Feb 26, 2013

TART BUAH-BUAHAN


Assalamualaikum

Selamat petang, dan selamat beristirehat.. buat semua suri rumah-suri rumah..
Biasa kalau suri rumah masa ni lah baru dapat nak melelapkan mata.. nak santai-santai sambil menonton TV ya tak?

Tapi masih banyak lagi urusan yang belum siap.. mana nak angkat kain di ampaian.. nak melipat baju.. atau mungkin ada yang sedang memikirkan apalah juadah untuk makan malam atau minum petang ni..


Hari ni ita nak  kongsikan satu lagi resepi hebat dari bloger yang ita cukup kagumi bakatnya.. Seorang wanita yang cukup berseni dan sangat kreatif.. yang paling utama beliau sangat rajin.. setiap resepinya pasti membuatkan sesiapa yang melihat meronta-ronta nak mencuba.. bagi yang tak punya cukup masa dek kesibukan urusan pejabat.. pasti tak akan melepaskan peluang untuk menempah dari wanita yang satu ini..

Resepi ni dah lama ita skodeng di dapur beliau.. hati ni dok mencongak-congak.. nak buat ke tidak? Bila melihatkan kecomelannya tu.. macam tak sangup nak tunggu lebih lama lagi.. Tapi ita bimbang pula sejarah membuat biskut tembikai berulang semula.. huhu


Hari ni memberanikan diri mencuba.. Aduyaii.. tak lah susah sangat.. nampak macam susah tapi bila dah buat ok lah.. menyeronokkan.. lebih-lebih lagi bila melihatkan hasilnya..
Sebenarnya ita dah lama tak bermain dengan warna.. Ita ni sebenarnya suka sangat melukis.. Warna-warni adalah dunia ita.. seronok bila dapat melayangkan berus di kanvas.. dengan warna-warna yang sentiasa memberikan satu semangat dan kepuasan..

Tapi sekarang dah tak punya masa untuk berkarya.. Akhirnya tak dapat melukis di kanvas melukis di tepung pun jadilah.. kata orang nak lepas gian.. haha

Jom lah.. kita masuk dapur kita intai-intai resepi unik dan menarik ni.. dan amat sesuai untuk dijadikan hantaran atau buah tangan..


TART BUAH-BUAHAN
Resepi Oleh : Kak Wan 

250 gm mentega
60 gm gua icing
1 biji kuning telur
1 sudu teh esen vanilla
370 gm tepung gandum
30 gm tepung jagung

Bahan Hiasan 
Jam nenas sebagai inti
Pewarna mengikut warna buah-buahan
1 biji telur asingkan putih dan kuningnya
Cengkih sebagai tangkai
Bijan hitam sebagai hiasan
Royal Icing sebagai daun atau kudup

Satukan mentega dan gula dan gaul rata dengan senduk kayu sahaja
Masukkan kuning telur dan esen vanilla dan gaul rata
Kemudian masukkan tepung gandum dan tepung jagung yang telah di ayak terlebih dahulu sedikit-sedikit sambil terus menguli hingga menjadi doh yang lembut

Ambil sedikit doh, letakkan jam nenas atau jam strawberry atau blueberry atau apa-apa jam yang anda rasakan sesuai.
Jam tu kita bulat-bulatkan dahulu supaya lebih memudahkan dan melancarkan lagi urusan kita nanti.
Bentukkan seakan-akan buah-buahan yang anda sukai, seperti buah strawberry, apple, pear, jambu, labu, kiwi, mangga, nenas, pisang, manggis, orange atau apa-apa buah-buahan yang terlintas di benak fikiran.
Buat kemas-kemas.
Untuk buah yang berlekuk seperti pear atau abu, gunakan belakang pisau untuk bentukkan setiap lekukan.
Untuk nenas atau buah durian  anda boleh guntingkan sedikit doh untuk membentuk durinya
Setelah siap susun dalam dulang pembakar yang dilapik kertas pembakar.
Jom intai cara ita..


Bentukkan doh menjadi buah-buahan pilihan anda.. lagi banyak buah-buahan yang anda pilih lagi cantik dan menarik lah hasilnya nanti.. jangan sekat fikiran anda untuk berkreatif.. anda boleh mencuba pelbagai-bagai jenis buah-buahan yang anda suka dan anda rasakan ianya comel.. ^___^



Bila dah siap semuanya di bentuk, sekarang bolehlah di warnakan. Gunakan warna -warna yang menarik dan hampir-hampir serupa dengan buah yang asli. Warna yang digunakan adalah warna cecair atau gel.. mana-mana pun sesuai..

Gunakan berus yang sesuai, berus khas untuk makanan pastikan yang halal ya!!
Boleh ratakan dengan air sekiranya warnanya pekat.. Buat sama macam kita buat lukisan masa di bangku sekolah dahulu.. ingat lagi tak? @___^





Bila dah siap warna, keringkan sekejap sebelum kita sapukan pula dengan putih telur supaya ia nampak sedikit berkilat.
 
Selepas tu boleh lah kita letakkan tangkai. Untuk tangkai ita gunakan bunga cengkih.
Bagi buah yang ada biji-biji di luar tu.. macam strawberry, bolehlah kita letakkan bijan sebagai hiasan buah.
Bagi buah yang berdaun, jangan letak daun dahulu, sebaliknya kita bakar dahulu
Bakar dalam ketuhar pada suhu 140C selama 25 minit.
* kalau masa bakar nampak macam dia nak merekah, cepat-cepat turunkan suhu ketuhar..

Bagi kak Wan beliau akan salutkan semula doh yang dah 1/2 masak dengan kuning telur pula. Tapi ita tak buat la.. ita ni buat untuk makan sendiri aje... bagi yang nak buat boleh buat.. ia sebenarnya untuk mengukuhkan lagi kelekatan warna tu pada doh kalau tak.. dia akan mudah tanggal..

Bila dah siap bakar sejukkan sekejap kemudian letakkan daun atau kudup buah dari gula icing.

Kemudian kita bakar semula untuk keringkan Royal Icing tu.. tak lama ya masa membakarnya dalam 10 minit dengan suhu oven yang rendah iaitu 120C


Royal Icing
1 biji putih telur
90 gm gula icing
1 sudu besar tepung jagung
1 sudu teh jus lemon

Satukan semua bahan dan putar hingga ia putih dan likat
Letakkan pewarna, letakkan dalam piping bag dan bolehlah di paipkan pada tart buah tadi
Bakar semula doh selama 10 minit pada suhu 120C


Terima kasih Kak Wan, kepada rakan-rakan semua.... Selamat Mencuba!!





Feb 25, 2013

KEK GULUNG MOCHA MARMAR

Assalamualaikum


Apa khabar semua rakan-rakan yang ita kasihi sekalian.. Semoga semuanya sihat dan ceri-ceria selalu dalam menjalani rutin seharian dan melaksanakan tanggungjawab yang terpikul.
Alhamdulillah kita masih lagi dapat bersua walaupun lewat papan skrin komputer..  sahaja
Bagaimana perjalanan hidup kita sehari-hari.. semoga Allah sentiasa melindungi kita semua dan sentiasa mencucuri rahmat buat sekalian umat Nabi Muhammad SAW.

Bercuti panjang memang buatkan ita terasa sunyi.. Sunyi dan sepi dari perkhabaran rakan-rakan diluar sana.. tapi apakan daya.. ita tak sihat untuk melaksanakan rutin seperti biasa. Maaf andai ada yang tertunggu-tunggu balasan email dari ita, atau ada yang mungkin tertunggu-tunggu resepi terbaru..


Ita juga manusia biasa yang sering diuji olehNya. Ada kala sihat ada kala diberikan ujian sedikit kesakitan.. Semuanya untuk menguji sejauh mana ita dapat bersabar dengan ujianNya ini..
Ita sentiasa berdoa agar ita segera sembuh dan pulih seperti sedia kala..

Sebagai suri rumah, walaupun tak sihat rutin seharian tetap diteruskan.. masih lagi memasak untuk keuarga maklumlah ita tak punya orang gaji.. jadi semua urusan rumah terpaksa ita laksanakan walaupun kesihatan tak mengizinkan.

Oklah ita pun tak boleh nak sembang panjang-panjang.. mengadap komputer ni pun dah buatkan kepala ni berdenyut-denyut semula.. nanti kalau dah sihat sepenuhnya bolehlah kita sembang..

Ita tinggalkan anda semua dengan resepi kek gulung.. Selamat mencuba!! dan Happy Cooking


KEK GULUNG MOCHA MARMAR

Bahan A
5 biji kuning telur
100 ml minyak Mazola
65 ml susu cair
1 sudu teh esen vanilla

Bahan B
100 gm tepung
1/2 sudu teh soda

Bahan C
5 biji putih telur
100 gm gula kastor
1/2 sudu teh serbuk tarta

Bahan D
50 ml air panas
20 gm serbuk koko
10 gm Nescafe

Inti
Krim putar bukan tenusu perasa coklat
* kalau tak ada boleh putarkan krim putar bukan tenusu dicampurkan dengan ganache coklat
atau putar krim putar bukan tenusu di campurkan dengan Nutella

Dalam satu bekas, satukan bahan A dan gaul dengan spatula atau whisk hingga bergaul rata.
Campurkan bahan B yang telah di ayak dan gaul rata, ketepikan

Dalam bekas lain, putar putih telur hingga berbuih, tambahkan gula kastor dan serbuk tarta dan putar hingga kental dan bertanduk

Kaup balik adunan putih telur ke dalam adunan tepung hingga rata
Bahagikan adunan kepada 2 bahagian

Bahan D di satukan
Masukkan bahan D dalam satu daripada adunan yang telah diasingkan tadi dan gaul rata

Sediakan loyang 25x35cm, alas dasarnya dengan kertas kek dan sapukan dengan butter
Tuangkan adunan ke dalam loyang secara berselang seli.
Dengan menggunakan belakang sudu buatkan marble
Bakar pada suhu 160 C selama 20 ~ 25 minit
Sejukkan setelah masak

Letakkan inti pada kek dan gulung kemas
Balut dengan kertas minyak dan simpan dalam peti ais semalaman




Feb 24, 2013

Kini semua orang boleh memasak..


Assalamualaikum, buat sahabat-sahabat yang ita kasihi sekalian.. lama tak bersiaran terasa rindu pula nak ke udara. Namun masa dan kesihatan tidak mengizinkan. Ita mohon ampun dan maaf andai lama membuatkan rakan-rakan ternanti-nanti resepi terbaru dari dapur Masam Manis.

Semenjak dua menjak ni ita tak berapa sihat, keadaan cuaca yang tak menentu di Johor Bahru ni memburukkan lagi kesihatan.. bertambah-tambah lagi ita terpaksa menyiapkan beberapa tugasan yang telah di janjikan. Bila dah berjanji terpaksalah ditunaikan.. janji ditepati.. tak gituuu..

Ita juga mengambil kesempatan di masa yang terbatas ini, untuk memohon maaf dari hujung rambut ke hujung kaki kerana banyak sangat email dan msg yang ita tak sempat nak balas. Insyaallah jika ada kesempatan ita cuba balas setiap msg dan email yang diutarakan.


Berbalik pada entry ita kali ini, ita nak bawa semua rakan-rakan meninjau-ninjau bengkel Meriahnya Nasi Arab Siri 1 kelolaan Oliez Academy bersama Chef Ustazah Wan Habsah. Bengkel yang berlansung dengan jayanya sehari di Mom Bakehouse telah dihadiri oleh beberapa peserta yang berminat untuk mengetahui rasia penyediaan Nasi Arab yang enak dan lazat dari pakar masakan..

Di kesempatan ini ita juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih yang tak terhingga kepada Pn Siti Zaleha selaku penganjur dan Chef Ustazah Wan Habsah kerana telah sudi mengundang ita turut serta memeriahkan lagi bengkel yang cukup istimewa ini. Semoga setiap ilmu yang disampaikan memberikan maanfaat yang cukup besar kepada semua. Ita juga berharap setiap peserta mempratikkan setiap ilmu yang di ajarkan oleh Ustazah agar kita sama-sama dapat menghidangkan suatu menu yang cukup istimewa buat suami dan anak-anak tersayang...


Seperti biasa Ustazah akan mulakan kelas dengan memperkenalkan diri beliau dan pengalaman beliau. Merupakan seorang graduan dari Mu'tah University Jordan dan mendapat ijazah dalam bidang Syariah Dan Pengajian Islam. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran dalam bidang tersebut di Universiti Malaya untuk mendapat ijazah Sarjana (M.A). Beliau juga merupakan pendakwah bebas dan penceramah kepada krusus kekeluargaan Islam. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pensyarah di UiTM Shah Alam.

Sebenarnya pengalaman Ustazah cukup hebat, latarbelakang keluarga yang terlibat secara lansung dalam bidang perniagaan, membuatkan Ustazah mengambil keputusan untuk menumpukan perhatian kepada perniagaan yang dimilikinya. Kalau nak tahu lebih lanjut lagi kehebatan wanita ni, jangan lupa untuk menyertai bengkel kelolaan beliau.


Sebenarnya seronok menghadiri kelas Ustazah, setiap penerangan dijelaskan secara terperinci, supaya semua boleh memasak untuk keluarga.. Dengan resepi yang lengkap, panduan serta tip-tips dan beberapa pertua di dapur ita rasa selepas ni semua dah boleh merancang untuk memulakan perniagaan katering.


Sebenarnya kelas Ustazah kali ini berlansung 2 sesi. Nasi Arab di sebelah pagi dan pada waktu petang pula di ajarkan kaedah penyediaan ayam goreng dan bagaimana nak buat tepung goreng ayam ala-ala KFC yang rangup. Kerana masa yang cukup terbatas dan sebenarnya kesihatan ita pun tak mengizinkan untuk ita tunggu hingga ke petang. Walaupun ita rasa terkilan kerana tak dapat mengikuti kelas penyediaan ayam goreng namun ita cukup puas hati kerana dapat ilmu baru pada hari ini.

Banyak sangat ilmu memasak, panduan dan petua serta doa-doa yang baik untuk diamalkan oleh ibu-ibu dan suri rumah diajarkan oleh Ustazah. Insyaallah ita akan pratikkan setiap ilmu yang Ustazah ajarkan dan ita ucapkan ribuan terima kasih yang tak terhingga, semoga Ustazah di murahkan lagi rezeki dan sentiasa di berikan kesihatan yang baik untuk terus mencurahkan ilmu.

Jom kita intai-intai gelagat para peserta..


Hidangan yang di sediakan wow!! tangkap leleh
  • Nasi Mandhy Ayam
  • Salatoh Adi
  • Sambal Harrah
  • Kambing Tandoori
  • Idam
  • Nasi Kabsah
  • Red Roasted Mandhy
  • Fruit salad
  • Syurbah
  • Ayam bakar 

Terima kasih kepada semua.. semoga kita sama-sama mendapat manfaat dari ilmu yang di pelajari. Ampun dan maaf andai ada yang terkurang atau ada antara tutur bicara yang menguris perasaan.. Ita seronok dapat mengenali anda semua.. semoga kita dpat bertemu lagi di bengkel yang lain pula..


Ustazah Cooking Classes
Fatha Marketing
No 6, Jalan Hilir 4
Taman Ampang Hilir
6800 Ampang Selangor

Tel: 013-9802465 / 013-9062465
email : wanhabsah01@yahoo.com
http://yeshalalmarketing.blogspot.com./
http://kedaiarabustazahonline.blogspot.com./

Untuk mengetahui kelas-kelas lain boleh hubungi Pn Siti Zaleha di talian : 0197550154



N3 berbayar

Feb 10, 2013

Selamat Tahun Baru Cina


Selamat menyambut tahun baru Cina kepada semua rakan-rakan ita yang berbangsa Cina. Bagi kita rakyat Malaysia yang berbilang kaum, inilah keistimewaannya negara kita kerana dapat menyasikan kemeriahan sambutan perayaan setiap bangsa.

Seperti biasa kalau Tahun Baru Cina, kawasan rumah ita ni dah jadi macam pesta. Malam sambutan memang tak dapat lelapkan mata, bunyi mercun berdentam-berdentum seakan kita berada di medan peperangan pulak! Tapi memang seronok, pesta bunga api yang hanya dapat disaksikan setahun sekali. Itulah simbolik perayaan mereka..

Apa yang menghairankan.. tak ada pulak yang cedera putus jari ke.. putus tangan ke.. walaupun mercun yang di main ala-ala peluru dan ledakan meriam..


Selain Hari Raya, Tahun Baru Cina juga merupakan cuti umum bagi rakyat Malaysia, dan cuti Raya Cina juga agak panjang. Ita rasa pasti ramai yang telah pun selamat pulang ke kampung masing-masing. Bagi yang meninggakan rumah tu, pastikan keselamatan rumah di jaga. Disamping itu kenderaan juga hendaklah dipastikan selamat untuk perjalanan yang jauh.

Ok lah sempena Tahun Baru Cina, ita sediakan kuih tart gulung, entahlah tekak ni teringin pula nak makan kuih tart, bila terpandang beberapa rakan blogger berbangsa Cina yang menyambut perayaan ini menayangkan kuih tart masing-masing..

Daili lah yang paling suka, kerana inilah biskut raya kegemarannya. Ita buat 2 adunan, satu ita letakkan inti jam nenas dan satu lagi ita letakkan jam bluberry.  Intinya pula ita beli yang ready made aje jual kat kedai bahan kek. Jom lah kita cuci mata..

TART NENAS GULUNG
by: Kak Anim

4 oz butter - 115 gram
4 oz minyak sapi - 115 gram
1 biji telur gred B
1 lb tepung gandum -450 gram
sedikit garam
air sejuk


Pecahkan telur di dalam bekas adunan,
Masukkan butter dan minyak sapi
Gaul hingga sebati dengan hanya menggunakan whisk
Masukkan tepung sedikit demi sedikit.
Akak tidak menggunakan air sejuk tapi setelah adunan menjadi doh letakkan sebentar di dalam peti ais.
Guna acuan seperti gambar di bawah.
Tekan adunan dan bentukkan tart mengikut kesesuaian anda.
Jika letak inti yang banyak maka dapatlah tat yang tebal.
Bakar pada suhu 170C-180C selama 20-25 min

JAM NENAS
 by: Kak Anim

10 biji nenas-di sagat dan toskan airnya
3 kampit gula
sedikit pewarna kuning
kacau nenas dan gula
Bila hampir kering masukkan pewarna kuning.
Kacau hingga kering dgn api yang perlahan
Ini adalah cara bagaimana ita buat tart bunga ni 
Untuk tampok bunga yg warna hijau tu ambil sedikit doh dan letakkan sedikit pewarna hijau. 



Untuk tart Bluberry Roll ni, ita letakkan paste bluberry dalam adunan doh. Ita juga gantikan dengan bluberry jam sebagai intinya. Fillingnya ni ita beli yang dah ready made di kedai bakery.



Feb 8, 2013

Cetusan RASA bloger masakan..


Assalamualaikum, dan salam sejahtera kepada semua rakan-rakan ita yang masih sudi menjenguk dan mengintai-intai Masam Manis. Semoga kalian di limpahi rahmat, beroleh kesihatan yang baik dan sentiasa dimurahkan rezeki insyaallah..

Pasti ramai antara rakan-rakan diluar yang telah tahu akan kemunculan majalah RASA edisi bulan Mac 2013. Apa yang ingin ita ceritakan tentang menariknya  majalah RASA bulan ini adalah apabila blogger masakan diberikan penghormatan untuk muncul dalam majalah masakan yang telah lama bertapak di Malaysia ni dan cukup gah serta di minati ramai.

Siapa lah yang tidak kenal dengan blogger otai Adnan Ibrahim atau cukup mesra di sapa Mat dikalangan rakan terdekat dan nama Mat Gebu cukup melekat di sanubari pencinta masakan. Siapakah gerangan jejaka yang sering bersembunyi di sebalik tepin birunya itu..? Inginkan jawapan..? Jangan lupa dapatkan majalah RASA bulan ini.. pasti anda juga ingin ketahui apakah pesona Mat Gebu...??


Anda peminat bloger kecil molek cik Siti Delima yang sering mengukir senyuman manis... Pasti ramai peminat Siti diluar sana yang ingin berkenalan lebih rapat lagi dengan Siti dan keluarga. Buat julung-julung kalinya ita rasa kemunculan Siti kali ini di temani keuarga tersayang dan yang pasti suami  yang merupakan tulang belakang dan pengalak utama turut berada disisi menemani Siti kali ni. Bagi mereka yang ingin mendekati kak  Siti Delima kita ni.. dan mengenali lebih rapat lagi keluarga bahagia ini.. jangan teragak-agak untuk dapatkan senaskah majalah RASA selagi stock masih ada..

Beliau adalah wanita yang cukup ita kagumi bakat dan keikhlasan beliau berblog. Blog beliau Citarasawan merupakan blog yang sering ita terjah terutamanya bila ita ingin dapatkan resepi istimewa untuk hari-hari yang cukup istimewa. Dahulu ita hanya mengenali kak Wan Rogayah atau lebih mesra di sapa kak Wan melalui karaktor kartun comel bertudung. Ita sering terbayang-bayangkan wajah kak Wan disebalik kartun comel itu.. Bakat beliau memang tidak dapat disangkal lagi. Rajin sungguh wanita cekal ini menerima tempahan yang tak putus-putus dan tidak lokek pula berkongsi resepi jualannya. Ular menyusup akar tak akan hilang bisanya.. betul kan kak Wan??

Beginilah caranya untuk mendapatkan gambar yang terbaik.. Bukan mudah kan.. berpeluh-peluh dibuatnya..

Ita mengenali blog 1001 Cerita 1001 Rasa, di awal-awal ita berblog. Pada waktu itu ita ingin benar-benar mengenali cik adik manis yang sering di sapa Noorsha di kalangan rakan-rakan seperjuangan.  Noorsha pada pengamatan ita seorang yang suka mencuba dan tak pernah berputus asa. Bakatnya dalam bidang masakan cukup besar ditambah kebolehan beliau merakamkan gambar. Ita cukup kagum dengan wanita ini.. walaupun dengan anak kecil namun beliau masih mempunyai ruang berkongsi resepi dan cerita.. Walaupun kini blognya kian sepi.. namun beliau masih aktif menerima tempahan dari rakan-rakan yang mengagumi hasil air tangan beliau.. Ita berharap agar Noorsha dapat kembali aktif seperti dahulu.. pasti ramai peminat-peminat blog 1001 Cerita 1001 Rasa yang ternanti-nanti sentuhan gadis manis ini. Bagi anda diluar sana yang dah lama menanti hasil sentuhan Noorsha, jangan lupa dapatkan RASA..

Terima kasih Nani dan Bad semoga tidak serik datang ke rumah akak.
dannnn... Selamat Pengantin Baru buat bakal pengantin kita Nani.. cayang dia... ^___^

Apa yang menariknya RASA dan kemunculan bloger-bloger dalam majalah kali ini.. selain berkongsi resepi, ita dapat pula berkenalan dengan kak Aminah. Ita tidak pernah tahu akan blog beliau Cookery Pot dan Sweet Spicy from The Baking Studio, sehinggalah ita dapatkan majalah RASA keluaran Mei ini. Inilah untungnya bila muncul di media masa, selain bertukar-tukar resepi kita juga dapat berkenal-kenalan antara satu sama lain.. Sebenarnya dah lama juga kak Aminah ini bertapak di dunia maya.. seawal tahun 1999 lagi.. macam manalah ita boleh tak terjumpa blog kak Aminah ni.. Macam mana dengan anda di luar sana? sudahkah anda mengenali wanita hebat ini?? jangan lupa dapat RASA untuk mengetahui rasa hati kak Aminah kita di dunia maya..


Dikesempatan ini ita ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada penyelaras RASA adik Nani Saudiar Zakir dan jurufoto beliau Baidiuzzaman Ab. Malik yang bertandang ke teratak ita. Mohon ampun dan maaf atas layanan yang tak seberapa dan halalkan apa yang terkurang.. Terima kasih sekali lagi kepada team RASA dan pihak Karangkraf khasnya yang sudi mengundang kami blogger-blogger masakan untuk memeriahkan lagi dunia masakan. Semoga ianya memberikan kebaikan kepada semua. Kepada majalah RASA semoga terus suksess dan semakin berani mencuba sesuatu yang baru dan terkini.

Tidak lupa juga sekalung ucapan tahniah buat Siti Delima kerana gambar beliau menjadi penghias majalah RASA bulan Mei ini. Tahniah Siti ^__^

Terima kasih juga kepada rakan-rakan yang tidak putus-putus memberikan ucapan. Terutamanya kepada sahabat baik Mat saudara Ben Ashaari

Kepada mereka yang belum lagi berkesempatan mendapatkan majalah RASA jangan lepaskan peluang untuk dapatkan sekarang.. Cook With Love




Feb 4, 2013

BANANA CHOCOLATE MOUSSE CAKE




Assalamualaikum dan selamat pagi kepada semua pengunjung setia dapur maya Masam Manis ita ni. Semoga semuanya sihat-sihat dan ceria-ceria selalu disamping keluarga dan juga rutin seharian. Walauapapun tugas dan tanggungjawab yang tergalas, lakukan dengan ikhlas kerana Allah beserta hati yang lapang.

Apa perancangan suri rumah kita hari ni? Nak masak apa ye? nampaknya ada yang dah mula merendam ayam yang kejung dari peti ais, lambat mencair aisnya tu.. lambat pula dapur tu berasap... ada menjerit anak-anak bila melihat tiada menu istimewa untuk hari ini..

Cuaca di Johor Bahru ni dah mula mendung semula, setelah beberapa hari panas terik melanda. Pagi dah hujan yang rasanya tak taulah bila nak reda.. hujan macam ni memang lambat lah redanya.. Tapi kata orang hujan itu sebagai tanda rezeki dari Allah, kita harus sentiasa bersyukur.. Teringat pesan ustazah ketika ita di bangku sekolah. " kalau hari hujan jangan lupa angkat tangan dan berdoa pada Allah agar di murahkan rezeki dan dimakbulkan segala hajat.. sebaiknya di awal-awal turun hujan..". Dan itulah yang selalu ita praktikan dan ajarkan pada anak-anak.. semoga diberikan taufik dan hidayah dan beroleh kebahagian di dunia dan di akhirat..


Lama juga rasanya ita tak buat kek kan?
Ialah sejak ita dah mula rasa berat badan ni naik mendadak.. Bimbang pula jika tak terkawal payah pula turunya. Lebih-lebih lagi bila usia dah masuk angka 40an ni, kata orang pemakanan harus lah dijaga.. kurangkan yang manis-manis dan juga yang berlemak.. Tapi kadang-kadang memang payah juga nak kawal nafsu makan lebih-lebih lagi bila kita hidup dengan insan yang suka merasa masakan.. hihi

Tapi ita bukanlah makan banyak sangat pun.. janji ita dapat rasa aje cukuplah.. ialah kadang-kadang bila lihat rakan-rakan sediakan hidangan yang lazat-lazat terasa juga nak mencuba.. Lebih-lebih lagi sekarang ni kami sekeluarga cukup berhati-hati bab makan.. Takut sebenarnya bila makan sembarangan.. Silap haribulan macam macam penyakit pula timbul..


Berbalik pada resepi kek hari ni, sebenarnya dah lama nak buat sejak terpandang cik adik kita Duyung Sweet Laling mencubanya kalau tak silap tahun lepas.. lama dah kan..
Bila mengenangkan ianya menggunakan pisang tu yang lambat sikit nak buat sebab ita ni tak pandai sangat makan pisang mentah, kalau pisang goreng atau pisang rebus memang ita suka. Tapi anak-anak dan suami memang suka makan pisang. Maka semalam merajinkan diri juga mencuba..

Kepada yang berhajat boleh lah mencuba untuk birthday kek atau kek hantaran. Resepi ni ada pengolahan dari ita dan ita juga sertakan sekali resepi asal dari Duyung sebagai rujukan kawan-kawan.. Boleh kan Duyung.. akak kongsikan di sini..


BANANA CHOCOATE MOUSSE
Rujukan : Duyung Sweet Laling

Kek Span Coklat

Bahan A
30 gm serbuk koko
1/2 cawan air panas
1 sudu teh coklat emuco
4 biji kuning telur
100 gm gula halus
130 gm tepung kek
1/2 sudu teh baking powder
1/2 sudu teh soda bicarbonate
1 cawan minyak masak
1 sudu teh esen vanilla

Bahan B
4 biji putih telur
1/4 sudu teh krim of tarta
65 gm gula halus

Panaskan ketehar pada suhu 180 C
Sediakan loyang ukuran 8 inci
Leserkan dengan butter dan lapik dasar loyang dengan kertas kek ~ ketepikan

Campurkan tepung, soda dan baking powder kemudian di ayak ~ ketepikan
Larutkan serbuk koko dan coklat emulco bersama air panas ~ ketepikan
Dalam bekas berasingan campurkan kuning telur, gula halus, bahan tepung yang telah di ayak, minyak dan esen vanilla, kacau rata
Kemudian masukkan larutan koko tadi dan sebatikan adunan.
Ketepikan

Dalam bekas pemutar, putarkan putih telur dari bahan B hingga berbuih
Tambahkan krim of tarta dan gula dan putar dengan speed laju hingga kembang, kakau dan bertanduk.

Ambil 1/3 adunan bahan B dan kaup balik dalam adunan dari bahan A ( adunan koko)
Tuangkan baki adunan dan kaup balik rata.

Tuang adunan dalam loyang dan bakar dalam ketuhar suhu 180C selama 45 minit atau sehingga kek masak sempurna.
* kek ini juga boleh di bakar dengan kaedah steam bake
Bila kek dah masak, sejukkan atas redai
Potong kek yang telah sejuk kepada 3 kepingan ~ ketepikan

Chocolate Mousse


250 gm Krim putar bukan tenusu Non Dairy Whipping Cream
50 gm serbuk koko
80 gm gula halus
1 sudu besar Nescafe atau Paste Moca
1 sudu besar halal gelatin
4 sudu besar air panas

Larutkan gelatin dalam 4 sudu besar air panas
Caranya ~ etak air panas dalam cawan dan taburkan gelatin di atasnya, biarkan ia kembang dan melarut. Jika masih tak larut panaskan secara kaedah double boiler.

Sementara itu satukan serbuk koko dan gula dan ayak

Dalam bekas pemutar, putar Non Dairy Whipping Cream hingga kental
tambahkan serbuk koko, gula, paste moca dan pukul kelajuan perlahan
Akhir sekai masukkan larutan gelatin

Kaedah Penyediaan
Pisang secukupnya ~ di belah 2
Air Nescafe untuk melembabkan kek 
Ganache coklat secukupnya ~ Duyung tak sertakan resepi tapi boleh rujuk resepi ita di bawah

Letakkan sepotong kek span atas lapik kek

Letakkan mousse coklat dan ratakan
Susunkan potongan pisang di atasnya kemas
Letakkan lapisan kek yang kedua dan ulang proses yang sama hingga habis
Salutkan keseluruhan kek dengan mousse cokat dan simpan dalam peti ais hingga ia mengeras
Bila dah mengeras bolehlah salutkan kek dengan curahan ganache coklat dan hias dengan kreativiti masing-masing

* Untuk mengeakkan pisang mudah lebam, rendam pisang dalam perahan air lemon




Ini pula adalah kaedah dan cara ita menyediakan Banana Chocolate Mousse Cake ni

BANANA CHOCOLATE MOUSSE CAKE

Kek Span Coklat

5 biji telur
125 gm gula kastor
1 sudu kecil esen vanila
15 gm ovelette

40 ml air
100 gm tepung gandum ~ diayak
20 gm serbuk koko ~ diayak
1 sudu kecil serbuk penaik (baking powder)
70 gm mentega ~ dicairkan
Panaskan oven pada suhu 170C
Sediakan loyang 8 inc
Sapukan loyang dengan butter dan alas dasar loyang dengan kertas minyak
Campurkan gula, telur, ovelette, vanilla, air, tepung, serbuk koko dan baking powder.
Putar semua bahan di atas hingga kembang dan ringan
Masukkan mentega cair dan kaup balik dengan spatula hingga sempurna
Tuangkan ke dalam acuan bulat 8 inc
Bakar pada suhu 170C ( bergantung pada oven masing-masing ) selama 45 mint atau sehingga kek di masak sempurna
Sejukkan kek atas redai setelah masak
Potong kek kepada 3 lapisan

Bahan Ganache Coklat

150 ml krim tenusu
20 gm sirap glukos
260 gm coklat gelap ~ hiris halus
20 gm butter
1 sudu teh esen vanilla
1 sudu makan paste almond atau 1 sudu makan Nutella ~ jika suka
1 sudu teh paste orange atau orange Sunquick ~ jika suka

Didihkan krim dan sirap glukos.
Tuangkan dalam bekas yg berisi coklat gelap
kacau rata hingga coklat larut sepenuhnya
Tambahkan butter, esen vanilla, paste almond dan paste orange
gau rata.

Mousse Chocolate

250 gm Krim Putar Bukan Tenusu Non Dairy Whipping Cream
3 biji kuning telur
80 gm gula aising
120 gm mentega tanpa garam
6 gm halal gelatin
30 ml air
120 gm coklat gelap

Larutkan gelatin dalam air, caranya masukkan air dalam bekas dan taburkan gelatin atasnya biarkan ia mengembang.
Kemudian panaskan dengan kaedah doube boiller hingga gelatin larut
Cairkan coklat gelap dengan kaedah double boiller juga
Panaskan telur kuning dan gula ising di atas kukusan ( kaedah double boiler) dan kacau tanpa henti hingga ia pekat
Tambahkan larutan gelatin yang telah cair tadi dan kacau rata
Masukkan coklat cair dan gaul sebati.
Ketepikan
Dalam bekas pemutar, putar Krim putar bukan tenusu hingga kental
Kaup balik krim dalam adunan telur hingga rata

Kaedah Penyediaan
Pisang secukupnya ~ di belah 2
Air Nescafe untuk melembabkan kek 
Ganache coklat secukupnya

Letakkan sepotong kek span atas lapik kek

Lembabkan kek span dengan menyapukan air nescafe di atasnya atau jus lemon
Letakkan mousse coklat dan ratakan
Susunkan potongan pisang di atasnya kemas
Letakkan lapisan kek yang kedua dan ulang proses yang sama hingga habis
Salutkan keseluruhan kek dengan mousse cokat dan simpan dalam peti ais hingga ia mengeras, paling kurang 4 jam
Bila dah mengeras bolehlah salutkan kek dengan curahan ganache coklat dan hias dengan kreativiti masing-masing
Simpan semula dalam peti ais hingga ganache coklat mengeras
Sedia dinikmati bersama keluarga tersayang
Selamat mencuba!



Feb 1, 2013

MELTY HERSHEY




Assalamualaikum...


Salam Jumaat buat semua rakan dan taulan. Semoga kita semua mendapat taufik dan hidayah di hari Jumaat yang barakah ini.

Pasti ramai diluar sana yang tertunggu-tunggu resepi yang dikatakan bakal meletup ni.. rasanya telah pun berada di pasaran dan dijangkan bakal hits.. ye ke??

Pada ita walau apapun resepinya ianya lebih kurang sama sahaja dari, lapis cheezy, cheezy pesona, melty harshey ia adalah dalam himpunan dessert yang sama. Ita namakan dessert ni adalah dessert recycle. Kenapa ita namakan ianya begitu.. sedangkan dessert ni dikatakan dapat melelehkan air liur..

Sebenarnya, semasa ita mengikuti bengkel kek Chef  Amer, beliau selalu akan masukkan lebihan kek, whipping cream atau cheese ke dalam bekas kecil, diletakkan buah-buahan, kekacang, oreo atau coklat untuk menambahkan kesedapan disamping dapat mengoda nafsu sesiapa yang melihatnya. Dari situlah timbul idea daripada mereka-mereka yang mahir membuat kek untuk dijadikan sebagai dessert yang enak! lepastu pelbagailah nama yang diberikan supaya ianya nampak gah dan buatkan semua insan tak tidur malam selagi tak dapat resepi idaman. Lebih-lebih lagi bila dicanangkan ianya enak dan lazat tak terkata.. bayangkan bila ianya  di limpahi cheese, dengan ganache chocolat dan lelehan bluberry filling atau strawberry filling yang memang siapa yang mendengarnya bakal meruntum iman.. aduyaiii...


Kerana banyak sangat dapat permintaan hari ini ita akan kongsikan resepinya.
Sebenarnya ada pelbagai teknik dan gaya pengolahan Melty Hershey. Anda boleh gunakan apa-apa sahaja bahan yang anda rasakan menepati selera.
Ini antara bahan-bahan yang anda boleh gunakan
  • Kek span coklat atau kek span vanilla atau apa-apa kek span yang dirasakan bersesuaian
  • Biskut marie atau biskut oreo atau gabugan antara kedua-dua biskut tersebut. Biskut marie pula anda boleh pilih samaada nak gunakan yang berperisa original , vanilla, cappuchino atau coffee.
  • Kekacang, almond, pecan, hazelnut, atau lain-lain kekacang yang dirasakan bersesuaian.
  • Boleh juga gunakan biskut ladyfinger
  • Cip Coklat Hershey kalau tak ada lain-lain brand pun boleh..
  • Boleh juga gunakan cokat lain, seperti Ferrero Rocher, Malty Square, M&M atau yang sewaktu dengannya.
  • Atau boleh gantikan dengan parutan keju atau parutan coklat masakan susu atau coklat masakan putih
  • Untuk kerangupan, boleh juga letakkan empingan jagung atau cornflakes, kokocrunch dan yang sama dengannya. Kalau guna Honey Cornflakes lagi sedap!
  • Untuk menambahkan lagi kesedapan atau menarikkannya lagi, anda bolehlah hiasakan dengan potongan buah-buahan segar, tapi biarlah buah-buahan yang dipilih bersesuaian dengan bahan-bahan lain yang anda gunakan. Contoh buah-buahan, strawberry, kiwi, peach, bluberry, black berry, semua kawan-kawan berries lah kan.. boleh juga kalau nak letak pulp oren. Semuanya terpulang pada selera dan atas permintaan.

Untuk Fillingnya pula anda boleh gunakan ganache coklat, atau blueberry filling, strawberry filling, kiwi, buttersctoch, karamel atau apa-apa yang dirasakan sesuai.

Bersama ini ita sertakan beberapa resepi sebagai panduan untuk penyediaan Melty Hershey, ada yang menggunakan cheese dan ada yang tidak menggunakan cheese sebaliknya digantikan dengan whipping cream.

Anda juga boleh pilih samaada nak yang menggunakan halal gelatin atau tidak mahu menggunakannya. Tapi pada ita kalau diletakkan dalam bekas macam ni, tak perlulah di letakkan gelatin.


Untuk lapisan dasar anda boleh pilih samaada nak gunakan kek atau biskut. Atau gabungan kedua-duanya seperti yang ita buat.
Boleh juga sekiranya anda tidak mahu meletakkannya, tapi pada ita lagi enak bila diletakkan kerana ianya rangup bila di gigit dan menyedapkan lagi Melty Hershey anda.
Atau anda juga boleh gunakan ianya sebagai filling untuk diselang selikan dengan cheese, lagi umpph!

Bersama ini ita sertakan beberapa apisan dasar untuk pilihan, anda boleh pilih salah satu dari lapisan dasar dibawah. 

Lapisan Dasar 1

80g biskut marie
50g mentega ~ cairkan

Biskut marie di hancurkan
Gaulkan bersama mentega cair
letakkan dalam bekas sebagai dasar

Lapisan Dasar 2

150 gm campuran biskut marie dan biskut oreo
30 gm almond flakes atau apa-apa kekacang atau boleh gantikan dengan cornflakes
90 gm mentega ~ dicairkan

Campurkan biskut dan kekacang
Tambahkan mentega dan gaul rata
Letakkan dalam bekas sebagai dasar

Lapisan Dasar 3

Biskut lady finger secukupnya
Air nescafe untuk merendam

Rendam biskut dalam air nescafe dan letakkan dalam bekas sebagai lapisan dasar atau boleh juga sebagai filling di selang selikan dengan cheese.

Lapisan Dasar 4

Kek span coklat atau kek span vanilla
Air nescafe atau jus lemon

Letakkan kek dalam bekas sebagai dasar
Dengan menggunakan brush, sapukan air nescafe atau jus lemon untuk melembabkan kek


Untuk filling anda boleh gunakan filling yang ada di jual di kedai jual bahan kek seperti bluberry, strawberry, butterscotch, karamel dan lain-lain
Atau ganache coklat seperti resepi di bawah

Ganache Coklat
150 gm krim tenusu ~ whipping cream
15gm sirap glukos~ boleh didapati di kedai jual bahan kek
250 gm coklat gelap ~ hiris halus
10 gm butter
1 sudu teh orange suncquick atau 1 sudu teh pes hazelnut

Didihkan krim dan sirap glukos.
Tuangkan dalam bekas yg berisi coklat gelap
Kacau rata hingga coklat larut sepenuhnya
Tambahkan butter dan orange sunquick atau pes hazelnut
Kacau hingga adunan licin dan berkilat
Biarkan sejuk
Sedia di gunakan



Ini pula adalah antara resepi cheese yang boleh anda cuba. Pilih salah satu resepi di bawah yang anda rasa bersesuaian dengan selera atau bahan-bahan yang ada di dapur rumah anda

Resepi Cheese 1

250g cream cheese ~ suhu bilik
200g whipping cream
150g yogurt plain
90g gula
15g gelatin
60ml air
1 sudu teh jus lemon
50g buah blueberry tin
25ml syrup blueberry atau bluberry filling


Tuangkan 60 ml air ke dalam cawan kecil, kemudian taburkan gelatin di atasnya biarkan gelatin kembang.
Dengan kaedah double boiler cairkan gelatin ketepikan
* untuk resepi ini  anda boleh memilih untuk tidak menggunakan gelatin

Dalam bekas pemutar, putar cream cheese dan gula hingga lembut dan gebu
masukkan yogurt dan putar lagi.
Dalam bekas berasingan putar Non Dairy Whipping Cream hingga kental dan kaku
Kaup balik adunan whippping cream ke dalam adunan cheese
Tambahkan perahan jus lemon dan gaul sempurna.
Masukkan adunan ke dalam piping bag
* Adunan Cheese 1 sudah boleh di gunakan.

Caranya
Anda boleh gunakan mana-mana resepi dasar di atas. Kalau tak nak letak bahagian dasar pun tak apa.
Letakkan bahagian dasar di dasar bekas atau gelas pilihan anda
Kemudian letakkan cheese berselang seli dengan filling blueberry dan bauh blueberry
Ambil belakang sudu dan marblekan
Hiaskan atas nya dengan parutan cheese atau coklat putih atau filing blueberry dan buah blueberry
Simpan dalam peti ais supaya ia dingin





Resepi Cheese 2

125g cream cheese ~ suhu bilik
137g atau 1 bekas yoghurt perisa blueberry
30g gula kastor
80g blueberry filling
125g whipping cream ~ pukul hingga gebu dan bertanduk (soft peak)
1/2 sudu besar  + 1/2sudu teh gelatin Halagel
2 sudu besar air hangat

Masukkan gelatin ke dalam cawan berisi 2 sudu besar air hangat
Biarkan gelatin terlarut ~ pastikan letakkan air hangat dulu dalam cawan baru masukkan gelatin
Jika gelatin masih tak larut lagi, masukkan cawan yg berisi gelatin tadi ke dalam bekas berisi air panas
Boleh juga guna kaedah double boiler atau masukkan ke dlm microwave - oven on high dan panaskan 3 minit sahaja
Biarkan ia suam

Pukul whipping cream hingga kental (soft peak) ~ ketepikan
Dalam bekas lain pukul cream cheese, gula kastor dan bluberry filling hingga sebati
Tambahkan yogurt dan gaul hingga sebati
Kemudian masukkan gelatin yg suam tadi dan gaul rata
Perlahan-lahan masukkan whipping cream dan kaup balik adunan hingga rata ~ pastikan whipping cream tidak terlalu sejuk, utk mengelakkan adunan bergentel-gentel bila bergaul dengan gelati

Sediakan cawan atau bekas kaca kecil
Pilih mana-mana satu bahagian dasar di atas
Tuangkan adunan ke dalam piping bag
Paipkan dalam bekas kecil
Anda boleh selang selikan dengan oreo, biskut marie, kek, lady finger, cip coklat, parutan coklat masakan, filling pilihan dan lain-lain yang dirasakn bersesuaian
Jika menggunakan biskut, jangan lupa untuk celupkan biskut dalam susu suam terlebih dahulu.
Hiaskan atasnya dengan taburan buah-buahan, parutan keju, parutan cokat atau apa-apa sahaja perhiasan yang anda suka.
Sejukkan dalam peti ais untuk rasa yang dingin.



Resepi Cheese 3

250g krim keju ~ pada suhu bilik
80g gula kastor
100g coklat masakan putih ~ dicairkan
250g krim putar
50g air
15g halal gelatin
1 sudu teh asen vanilla
ganache coklat secukupnya
Larutkan gelatin dalam 50g air dan biarkan kembang
Kemudian panaskan gelatin secara double boiler hingga gelatin melarut dan ketepikan
Cairkan coklat masakan putih secara double boiler juga dan ketepikan
Pukul krim keju dan gula kastor hingga lembut dan berkrim.
Pastikan krim keju pada suhu bilik. 
Tuangkan coklat putih ke dalam adunan krim keju
Tuangkan pula gelatin dan kacau hingga sebati
Tambahkan sedikit asen vanilla dan kacau adunan sempurna
Dalam bekas lain, pukul krim putar (non dairy whipping krim) hingga gebu dan kental.
Masukkan 1/3 krim putar ke dalam adunan keju tadi
Kaup balik adunan hingga rata
Tuangkan baki krim putar yang selebihnya dan kaup balik hingga bergaul sempurna
Masukan adunan kedalam piping beg
Sediakan bekas kecil
Pilih mana-mana dasar dalam resepi di atas
Selang selikan  dengan ganache coklat
Hiaskan cheezy anda dengan mana-mana bahan yang anda suka boleh letak kekacang, parutan coklat, cip coklat, buah-buahan, coklat hancur, atau juga crunch



Resepi Cheese 4
By : Auni Azalia

250g krim keju
4sudu besar susu pekat
3sudu besar susu segar atau susu cair
1sdt jus lemon

Jika anda tidak sukakan krim keju anda boleh gantikan dengan 
250 ml Non Dairy Whipping Cream

Pukul semua bahan hingga gebu
masukkan dalam pipng bag
sama juga seperti kaedah yang lain, anda boleh pilih mana-mana resepi dasar
Kemudian selang selikan cheese dengan filling pilihan


* Ada resepi yang menggunakan Marshmellow, tapi ita tak kongsikan di sini sebab ragu-ragu tentang kandungan gelatin yang digunakan untuk membuat marshmellow.

Ada pertanyaan. Resepi apa pula yang ita gunakan.
Ok bersama ini ita terangkan kaedah yang ita gunakan.

Mula-mula sediakan bekas kecil pilihan
Untuk resepi yang dalam gelas tu ita gunakan lapisan dasar 2
Ita letakkan campuran biskut oreo, biskut marie perisa capuchino dan juga Honey Cornflakes.
Cairkan butter dengan api yang perlahan jangan sampai butter jernih tau! cukup sekadar ia mencair sahaja, dan gaulkan bersama biskut marie, oreo dan Honey Cornflakes yang telah dikisar (kisar jangan halus sangat)
Bila dah siap letakkan dalam bekas, tekan-tekan supaya ia rata. boeh simpan dalam peti ais sebentar sementara kita siapkan cheesenya.
Bagi yang dalam kotak pula ita menggunakan kek span coklat dan juga lapisan dasar 1, cuma ita tambahkan Honey cornfakes sedikit supaya rasanya lebih crunchy bila dinikmati.
Ita gunakan kaedah domino sebagaimana yang dapat anda lihat dalam gambar ita di atas.
Susun kek span yang di potong kiub dan selang selikan dengan biskut marie dan cornflakes yang ita telah gaulkan bersama butter cair.

Untuk yang dalam gelas, ita gunakan resepi cheese 1
Ita tak marblekan. Ita cuma layer-layerkannya sahaja antara cheese 1 dan filling bluberry
Atasnya ita hiaskan dengan buah bluberry dan filling bluberry

Untuk yang dalam bekas kotak pula, ita masih lagi gunakan resepi cheese 1, tapi kali ini ita tak menggunakan filling bluberry sebaliknya ita gunakan ganache coklat. Ita juga letakkan sedikit non dairy whipping cream yang ita pukul kaku dan campurkan sedikit dengan ganache coklat untuk memarblekannya.
Atasnya pua ita hiasakan dengan parutan coklat masakan putih dan buah strawberry sebagai hiasan.
Anda bolehlah hiaskan atasnya dengan cip coklat Harshley atau M&M atau apa-apa coklat yang anda suka. boleh juga kalau nak letakkan kekacang.





AzlitaMasamManis. Powered by Blogger.