilla dan di layerkan dengan cream vanilla dan strawberry compot. Untuk bahagian luar ita salut dengan ganache coklat. Ada yang tanya boleh tak kita gunakan buttercream untuk salut kek fondant ? boleh .. tapi jika menggunakan coklat ganache lebih kukuh bentuknya.



Hari ini ita terangkan bagaimana ita menyediakan kek ini. Kaedah penyediaannya ita rujuk dari Youtube di SINI
Ita masih lagi mengikut kaedah ita menyediakan kek 3D kereta seperti di SINI

Mula-mula ita sediakan 1 biji kek vanilla berukuran 8 inc berbentuk bulat untuk muka, dan 2 biji kek bulat untuk telinga berukuran 5 inc. Ini bermakna ita perlukan 3 biji kek. Tinggi kek ini 3.5 inc.

Seperti biasa ita akan google untuk dapatkan bentuk minni mouse yang ita nak buat nanti. Ita akan print saiznya sama besar atau semuat kek yang telah ita sediakan tadi.



Kemudian kita potongkan ukuran ini untuk mudah kita bentuk pada kek nanti
Ribon besar pada bahagian kepala itu ita buat 1 atau 2 hari awal supaya ia keras dan terletak bila di susun atas kek nanti.
Untuk tutorial membuat ribon anda boleh rujuk di SINI

Mula, ita layerkan dahulu kek ita dengan cream dan strawberry. Jika rujuk pada tutorial,beliau potong dahulu kek bentuk muka minni dahulu, kemudian baru layerkan dengan krim, tapi ita lebih suka layerkan dahulu baru ita potong mengikut bentuk. Ita rasa ianya lebih mudah tapi terpulang pada keselesaan anda. Anda boleh lihat kaedah memotong dan melayer kek di SINI

Setelah siap di layer, ita simpan dalam peti ais supaya kek keras dan mudah di potong serta di bentuk. Bila dah keras, barulah kita bentukkan mukanya. Ambil gambar mini yang kita dah potong tadi, letakkan atas kek dan potonglah mengikut ukuran kepalanya. ( buat kek bentuk muka 8 inc ) Kemudian salutkan dengan ganache dan simpan dalam peti ais.
Untuk 2 biji kek bahagian telinga ita terus salutkan dengan ganache dan simpan dalam peti ais hingga keras.

Bila ketiga-tiga kek dah keras barulah ita cantumkan bahagian telinga. Potong sedikit bahagian telinga supaya cantik terletak atas kepala. Letakkan sedikit ganache dan lekatkan kedua-dua telinga.
Simpan dalam peti ais hingga keras.

Sementara itu kita bancuh dan roll fondant dengan warna yang kita suka, untuk balut pada kek.


Setelah kek kita keras, bolehlah kita mulakan proses membalut fondant pada kek.
Ramai yang bertanya, bila kek keluar dari peti ais ia akan berpeluh dan menyukarkan proses membalut kek dengan fondant. Cara ita, ita keluarkan kek 15 minit awal sebelum ita balut kek. Biasanya ita membalut kek dalam bilik yang berhawa dingin. jadi tak ada masalah sangat. Tapi tak apa, jika tak ada, anda keluarkan dahulu kek 15 minit awal, bila kek berpeluh ambil tisu dan lapkan peluhnya. Biarkan sehingga suhunya turun sedikit dan peluh dah kering baru balut dengan fondant.

Sekarang kita canaikan fondant dan balutkan kek. Anda boleh rujuk kaedah membalut fondant di SINI
Ratakan dan kemaskan semua bahagian tepi, bahagian penjuru dan celah-celah bulatan telinga.
Bila dah kemas barulah potong dan buangkan bahagian lebihan fondant. Gunakan alat meratakan fondan dan tepung jagung untuk meratakan fondant dengan lebih mudah.

Kemudian canaikan fondant hitam, dan buatkan bentuk bulatan yang sama besar dengan kek ukuran 4 inc tadi, rujuk gambar.
Sekarang kita nak potong bahagian muka. Bahagian ini yang agak sukar sikit. Ukur dahulu dan centerkan bahagian muka dengan menggunakan contoh gambar yang kita dah print tadi. Bila dah pasti kedudukkannya barulah potongkan bahagian hitam pada kepala dan juga bahagian muka dengan warna ivory.

Sekarang kita tinggal tambahkan mata, hidung dan mulut. Kemudian kemaskan tepinya dengan tali halus dari fondant atau gumpaste.

Hiaskan tepi dengan tali, letakkan dot-dot putih di bahagian tepi dan akhir sekali letakkan ribon besar di atas kepala


Tadaaaaa..... dah pun siap!
Semoga perkongsian ini memberikan pengalaman dan ilmu baru untuk kita semua.
Selamat mencuba




2 comments:

Ruzana Ibs said...

Anak saya cakap : Fuyoo, cantiknya. Mama nak buat ke?
Hehe... Mama belum pandai macam Aunty Azlita..

May May said...

Hebat

Powered by Blogger.