iklan

iklan floral cake

iklan ada

Saturday, January 5, 2013

PISANG MUDA MASAK LEMAK



 Pisang emas bawa belayar
Masak sebijik di atas peti
Hutang emas boleh  dibayar 
Hutang budi dibawa mati

Hari ini masih lagi dengan selera kampung.
Sebenarnya lauk pauk kampung adalah makanan pembuka selera. Bila dah makan sekali pasti nak lagi dan lagi..
Jika semalam ita sediakan lauk nangka muda masak lemak putih, hari ini ita kongsikan pula lauk pisang muda masak lemak. Bila makan lauk macam ni, di musim hujan yang sejuk dan dingin, memanglah sangat berselera, bertambah selera jika dilawankan dengan sambal tumis, ikan goreng atau ikan masin.  Kalau ada sambal belacan dan ulam-ulaman lagi lah bertambah-tambah berselera dibuatnya..

Lauk lemak pisang muda adalah antara lauk kesukaan emak. Tapi mak jarang masak kerana anak-anaknya kurang gemar. Sebagai ibu pastilah selera anak-anak yang jadi keutamaan.


Ada yang suka makan tapi kurang gemar memasak. Ada juga yang tak berapa mahir selok belok masakan kampung. Sebenarnya bila masak ni ikut keselesaan kita. Apa yang kita rasa selesa dan dapat menarik selera keluarga itulah yang pastinya akan jadi keutamaan.

Pisang muda ni yang leceh sikit sebab ianya bergetah. Kalau kena kat tangan payah juga nak hilangkan getahnya, bertambah-tambah payah bila terkena pada baju.. Untuk mengurangkan masalah getah pisang, biasanya ita akan letakkan sedikit minyak pada mata pisau, dan juga pada bekas untuk meletakkan pisang tu nanti.

Macam mana pula cara nak siang atau potong pisang muda ni. Sebagaimana yang ita nyatakan tadi, ikut keselesaan. Biasanya ita akan siat kulit pisang dahulu. Kulit pisang ni sebenarnya sedap dimakan. Tapi ita tak ambil semua kulit pisang, ita pilih yang bersih sahaja yang akan ita masukkan dalam gulai ita nanti. Yang lain tu selepas ita siat kulit, ita potong 2 dan belah tengah, belah 2 atau 4 pun boleh, ikut keselesaan kita.


Cara memasaknya pula ita rasa sama juga seperti orang lain, memasak ala-ala masak lemak cili padi Negeri Sembilan.
Ita gandingkan pisang muda dengan kepak ayam, ini untuk menambahkan perisa dalam kuah lemak tu nanti. Jika nak gunakan bahagian ayam yang lain pun boleh. Kalau yang tak suka ayam boleh lah gantikan dengan daging atau kalau jemu dengan daging boleh letakkan ikan masin kurau.

Ada yang meletakkan udang kering atau belacan, tapi sebab ita dah letak ayam, ita tak letak lah udang kering dan belacan. Kalau nak gantikan dengan udang basah pun boleh, ikut keselesaan dan citarasa masing-masing.





PISANG MUDA MASAK LEMAK

1 sikat pisang muda ~ di potong, siat kulit dan cuci bersih
*Siat kulit pisang dahulu. Kulit pisang boleh di masukkan juga dalam gulai jika ianya bersih. Potong ikut keselesaan, boleh potong serong atau potong 2 dan belah tengah tapi jangan putus.
4 keping kepak ayam ~ boleh juga guna bahagian ayam yang lain
20 tangkai cili padi ~ dikisar
1 batang serai ~ dikisar
6 ulas bawang merah ~ dikisar
3 ulas bawang putih ~ dikisar
1 inc halia ~ dikisar
1 inc lengkuas ~ dikisar
1 inc kunyit hidup ~ dikisar
1 helai daun kunyit ~ buang batang tengahnya,  1/2 dikisar dan 1/2 bahagian lagi dimayang halus
3 keping asam keping
1 batang serai dititik
1 biji santan kelapa
1 kiub ayam
air secukupnya

Pisang yang telah telah dipotong dicuci bersih.
Masukkan pisang dalam periuk bersama air dan rebus hingga pisang empuk
Kemudian toskan airnya

Dalam periuk bersih, masukkan bahan-bahan yang dikisar dan serai, masak hingga mendidih dan naik harum baunya
Kemudian masukan ayam, masak hingga ayam empuk
Tambahkan air jika kurang
Masukkan asam keping dan kiub ayam
setelah kuah mendidih masukan pisang yang telah direbus tadi.
Kemudian masukkan santan
Biar kuah merenih
Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa
Taburkan hirisan daun kunyit
Masak hingga kuah sedikit pekat, sedia dihidangkan.


12 comments:

noorliana zamri said...

sedapnya..makanan kegemaran saya ....pisang muda masak lemak...

aQu Mad said...

terliur tengok :)

Leen said...

Saya tak minat sangat makanan kampung ni, tapi bila tgok kak ita letak ni.. terliur~ rasa nak try pulak

faa.rosli said...

sedapnya masak lemak cili api..saya minat sangat makanan kamoung..makanan western boleh terima sekali sekala je itu pon akan cari makanan kamoung jugak..hehehe...cili api the best!

Cheq Sue said...

aduhhhh, lamanya tak makan gulai macam ni. Pisang muda sesekali buat gulai memang sedap...

aziezd said...

sedapnye,..... sok pg nak gi pasar tani cari pisang muda lah....

kalau tgk kak ieta masak sure nak cuba punya.....

Gee® said...

wah! menyelerakan...

Miss Moon said...

nampak sangat menyelerakan
plus plak nasik tew di jadikan bulat2 cam tew ....sangat comey

2 thumbs up utk kreativiti u

Miss Moon said...

nampak sangat menyelerakan
plus plak nasik tew di jadikan bulat2 cam tew ....sangat comey

2 thumbs up utk kreativiti u

BEADNEST by Hamiza Hamzah said...

salam kak ita,

resepi best gambar cantik...tq kak ita memberi inspirasi utk saya utk terus rajin ke dapur selepas ini..

miza

BEADNEST by Hamiza Hamzah said...

salam kak ita,

gambar cantik beserta resepi yang best...memberi inspirasi utk saya rajin ke dapur selepas ini

tqvm
miza

sarah shazlin said...

stress sy tgk lauk pauk akak ditengahari ni.. perot dah berkeroncong tgk lauk kari tu.. aduh... sedapnye (^ ^)