Jan 30, 2013

Tutty fruitty theme for today...

Assalamualaikum



Cuaca di Johor Bahru, 2, 3 hari ni sangat panas. Panas yang terik buatkan kepala mudah berdenyut-denyut.Bila kepala dah mula pusing mood nak mengadap komputer ni pun terbantut.. aduyaiii.. lambat lah pula nak masukkan n3 ni..

Ok lah ita terus sahaja pada resepi yang bakal dikongsikan hari ini.
Ita rasa resepi ini cukup popular satu masa dahulu dan ianya telah menjadi sumber pendapatan bagi sebilangan besar rakan-rakan yang mengusahan jualan kuih muih secara kecil-kecilan maupun secara besar-besaran.

Apam yang pada mulanya hanya apam pandan bolsom yang yang hijau mulus berintikan kelapa atau kaya, tetapi telah di dot-dotkan untuk menambahkan serinya. Bertambah enak pula bila intinya di pebagaikan dengan pilihan citarasa pengemarnya. Kemudian muncul pula karaktor ladybird dan bee yang comel dan menarik! dan pasti ianya memberi tarikan pada kanak-kanak terutamanya.

Selari dengan peredaran watak animasi, muncul pula karaktor kartun anggry bird, doremon dan bear yang comel. Kini muncul pula karaktor buah-buahan menambahkan lagi koleksi apam comel yang semakin diminati ramai ini.


APAM FRUITTY
Olahan daripada resepi: Apam Strawberry
By: Aini Rusli
Sumber : Majalah RASA
Dikongsikan oleh : Gallery Mama Mimi

140 gm tepung gandum
1 1/2 sudu teh baking powder
110 gm gula halus atau gula kastor
75 ml susu segar atau susu cair
2 biji telur saiz A
1 sudu teh ovellete
1/2 sudu teh esen vanilla

Pewarna makanan mengikut karaktor buah-buahan pilihan
Inti atau filing buah-buahan ~ jam nenas, bluberry, strawberry, kiwi
30 keping cawan kertas


Panaskan kukusan terlebih dahulu dengan api yang sederhana
Tutup kukusan hendaklah di balut dengan kain supaya air kukusan tidak menitis atas apam
Sediakan acuan lompang secukupnya
Susunkan cawan kertas dalam acuan lompang dan ketepikan

Satukan tepung gandum dan baking powder kemudian di ayak
Dalam bekas pemutar, satukan telur dan gula dan pukul hingga kembang dengan speed tinggi.
Masukkan adunan tepung yang telah diayak berseang seli dengan susu
Tambahkan esen vanila dan ovallete, dan terus putar  hingga adunan bertukar putih, likat dan gebu.

Bahagikan adunan kepada beberapa warna pilihan.
Warna dasar hendaklah dalam jumlah yang besar
Ambil anggaran 2 sudu untuk warna daun, dot-dot atau line.
Kacau setiap adunan warna rata-rata.
Kemudian masukkan dalam piping bag.
Untuk warna dasar potong lubang hujung piping bag besar sedikit.
Tapi bagi dot-dot dan line , potong hujung piping bag kecil sahaja lubangnya.
Untuk memudahkan proses, filling juga diletakkan dalam piping bag

Letakkan warna dasar dalam cawan kertas 1/3 cawan sahaja
Letakkan intinya dan tutup kembali dengan warna dasar hingga penuh.
buat sehingga habis
Kemudian bolehlah mulakan proses melorek atas apam dengan karaktor buah-buahan pilihan.
Setelah siap, susun dalam kukus dan kukus selama 10 minit hingga 15 minit


Tips penting penyediaan apam 
  • Gunakan api yang sederhana untuk mengukus apam
  • Kukusan hendaklah dipanaskan terlebih dahulu
  • Balut tutup kukusan dengan kain untuk mengelakkan air menitis sewaktu proses apam dikukus
  • Ovallete hendaklah dimasukkan pada akhir proses memukul, iaitu selepas semua adunan dipukul, ini untuk mendapatkan apam yang gebu dan lembut
  • Apam yang telah dimasak tidak boleh dibiarkan terdedah di udara kerana ia mudah kering.
  • Adunan apam ini dapat menghasikan anggaran 30 biji apam bersaiz sederhana
  •  
     

APPLE LIME JUS

2 biji apple hijau
1/2 biji jus limau nipis
gula secukup rasa
air secukupnya
ais ketul

Potong apple kecil, masukkan dalam mesen pengisar bersama gula dan air secukupnya
Kisar hingga halus
Tapiskan airnya
Perahkan jus limau nipis dan letakkan ketulan ais


Jan 29, 2013

Mad about chocolate...

Assalamualaikum


Coklat.. coklat.. coklat..
Pasti ramai diluar sana yang mad about chocolate.. hihi macam ita juga.
Coklat dan ita mungkin tak dapat dipisahkan.. tak kiralah coklat apapun..
Minggu ini ita mulakan operasi coklat setelah beberapa hari ita kongsikan menu santapan seharian.
Ada yang menjerit diluar sana.. kak itaaaa.... mana kek???? dah lama tak membaking..

Aduh!! sebenarnya ita sedang merancang untuk mengurangkan berat badan.. almaklumlah asyik makan kek aje.. berat badan pun dah bertambah dari sehari ke sehari.. bagi ita ianya tidak boleh dibiarkan kerana bila dah naik nanti payah pula nak turun..

Beberapa hari ni ita sibuk menghantar anak-anak pulang ke asrama. Lepas sorang.. sorang sebab mereka naik berlainan hari pula kali ni.. Yang adik minta hantarkan awal kerana banyak tugas yang menanti.. ada beberapa tugasan katanya yang peru di siapkan segera..
Yang abangnya pula balik keesokkan harinya..

Sebelum pulang ke asrama seperti biasa pasti ada oleh-oleh yang di minta buatkan.  " mak.. kawan-kawan kita minta mak buatkan cookies dan kek coklat.. lama tak makan kek cokat mak.. "

Kebetulan ita terpandang Along Roz , kongsikan resepi cookies ni bolehlah ita buatkan untuk anak-anak sebagai bekalan jajan mereka di asrama nanti. Terima kasih Along...


CHOCOLATE CHIP FUDGE COOKIES
By : Along Roz

1/2 cwn tepung gandun ~ 75 gm
1 st Baking Powder
1/4 st garam halus
1/2 st serbuk kopi segera
470 gm coklat masakan ~ di cincang
1/4 cwn mentega tanpa garam ~ 58 gm
1 3/4 cwn gua kastor ~ 370 gm
4 biji telur ~ A saiz
1 st esen vanilla
3 cawan cip coklat

Cairkan coklat masakan bersama mentega hingga cair berkilat
Boleh gunakan kaedah double boiling, cairkan dalam microwave atau cairkan terus atas dapur, tapi hati-hati supaya cokat tidak hangus yang akan mengakibatkan pahit. Gunakan api yang perlahan.
Satukan tepung, baking powder, garam halus dan kopi segera, kemudian di ayak
Dalam bekas pemukul, putar telur dan gula sehingga putih dan pekat ~ anggaran 5 minit
Masukkan esen vanilla, campuran coklat dan mentega yang telah dicairkan putar rata.
Tambahkan adunan tepung yang telah di ayak dan gaul rata
masukkan cip coklat dan gaul sempurna
Tutup bekas dengan plastik dan simpan dalam peti ais paling kurang 1 jam. Sebaiknya di simpan semalaman.

Panaskan ketuhar pada suhu 180 C
Sudukan adunan di atas tray yang di alas dengan kertas pembakar
Susun jarak-jarak kerana cookies ini mengembang bila di bakar
Bakar dalam oven selama 15 minit, sehingga permukaannya retak- retak atau merekah
Pastikan cookies tidak terlebih bakar
Keluarkan dari oven dan segera tanggalkan dari kertas pembakar
Susun atas redai hingga sejuk sebelum di letakkan dalam balang kedap udara.



Pada ita cookies ini sangat sedap, rasa coklatnya sangat mewah dan gigitannya yang chewy gooey yummy.. buatkan seronok dinikmati bersama secawan Hot Chocolate.

Tapi... ada sedikit masalah sewaktu menyediakan cookies ni kerana ianya melekat di atas dulang pembakar. Ita pun tak pasti dimana silapnya..
Pada muanya ita sangkakan cara membakarnya sama seperti coklat cookies yang lain, tapi bila dah sejuk memang ia tak dapat ditanggakan dari dulang pembakar..
Ita letak pula atas kertas minyak namun hasilnya tetap sama..
Sehinggalah ita alaskan dengan baking paper barulah ia boleh di tanggalkan..

Mungkin jika Along ada terbaca coretan ita ni, dapat Along jelaskan kesilapan yang ita lakukan.. atau memang cookies ni jenis melekat.. ialah ita bimbang pula jika ada adik-adik yang ingin mencuba.. Sebab cookies ni memang sedap!! rugi kalau tak cuba..

Selain cookies, ita juga buatkan kek coklat untuk di bawa pulang anak-anak. Resepi dari Chef Zubaidah dan seperti biasa ita ambil dari buku masakan beliau Jamuan Kek.


KEK COKLAT LEMBAB
By : Chef Zubaidah
Rujukan : Jamuan Kek

100 gm serbuk koko
400 gm susu cair
200 gm minyak masak
250 gm susu pekat manis
200 gm gula kastor
4 biji telur
150 gm tepung gandum
1 sudu teh serbuk penaik
1 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu besar coklat emuco
1/4 sudu teh garam ~ ita tambah
1 sudu teh esen vanilla ~ ita tambah

Mula-mula satukan tepung, serbuk penaik, soda dan garam kemudian di ayak
Dalam periuk, campurkan serbuk koko, susu cair, minyak masak, susu pekat manis dan gula
Masak adunan atas api yang perlahan hingga gula hancur dan adunan menjadi licin berkilat.
Ketepikan dari api
Masukkan telur sebiji demi sebiji dan kacau sebati
Masukkan adunan tepung yang telah di ayak dan gaul rata
Tambahkan coklat emulco dan esen vanilla

Tuangkan adunan dalam loyang berukuran 9 inc yang telah di oleskan dengan sedikit mentega dan di lapik dasarnya dengan kertas kek.
Bakar daam oven yang telah di panaskan 15 minit awal pada suhu 170C selama 1 jam atau sehingga kek di masak dengan sempurna.
Sejukkan kek setelah masak sebelum ianya di potong






Jan 28, 2013

STEW TULANG


Assalamualaikum


Selamat menyambut Thaipusam, kepada rakan-rakan ita diluar sana yang beragama Hindu. Seronok kan tinggal di bumi Malaysia yang permai dan indah ini, dengan pebagai budaya dan adat resam yang boleh kita lihat. Masyarakat Malaysia yang sentiasa menghormati agama dan adat budaya masing-masing. Saling tolong-menolong, bantu-membantu, ziarah-menziarahi antara satu sama lain yang paling utama masih mengekalkan nilai murni dan perpaduan antara kaum.

Hari ni merupakan hari cuti am di Malaysia. Wah.. bercuti panjang kita hujung minggu ni kan. Ada yang sambung cuti dari sambutan Maulidur Rasul tempoh hari. Pasti ramai yang merebut peluang cuti panjang untuk membawa keluarga bersiar-siar atau makan angin. Atau menziarahi keluarga dikampung dan juga rakan-rakan. Walau apapun perancangan yang telah di atur, semoga ianya berjalan dengan baik dan dapat merapatkan silatulrahim kekeluargaan dan menambahkan lagi ikatan kasih sayang buat anda sekeluarga.


Bila bercerita bab ziarah-menziarahi ni, kadang kala ada antara kita yang tak tau nak sediakan apa jika ada tetamu yang berkunjung kerumah, lebih-lebih lagi jika tetamu yang datang mengejut atau yang tak beritahu tentang kedatangan mereka.. nak buat suprise la konon.. ^___^

Pasti kelang kabut dan tak keruan kita dibuatnya. Mungkin niat tetamu kita baik, mungkin tidak mahu menyusahkan kita dan keluarga. Ya lah kalau diberitahu pasti pelbagai juadah kita sediakan untuk mereka. Jadi untuk tidak menyusahkan tuan rumah, mereka pun datang senyap-senyap.. hihi

Hari ini ita kongsikan resepi yang mudah dan ringkas untuk merai tetamu yang datang ke rumah. Sebenarnya resepi ini adalah perkongsian dari rakan ita yang ita kujungi rumahnya baru-baru ini. Ita kalau pergi rumah orang biasanya ita tak mau nak susahkan tuan rumah. Ita segan sebenarnya bila kedatangan di rai dengan hidangan yang lazat-lazat di atas meja.. aduyaiii.. malunya..

Kedatangan ita di jamu dengan Stew Ayam yang nampak ringkas tapi cukup menyelerakan. Menurut rakan ita resepi ini dia dapat dari jirannya sewaktu beliau menetap di luar negara. Tapi banyak juga telah di olah supaya ianya bersesuaian dengan selera kita. Ada sentuhan melayu di situ walaupun ianya adalah makanan barat yang sering disediakan di sana terutamanya bila tiba musim sejuk.

Stew yang ringkas penyediannya, boleh menggunakan ayam, daging dan tulang. Enak di makan bersama roti atau pasta, bergantung atas keselesaan dan selera anda dan keluarga.



STEW TULANG
by: Lyn

1 kg tulang ~ direbus dengan air dan garam hingga empuk
3 biji bawang Holland ~ di potong dadu halus
2 ulas bawang putih ~ di cincang halus
4 biji tomato buah ~ di dadu halus
3 helai daun Bay
1 sudu teh Pasley
1 1/2  sudu teh  lada hitam ~ ditumbuk halus
1/2 botol sos cili
1 kiub daging
garam secukup rasa

Capsicum / lada bengala hijau dan merah ~ dihiris
1 batang lobak merah ~ didadu
1 biji kentang ~ didadu
2 sudu besar kacang peas
2 pokok daun ketumbar ~ dihiris

Tulang atau daging direbus terlebih dahulu bersama air dan garam hingga empuk.
Jika guna ayam, goreng dahulu ayam separuh masak ini untuk mengelakkan ayam hancur jika tidak digoreng terlebih dahulu.
Dalam periuk berasingan, tumiskan bawang dan bawang putih hingga layur
Masukkan tomato dan masak hingga layur
Kemudian masukkan tuang bersama air rebusan tadi
Masukkan juga karot, kentang dan kiub daging
Masak hingga didih dan kentang empuk
Masukkan cili sos, lada hitam, daun bay, Pasley dan perasakan dengan garam
Biarkan kuah midih dan pekat
Tambahkan kacang peas dan capsicum
Akhir sekali masukkan hirisan daun ketumbar
Sedia dinikmati bersama roti atau pasta



Untuk minumannya pula, ita sediakan Punch Citrus sebagai penyejuk dan penghilang dahaga.
Resepi yang mudah dan ringkas juga.
Tiada resepi khusus sebenarnya. Bancuhan air ikut keselesaan anda dan keluarga.

PUNCH CITRUS

Sirap Ros F&N secukupnya
2 sudu besar Oren Sunquick atau ikut selera dan kesesuaian
Air masak secukupnya
1 biji buah lemon ~ dipotong bulat
1 biji buat lime ~ dipotong bulat
Ketulan ais secukupnya

Bancuh semua, dan sediakan dingin



Jan 25, 2013

Sarapan pagi dan minum petang




Assaamualaikum,

Apa khabar rakan-rakan ita di luar sana? Semoga sentiasa ceria, diberikan kesihatan yang baik dan berbahagia di samping keluarga tersayang.
Rasa-rasanya belum terlewat untuk ita mengucapkan Salam Maulidur Rasul kepada seluruh umat Islam tidak kiralah di mana sahaja anda berada.

Bila kita soroti kisah Nabi Muhammad  SAW, banyak sangat pengajaran dan panduan untuk seluruh umat Islam. Nabi Muhammad SAW adalah putera tunggal dari Abdullah bin Abdul Muthalib, bin Hasyim, bin Abdimanaf, bin Qushai bin Hakim, bin Murrah, bin Ka'ab, bin Lu'ai bin Ghalib, bin Fir, bin Malik bin Annadhar, bin Kinanah, bin Khuzaimah, bin Mudrikah, bin Ilyas, bin Mudhar, bin Nizar, bin Ma'ad, bin Adnan keturunan Nabi Ismail bin Ibrahim as.

Baginda dilahirkan di rumah Abi Thalib, bapa saudaranya pada hari Isnin 12 Rabiul-awal bertepatan 20 April tahun 571 Masihi, tahun yang dikenali dalam sejarah dengan Tahun Gajah. Ia ditinggalkan oleh ayahnya yang wafat sewaktu ia masih dalam kandungan, dan oleh ibunya sewaktu ia berusia empat tahun.

Rasulullah wafat pada hari Isnin 12 Rabi'ul-Awal tahun 11 Hijrah bersamaan 7 Jun tahun 632 Masihi setelah menderita sakit selama 13 hari. Beliau wafat dirumah  isterinya Aisyah, puteri Abu Bakar Shiddiq dalam usia 63 tahun.

Sama-samalah kita berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, memperbesarkan, mengagungkan, menambahkan kehormatan dan kepujian serta mendukung perjuangannya yang mulia, di samping melahirkan rasa syukur sebagai penyampai utusan-Nya yang menjadi rahmat seluruh alam, malah menambahkan keyakinan beramal dengan sunnahnya yang diredhai Allah.
 
Nabi Muhammad SAW bersabda;   
“Doa seseorang itu akan terawang-awangan dan tidak diangkat ke langit selagi yang berdoa itu tidak berselawat kepadaku.”



Dah bersarapan?
Apa hidangan sarapan anda untuk keluarga pagi ni.
Walauapapun hidangan dan sajian yang anda sediakan, mulakan dengan kalimah Bismillah agar ianya mendapat kerberkatan dan keredaan Allah SWT.

Biasanya ita suka sediakan nasi goreng untuk sarapan anak-anak, terutamnya bila hari cuti atau hujung minggu. Bila dah makan agak berat pada sebelah pagi, makan tengah hari kami agak lewat lah sikit dan biasanya agak sedikit ringkas.

Nasi goreng kegemaran anak-anak adalah yang simple yang selalu disediakan oleh emak ita di kampung. Tapi kadang kala ita cuba-cuba juga tukar selera anak-anak supaya mereka selesa untuk merasa menu-menu yang lain, bukan apa ini supaya memudahkan anak-anak juga supaya tidak terlalu terikat dengan air tangan emak. Biasanya anak-anak ita tak bermasalah tentang makan kerana mereka tinggal di asrama dan dah merasa pelbagai air tangan insan-insan yang sudi memasakkan untuk mereka.. syukur..


Menu petang ita pua kebanyakkan yang ringkas, dan bersesuaian dengan cuaca. Kalau musim cuaca panas ita sediakan yang dingin untuk membasahkan tekak. Tapi bila musim hujan pastilah yang hangat dan rangup yang menjadi pilihan ita dan keluarga.

Jom kita intai menu sarapan pagi dan minum petang yang telah ita sediakan buat keluarga.
Apa pula pilihan anda?


NASI GORENG LADA HITAM
Resepi : Chef Asmawati
Rujukan : Buku Aneka Nasi Goreng
Dikongsikan oleh : Roha ~ Damai Qalbu

300 gm nasi putih
2 tangkai cili kering ~ dikisar
2 ulas bawang putih ~ dikisar
2 biji bawang merah ~ dikisar
1/2 batang lobak merah ~ didadu ita ganti kobis
1/2 sudu kecil serbuk pati ayam
1/2 sudu kecil lada hitam ~ ditumbuk
1 biji telur ~ digoreng
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis

Panaskan minyak, tumis bahan kisar hingga harum
Masukkan nasi, lobak merah, serbuk pati ayam. lada hitam dan garam secukup rasa
Gaul sebati dan rata
taburkan telur sebelum dihidangkan



SARDIN ROLL

Puff pastri secukupnya

1 tin sardin ~ buang tulang tengah dan dilenyek bersama sosnya
2 ulas bawang putih ~ dihiris
3 ulas bawang merah ~ dihiris
1 inc halia ~ dicincang
1 batang lada merah ~ buang biji dan cincang halus
1 batang cili hijau ~ buang biji dan cincang halus
1 biji kentang ~ didadu kecil
1/2 sudu teh lada hitam ~ ditumbuk
1 biji perahan limau nipis
garam secukup rasa

Tumiskan bahan hiris dan halia hingga harum
Masukkan kentang dan masak hingga kentang lembut
Masukkan sardin  dan lada hitam masak hingga terbit minyak
Perasakan dengan garam
Taburkan lada hijau dan merah dan perahkan jus limau
Gaul rata
Biarkan sejuk

Ambil sekeping puff pastri
Kelar-kelarkan sebelah bahagian dengan pisau
bahagian yang tidak di kelar letakkan inti sardin dan gulung
Susun dalam loyang
Bakar dalam ketuhar yang telah dipanaskan awal pada suhu 200 ~ 220 C bergantung pada oven selama 20 minit atau sehingga puff kuning keemasan
Angkat dan hidangkan segera





Jan 22, 2013

KETAM TELUR ASIN




Cuaca di Johor dua tiga hari ini mendung dengan hujan yang turun mencurah-curah tanpa henti. Bagi kebanyakkan kawasan yang rendah mungkin telah dinaiki air. Bila cuaca begini, sebagai ibu bapa kita hendakah sentiasa peka tentang keselamatan anak-anak, terutamannya bagi mereka yang tinggal di kawasan yang rendah dah mudah dinaiki air. Begitu juga bagi mereka yang kediaman mereka berhampiran dengan sungai atau parit-parit besar. Pastikan anak-anak sentiasa dibawah pemerhatian kita, jangan sesekali kita terleka kerana 'malang tidak berbau'

Bila musim tengkujuh atau hujan dengan cuaca yang tidak menentu, pastilah harga barang-barang terutamannya bahan basah di pasar melambung tinggi. Apa yang pasti harga sayur terutamanya cili merah memang akan naik mendadak. Kebanyakkan peniaga pula akan menyalahkan cuaca yang buruk menyebabkan harga bahan-bahan meningkat. Ikan juga tidak terkecuali, melambung harganya. Maklumlah para nelayan tidak dapat turun ke laut bila keadaan cuaca buruk dan laut bergelora. Sebagai pembeli kita haruslah bijak berbelanja.


Hari ini ita jamu mata anda dengan hidangan 'seafood'. Walaupun bahan-bahan agak mahal musim hujan ni, tapi bila tekak ni teringin nak makan, kita turutkan aje lah kan... Bapa ita selalu berpesan, jangan berkira sangat bab makan terutamannya dengan anak-anak dan keluarga, kerana rezeki untuk anak-anak sentiasa ada dari Allah. 

Bila Dalili berhajat nak makan ketam, ita pun mencongak-congak, ada ke ketam kat pasar musim hujan ni. Kalau masa ita kecil dulu bapa ita selalu bawa ita merenjong ketam. 
Bila sampai di pasar mata ita melingas mencari kelibat Sang Ketam, tapi semunya kecil-kecil pulak. Merata ita merayap dalam pasar tu, Alhamdulillah akhirnya jumpa juga Sang Ketam yang betul-betul tinggal 4 ekor. Alhamdulilah rezeki anak.. Nasib baik dapat yang betina, kata mak kalau nak beli ketam pilih yang betina kerana banyak isi, kalau yang jantan tak ada isi.

Dapatlah ita masakkan Ketam Telur Masin, lauk kegemaran Dalili. Seronok pua lihat Dalili bertambah-tambah makan. Hampir semua ketam tu diratah Daili, ita dan suami hanya dapat merasa sorang separuh aje.. jadiah kan.. yang penting anak-anak suka. 
Lepas makan seakan tak cukup pula.. dan siap pesan lagi kat ita " mak, esok masak ketam lagi boleh tak?" " Insyaallah.. kalau ada ketam kat pasar nanti mak beli dan masak kan lagi ye.."


KETAM TELUR ASIN

4 biji telur asin ~ direbus, belah 2, korek isinya  dan di lenyek

4 ekor ketam
4 sudu besar tepung jagung
1 sudu teh kunyit serbuk
sedikit garam
Minyak untuk mengoreng terendam

3 ulas bawang putih ~ ditumbuk halus
8 biji cili padi ~ ditumbuk halus
4 biji cili padi ~ diketuk
4 helai daun kari ~ raut daunnya sahaja kemudian mayang halus

2 sudu besar mentega
2 sudu besar susu cair

Garam secukup rasa

Ketam dibersihkan dan dikukus hingga masak
Satukan tepung jagung, serbuk kunyit dan garam, gaul rata
Salutkan ketam dengan bancuhan tepung jagung dan goreng secara terendam dalam minyak sehingga ketam kuning keemasan
Angkat dan toskan

Dalam kuali berasingan panaskan mentega
Tumiskan bawang putih, cili padi tumbuk, cili padi yang diketuk dan daun kari hingga harum
Kemudian masukkan telur asin yang di lenyek tadi bersama susu cair
Gaul dan masak hingga rata
Perasakan dengan garam ~ berhati-hati kerana telur dah masin
Masukkan ketam dan gaul rata hingga ia menyalut keseluruhan ketam
Angkat dan sedia dihidangkan segera.


Selain lauk ketam ita juga sediakan sayur Kangkung Goreng Belacan.


KANGKUNG GORENG BELACAN

3 ikat kangkung ~ dipotong dan dicuci bersih
20 gm cili padi
10 gm belacan
15 gm ikan bilis
minyak untuk menumis
3 ulas bawang merah
3 uas bawang putih
garam secukup rasa

Cili padi, belacan, ikan bilis, bawang merah dan bawang putih di tumbuk
Pijarkan minyak dalam kuali dan tumiskan bahan-bahan yang ditumbuk tadi hingga garing
masukkan kangkung dan garam secukup rasa
Hidangkan dengan taburan ikan bilis goreng jika suka.



Ini adalah satu lagi hasil laut yang cukup suka di tangkap oleh bapa ita. Kalau pergi menjala ke laut, pasti ikan tamban adalah hasil yang biasanya sering di bawa pulang. Ita pula tak suka makan ikan tamban ni, bukan kerana ikan ini bersaiz kecil tapi kerana ikan ini mempunyai tulang yang banyak dan amat sukar dimakan.

Rupanya bila berkhawin, ita mendapat suami yang cukup suka makan ikan tamban. Suka tak suka, sebagai isteri sesekali kita perlu juga menyediakan lauk kegemaran suami. Ita mengambil contoh mak ita, walaupun mak ita tak makan ayam, tapi kerana bapa dan anak-anaknya cukup suka makan ayam mak ita akan masak walaupun setiap hari.

Untuk memasak ikan tamban ini, ita terpaksa belajar bagaimana cara mak mertua menyediakan hidangan ini untuk anak lelaki tunggal kesayangannya. Ikan tamban ini direbus terlebih dahuu bersama asam keping hingga empuk dan lembut tulang-tuangnya. Ini bertujuan bila memakannya nanti, dengan tulang-tulangnya sekali boleh dimakan.


IKAN TAMBAN GORENG BERCILI

Ikan tamban ~ disiang, cuci bersih dan direbus dengan asam keping hingga empuk
Angkat ikan, toskan airnya

4 sudu besar tepung jagung
1 sudu teh kunyit serbuk
sedikit garam
Minyak untuk mengoreng terendam

Satukan tepung jagung, serbuk kunyit dan garam, gaul rata
Salutkan ikan dengan bancuhan tepung jagung dan goreng secara terendam dalam minyak sehingga ikan kuning keemasan
Angkat dan toskan

200 gm cili merah ~ dikisar
100 gm cili padi ~ dikisar
7 ulas bawang merah ~ dikisar
3 ulas bawang putih ~ dikisar
3 batang serai ~ dititik
1 cawan minyak masak
garam secukup rasa

Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan yang dikisar dan serai hingga garing
Perasakan dengan garam
Masukkan ikan dan gaul hingga ikan bersalut sempurna
Sedia dihidangkan



Takkan semua yang kering-kering aje kan??
Untuk kuahnya pula ita buatkan Tom Yum Udang.
emmm.. barulah ada kuah sikit tak lah kering aje bila lalu kat tekak ni kan..
Tom yum pula memang sinonimlah jika digandingkan dengan makanan laut bagaikan 'cincin dengan permata'


TOM YUM UDANG

5 ekor udang besar
1 peket pes Tom Yum
1.5 liter air
10 biji cili padi ~ diketuk
3 inc lengkuas ~ dihiris nipis
2 batang serai ~ diketuk
4 helai daun limau perut ~ buang urat tengah dan disiat-siat

lobak merah ~ dipotong
Kubis bunga ~ dipotong
Putik jagung ~ dibelah 2
Cendawan secukupnya
2 biji tomato ~ dipotong baji
2 pokok daun ketumbar bersama akarnya ~ cuci bersih dan dimayang 

3 sudu besar pati santan
2 biji jus limau nipis
garam dan gula secukup rasa

Masukkan air, pes Tom Yum, cili padi, lengkuas, serai dan daun limau perut ke dalam periuk dan masak hingga mendidih
Kemudian masukkan santan dan jus limau
Masukkan sayur-sayuran dan udang
Biar udang masak dan sayur empuk
Perasakan dengan garam dan gula
Sedia dihidangkan



Untuk membasahkan anak tekak selepas menjamu selera, ita sediakan Air Mata Kucing Gula Melaka. Sebenarnya air mata kucing juga adalah air kesukaan ita dan suami. Memang kerap juga kami sediakan air ini di rumah.

AIR MATA KUCING GULA MELAKA

1 cawan  mata kucing kering ~ di cuci dan di rebus hingga kembang
1 buku gula Melaka ~ di masak bersama air dan 1 helai daun pandan yang disimpul
gua secukup rasa
Air secukupnya

Mata kucing direbus
Kemudian tapiskan air gula melaka ke dalam rebusan mata kucing
Tambahkan gula secukup rasa
Tambahkan air secukupnya
Biarkan mendidih

Air mata kucing boleh dihidangkan panas atau dingin


Oh ya! hampir ita terlupa, hari tu ita berpeluang bertemu dengan Siti Dimiati, editor majalah AROMA yang tengah meletup-letup dipasaran. Kebetulan beliau turun ke Johor Bahru kerana ada tugasan yang menanti. Tak sangka dapat juga bertemu.. selama ini kita berbual lewat talifon dan alam maya sahaja. Kecil molek orangnya..  sangat manis dan ramah.. Terima kasih Siti kerana sudi bertemu dengan ita.

Ita abadikan gambar kenangan pertemua kami di sini sebagai kenang-kenangan.. entah bilalah lagi dapat berjumpa..


Jan 18, 2013

HARIAN METRO



Assaamualaikum

Salam pagi Jumaat buat semua pengunjung yang setia menemani Masam Manis.
Ahamdulillah kita masih dapat bernafas di pagi Jumaat yang barakah.
Semoga diberikan kesihatan yang baik dan dilimpahkan rezeki serta sentiasa disirami kasih sayang yang berpanjangan.

Dah sarapan?
Sarapan apa ye pagi ni?
Yang berat atau yang ringan..?
Atau bersarapan dengan berita-berita sensasi dari akhbar tempatan?
Menambahkan ilmu dan memperluaskan minda.

Ahamduillah bersempena keberkatan pagi Jumaat buat julung-julung kalinya, terselitlah Masam Manis dalam naskah Harian Metro bertarikh 18 Januari 2013.
Pertama sekali jutaan terima kasih buat Harian Metro 'Memburu Berita Melangkaui Sensasi' yang memberikan peluang buat Masam Manis muncul didada akhbar pagi ini. Teristimewa buat wartawan Nor Faizah Mohamed yang sudi menemuramah ita.

Semoga Harian Metro terus menjadi akhbar no 1 di Malaysia dan sentiasa diburu pembaca untuk mendapatkan berita terkini lagi sensasi.


Cook With Love





Jan 16, 2013

Joget Pahang

Melenggang 
Hai melenggang dengan tari lenggang
Kalau baik hati nanti orang pun sayang

Dari Melaka ke negeri Pahang
Singgah di Johor beli berangan
Kami ucapkan selamatlah datang
Apa yang kurang dicaci jangan

Pukulah gendang hai kulit kerbau
Dalam majlis tari menari
Sayalah ini bang hoi dagang merantau
Mengharap belas orang disini

Negeri Pahang aman sentosa
Kaya dengan tumbuh-tumbuhan
Niat di hati nak buatlah jasa
Mudah-mudahan Tuhan kabulkan

Joget Tari Lenggang, juga dikenali sebagai Joget Pahang, ialah sebuah lagu rakyat tradisional gubahan Tan Sri P. Ramlee, khusus untuk filem Hang Tuah (1956) yang dibintangi oleh P. Ramlee sendiri, yang mana watak beliau iaitu Hang Tuah menyanyikan lagu ini dalam adegan tari-menari dalam istana.

Joget Tari Lenggang ditakrifkan sebagai sebuah lagu berirama tradisional Melayu yang didendangkan dengan rancak, liriknya tulisan Dato' Jamil Sulong yang menampakkan ciri-ciri pengulangan dalam setiap rangkap, dan secara harfiahnya menceritakan seorang pedagang yang merantau dari Melaka ke negeri Pahang dengan membawa buah berangan yang dibeli di Johor, mengharapkan sambutan mesra dari para penduduk negeri Pahang, serta memuji kedamaian negeri Pahang yang dikunjunginya.

Lagu ini dinyanyikan secara duet oleh P. Ramlee dan Jasni (pinjamkan suaranya kepada Mustafa Maarof) dalam filem Hang Tuah, P. Ramlee merakam semula lagu ini bersama Saloma untuk keluaran piring hitam dengan tajuk "Joget Pahang". Selain P. Ramlee, lagu ini turut dirakam oleh ramai seniman dalam album masing-masing, termasuk Datuk Ahmad Jais, Siti Nurhaliza (sebagai single) dan kumpulan Amuk (dalam bentuk heavy metal).


Bila terdengar aje alunan irama lagu ini, pastilah ingatan terus terbayangkan negeri Pahang yang aman dan sentosa, dipenuhi hutan balak yang hijau merimbun dan sudah semestinya terbayang akan keenakkan Gulai Ikan Patin yang merupakan menu sajian utama negeri Pahang Darul Makmur.

Terus terang ita sebenarnya tidak pernah merasa Gulai Ikan Patin Pahang , pertamanya kerana ia diletakkan tempoyak yang mana kita sedia maklum tempoyak dihasilkan daripada durian dan ita memang tak makan durian. Yang keduanya kerana ia menggunakan ikan patin dan ita juga sebenarnya tidak makan ikan sungai.

Tapi bila ita menyelak helaian buku Kuisin Warisan Melayu, hasil sentuhan air tangan Chef Ismail, hati ni seakan meronta-monta pula nak merasa keenakkan gulai ikan patin yang merupakan masakan kesukaan penyanyi nombor satu negara kita ni.

Oleh kerana ita tak makan ikan patin, jadi ita gantikan dengan ikan belanak. Ya Allah memang payah sungguh ita nak masak, walaupun sebenarnya memasak gulai ikan patin ini cukup mudah dan ringkas penyediannya. Masalahnya bila ita nak meletakkan tempoyak tu.. terpaksa lah ita menutup hidung ni.. aduyaiii.. tak tertahan-tahan dengan baunya.. yang.. adoii.. tak boleh nak katalah..

Tapi bila dah siap gulai ni, eh.. sedap pulak lah... tak ada bau tempoyak pulak.. dan tak ada rasa durian.. pun..
Rasanya seakan lauk asam pedas lada hidup dicampur dengan lauk singgang.. memang sedap!
Kepada yang tak pernah mencuba boleh lah mencuba..!!


GULAI IKAN PATIN PAHANG
Oleh : Chef Ismail
Rujukan : Kuisin Warisan Melayu

2 sudu besar tempoyak
3 tangkai cili merah ~ ditumbuk halus
6 tangkai cili padi ~ ditumbuk halus
4 cm kunyit hidup ~ ditumbuk halus
1 batang serai ~ dititik
450 ml air
1 ekor ikan patin potong 3 cm tebal ~ ita guna ikan belanak
1 biji tomato ~ potong baji
1 biji timun ~ belah 2 dan hiris 2 cm menyerong
1 tangkai cili merah ~ belah 2 tapi jangan putus
1 tangkai cili hijau ~ belah 2 tapi jangan putus
1 helai daun kunyit ~ disiat-siat
Garam secukup rasa


Cuci ikan patin bersama garam kasar dan asam jawa untuk menghiangkan bau lumpur
Bubuh tempoyak dan bahan-bahan yang ditumbuk halus bersama serai dan air ke dalam periuk
Jerang di atas api yang sederhana hingga mendidih
Tambahkan ikan, tomato, timun cili merah, cili hijau dan daun kunyit
Perasakan dengan garam secukupnya
Setelah masak
Sedia dihidangkan


KERABU KACANG BOTOL
Oleh : Chef Ismail
Rujukan : Kuisin Warisan Melayu

15 tangkai kacang botol
125 ml air imau nipis
125 ml santan ~ diperah daripada 1 biji kelapa parut
Garam dan gula secukup rasa
1 batang serai ~ dihiris nipis
8 ulas bawang merah ~ dihiris nipis

Bahan Kisar
5 tangkai cili merah
10 tangkai cili padi
1 sudu besar belacan serbuk
2 sudu besar udang kering ~ direndam hingga lembut
8 ulas bawang merah

Cuci kacang botol dengan sedikit garam, toskan dan hiris setebal 0.5 cm
Campurkan bahan-bahan yang dikisar dengan air limau dan santan.
Gaul sebati
Perasakan dengan garam dan gula secukupnya
Masukkan hiruisan serai dan bawang dan kacau rata
Tambahkan kacang botol dan gaul sebati
Pastikan kerabu mempunyai rasa garam, air limau dan gula secukupnya
Hidangkan segera


TELUR DADAR

5 biji telur
2 labu bawang besar di hiris
secubit garam
1 sudu besar mayonis
1 batang cili merah dihiris
1 batang cili hijau dihiris

Satukan semua bahan dalam bekas dan dikocok hingga rata
Panaskan pan dengan sedikit minyak
Masukkan telur dan biarkan ia masak
Balikkan telur untuk meratakan masaknya di kedua-dua belah.



AIR JANDO PULANG
Rujukan : Dapur Tanpa Sempadan

1 biji kelapa muda ~ asingkan isi dan airnya
2 helai daun pandan ~ disimpul
Gula merah / gula Melaka / Gula Enau ~ secukupnya
Gula pasir secukupnya
Ais kiub secukupnya
Masak gula merah atau gula melaka bersama gula pasir, daun pandan, air kelapa hingga larut. 
Tapis dan sejukkan.
Kemudian masukkan isi kelapa muda ~ isi kelapa ini boleh juga dimasak bersama gula tadi jika suka
Tambah ais kiub secukupnya
Sedia dinikmati dingin


Membeli ragi di Pekan Jermal
Singgah sebentar ke Tasik Gelugur
Bila lagi hendak beramal
Kelapa muda lagikan gugur





Jan 14, 2013

Sehari didapur memang memenatkan..




Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua rakan-rakan ita diluar sana. Apa khabar semua pagi ni? semoga kalian semua sihat, diberikan kesihatan yang baik dan sentiasa dilimpahi dengan rezeki dan kasih sayang yang melimpah ruah.

Alhamdulillah, pagi yang cerah dengan kicaun burung yang berterbangan mencari makanan. Walaupun pagi agak dingin kerana hujan petang semalam, harap-harap biarlah hari ni panas hingga ke petang..

Mungkin ada antara kita, suri rumah yang sedang memikirkan juadah yang akan disajikan pada keluarga hari ini. Al maklumlah hari ni hari Isnin dan pasar tak bukak pulak kan.. bagi mereka yang telah berbelanja awal mungkin masih ada lagi stock bahan basah dalam peti ais. Tapi kalau ada yang tertinggal, terpaksalah masak ala kadar sekadar mengalas perut.

Tak kisahlah masakan apa yang bakal kita sajikan, kita harus bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan. Inilah rezeki Allah untuk kita hari ini.

Bercerita bab masakan, inilah antara sajian yang sempat ita sediakan buat keluarga semalam. Ya, semalam ye.. hari ni beum masuk dapur lagi.. dan masih memikirkan apa pula yang akan ita sajikan untuk suami dan anak-anak.

Entah kenapa sejak dua menjak ni selera ita beralih pula kepada masakan kampung. Begitu juga dengan suami yang hari-hari mencadangkan ita masak masakan kampung. Mungkin dah rindu pada kampung halaman, maklumlah dah agak lama juga ita tak menjengah keluarga mertua di Utara Pantai Timur.

Semalam ita sempat sediakan beberapa menu istimewa dan sudah semestinya dari insan-insan yang istimewa dan untuk di sajikan juga buat mereka yang cukup istimewa di hati ini. Jom kita intai-intai apalah yang sempat ita sediakan..


GULAI PUCUK PAKU IKAN KERING
Oleh : Pak Engku
Rujukan : Santapan Gulai Tradisi

2 ikat daun pucuk paku
10 tangkai cili padi ~ ditumbuk
300 gm ikan kering
3 batang serai ~ dititik
2 inc kunyit hidup ~ di tumbuk
5 sudu besar tempoyak
500 ml santan
2 helai daun kunyit ~ dihiris
Garam secukup rasa

Panaskan periuk, masukkan tempoyak, cili padi, santan dan kunyit
Kacau perlahan di atas api yang sederhana
Masukkan pucuk paku dan kacau sebati
Apabila mendidih masukkan daun kunyit dan ikan kering
Kacau hingga pekat
Perasakan dengan garam


SALAD SIAM
Oleh : Chef Ismail
Rujukan : Kuisin Warisan Melayu

400 gm daging lembu batang pinang
Minyak untuk menggoreng
1 batang terung panjang

Bahan Dihiris
2 batang serai
5 tangkai cili merah
5 tangkai cili hijau
6 ulas bawang merah
3 pokok daun ketumbar
3 tangkai daun selasih

Bahan Sos
3 sudu besar sos ikan
5 sudu besar perahan air limau nipis
2 sudu besar gula perang
6 sudu besar pati santan diperah daripada 1/2 biji kelapa
garam secukup rasa


Hiris daging nipis-nipis dan goreng dalam minyak yang panas hingga garing, kemudian toskan atas kertas tisu untuk mengtoskan minyaknya.
Terung di belah dua dan sangai  atas kuali tanpa minyak sehingga kelihatan kesan terbakar.
Campurkan bahan-bahan yang dihiris bersama terung dan daging dalam mangkuk besar hingga rata.
Tuangkan sos yang telah di bancuh dan gaul hingga sempurna
Letakkan salam di atas pingga dan hidangkan
Jika sukakan salad yang pedas, bolehah gantikan cili merah dengan cili padi.


IKAN BERLADA
oleh: Chef Ismail
Rujukan : Sajian Tradisional Negeri Sembilan

1 kilo ikan sederhana besar
200 gm cili merah
100 gm cili padi
7 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
3 batang serai ~ dititik
2 keping asam keping
1 cawan minyak masak
1 sudu besar serbuk kunyit
garam secukup rasa

Ikan di cuci bersih, gaukan dengan garam dan kunyit kemudian digoreng garing
Kisarkan cili merah, cili padi, bawang merah dan bawang putih.
Panaskan minyak dan tumiskan bersama serai yang dititik, hingga garing
Masukkan asam keping dan perasakan dengan garam
Masukkan ikan yang telah digoren dan kacau hingga bersalut rata





SIRAP SELASIH KU SAYANG
Rujukan : Dapur Tanpa Sempadan


Ibu sirap rose secukupnya
1 tin laici
Air masak atau air mineral secukupnya
1 1/2 camca besar biji selasih ~  rendam dalam 1 cawan air panas hingga kembang
Ais kiub secukupnya


Masukkan laici bersama airnya ke dalam jug
Tuang ibu sirap rose secukupnya, kacau dan tuang air.
Masukkan biji selasih tadi, kacau rata dan letak ais kiub
Jika rasanya dah ok boleh hidangkan.



PUDING JAGUNG BERKARAMEL

Bahan karamel
3 sudu besar gula
3 sudu besar air panas

Bahan Puding
150 gm tepung kastard
400 gm / 1 tin jagung manis daam tin
150 gm gula
700 ml air
400 m susu cair
1 sudu teh pes jagung
secubit garam

Masak gula dalam periuk kecil hingga ia keperangan
Tanbahkan air dan kacau hingga ia berkaramel ~ berhati-hati semasa proses ini
Kemudian tuangkan karamel dalam acuan

Dalam periuk berasingan, satukan semua bahan puding
Masak atas dapur dengan api sederhana sehingga ia pekat dan likat.
Tuangkan dalam acuan yang telah di letakkan karamel tadi
Sejukkan dalam peti ais


Inilah proses disebalik tabir yang sering kali di ajukan pertanyaan oleh rakan-rakan. "macam mana ya caranya kak ita ambil gambar masakan, dari susun atur propnya"

Tapi ini adalah cara ita, setiap blogger ada cara mereka tersendiri. Kebiasannya proses ita mengambil gambar agak lama. Ita kena rancang dahulu gambar bagaimana yang ita inginkan bersesuaian dengan konsep masakan itu sendiri, dan kesesuaian warna.

Ada masa ita terpaksa berulang kali tukar prop kerana dirasakan tidak bersesuaian, tidak bertepatan dengan tema atau lari dari konsep. Untuk proses setting aje ita peruntuk kan lebih kurang 1 jam dengan proses pemilihan alas dasar, kain pingan mangkuk atau back dropnya.
Ini tidak termasuk proses plating makanan yang ita lakukan.

Cuaca adalah cabaran besar setiap kali ita merakamkan gambar. Keadaan rumah yang cukup terbatas pecahayaan membuatkan ita terpaksa berhati-hati dalam memilih masa yang sesuai untuk merakamkan setiap gambar.

Ita paling suka mengambil gambar di sebelah pagi dari jam 8 hingga 10, selepas dari itu, pasti berpeluh-peluh ita mencari ruang dan sudut yang sesuai untuk mendapatkan gambar yang diinginkan.
Penat dan memang sangat memenatkan.. tapi atas dasar minat dan keseronokkan ita rasakan ianya seakan satu terapi yang sangat menghiburkan.






AzlitaMasamManis. Powered by Blogger.