Dec 19, 2012

KEK KUKUS ASAM MANIS

Assalamualaikum


Satu lagi resepi kek yang akan ita kongsikan hari ini, masih lagi dari koleksi buku resepi Jamuan Kek dari Chef Zubaidah. Seronok pula bila mencuba resepi dari buku ini, kerana hasilnya tidak mengecewakan.

Sebagaimana yang ita katakan, di dalam buku ini terhimpun pelbagai jenis kek yang semuanya menambat selera dan mengoda kalbu, terasa seakan mahu di cuba kesemuanya. Keknya juga sangat mudah penyediannya dengan bahan-bahan yang cukup simpel.

Bukan ita sahaja, Dalili pun teruja nak membuat kek dari buku ni.. sebab amat mudah!



Kek kukus asam manis ini ita sediakan pada hari Ahad yang lepas. Kebetulan kawan suami ita singgah ke rumah. Kedatangannya pada lewat malam buatkan ita tak tahu nak sediakan apa untuk di hidangkan. Nak masak yang berat-berat takut dah malam sangat.. akhirnya ita buat kan kek dan juga ita buatkan sardine puff. 

Kedua-duanya amat mudah di sediakan dan tak lah terlalu berat untuk dinikmati pada malam hari. Sambil berbual-bual kosong sambil menghirup secangkir kopi kosong dan sepiring kek yang lembut dan gebu..


Tak sangka pula, kawan suami ita cukup sukakan rasa kek yang lemak dan masam-masam manis ini. Berkeping-keping juga di jamahnya, buatkan hati ita berbunga-bunga ceria apabila dipuji tentang keenakan dan kesedapan kek ini. Merah padam juga muka ini apabila dipuji sebegitu.. terasa segan pula..

Ita tinggalkan suami dengan rakan-rakannya selepas menghidangkan kek dan kopi. Hingga ita tak sedar bila mereka beransur pulang.

Kedatangan rakan suami ita itu kerana nak membawa anak-anaknya bercuti ke Legoland. Ialah, inilah masanya nak bercuti bersama keluarga, setelah bertungkus lumus bekerja sepanjang tahun. Tapi kawan suami ita tu, tak pula bawa isteri dan anak-anak bersama ke rumah, mungkin segan atau hanya teringin bertemu rakan lama..


Pagi itu suami ita dapat panggilan telefon dari beliau yang bertanyakan tentang kek yang ita hidangkan semalam. Suka sangat dengan kek tersebut buatkan beliau menceritakan tentang kesedapannya kepada orang rumah. Bimbang orang rumah kempunan, ita pun membuatkan lagi kek itu untuk di bawa pulang sebagai bekalan..

Seronoknya hati mereka bukan kepalang dan tak putus-putus mengucapkan terima kasih bila ita kirimkan sekotak kek yang masih hangat-hangat lagi..

Sebenarnya ita pun tak pasti.. dan masih termangu-mangu.. sedap sangat kek kek tu..? Kerana dah terlalu kerap sangat buat kek, ita seolah-olah dah tidak dapat mengagak kek yang sedap.. mungkin dah terasa jemu kerana kerap sangat membuat kek. Lagi pula ita tak beberapa mengemari kek yang berat..

Melihatkan kek yang cepat aje licin dari pinggan di makan anak-anak dan suami, ita rasakan ianya juga akan menjadi kek yang enak untuk dicuba oleh rakan-rakan ita yang lain..

Kepada yang teringin, boleh lah mencubanya..


KEK KUKUS ASAM MANIS
By : CHEF ZUBAIDAH
Rujukan : Buku Masakan Jamuan Kek

325 gm mentega
250 gm gula kastor
300 gm tepung naik sendiri
6 biji telur
1 sudu teh esen vanilla
100 gm kepingan asam manis ~ dipotong halus

Sediakan loyang berukuran 8 inc
Sapukan mentega pada loyang dan alas dasar loyang dengan kertas kek

Panaskan kukusan dengan api yang besar

Pukul mentega dan gula hingga sebati
Masukkan telur satu persatu dan terus memukul hingga rata
Tambahkan esen vanilla dan teruskan pukul
Akhir sekali masukkan tepung dan kepingan asam manis
Tuangkan adunan yang telah siap ke dalam loyang
Tutup loyang dengan kepingan aluminium foil
Kukus kek selama 1 jam dengan api yang besar atau sehingga kek di masak dengan sempurna

Sejukkan kek sepenuhnya di atas redai setelah masak sebelum di potong dan dihidangkan.




Dec 18, 2012

KEK MENTEGA PANDAN

Assalamualaikum


Cuaca di Johor bahru, akhir-akhir ini kerap sangat hujan. Hari-hari hujan hinggakan kain baju tak kering-kering diampaian.
Cuaca hujan buatkan payah untuk keluar rumah. Jalan raya pula banyak berlubang-lubang dan becak. Bila keadaan ini berlaku, semakin sesak lah kenderaan di jalan raya.

Keadaan semakin sulit kerana banyak kawasan yang mengalamai banjir kilat. Jangan salah parking kereta, silap haribulan habis kereta dihanyutkan air..


Bila musim hujan perut mulalah kerap berkeroncong, stock makan mestilah sentiasa ada di atas meja, kerana anak-anak kerap pula buka tudung saji.

Hari ini ita akan kongsikan satu lagi resepi kek yang cukup mudah cara penyediannya. Resepi sekali lagi dari Chef Zubaidah dan ita ambil dari buku masakan beliau Jamuan Kek. Dalam buku ni banyak menghimpunkan pelbagai koleksi resepi hasil air tangan Chef Zubaidah. Semuanya nampak menarik dan nampak sangat sedap! hingga seakan nak mencuba semuanya.


Hari ini ita menyediakan Kek Mentega Pandan. Kek yang sangat lembut dengan semerbak harum pandan ini sangat mudah untuk disediakan. Dengan bahan-bahan yang cukup mudah tidak hairanlah jika ianya akan menjadi kek kesukaan keluarga.

Bagi pengemar-pengemat butter cake atau kek mentega boleh lah mencuba kek ini.


Apa itu kek mentega atau butter cake?
Kek mentega adalah kek yang menggunakan mentega sebagai bahan utamanya selain gula, telur, tepung dan baking powder.

Kek ini sebenarnya berasal daripada kek paun Inggeris yang dibuat secara tradisional dan menggunakan bahan asas yang sama iaitu, mentega, gula, tepung dan telur. Ianya adalah kek yang berat dan kaya dengan mentega.

Ciptaan serbuk penaik dan agen-agen penaik yang lain pada abad ke 19 telah meningkatkan fleksibiliti kek paun tradisional dengan menghasilkan kek yang lebih ringan dan gebu dengan menggunakan kombinasi bahan yang sama. Dengan transformasi ini maka terhasilah kek mentega moden.



KEK MENTEGA PANDAN
By : Chef Zubaidah
Rujukan : Buku Resepi Jamuan Kek

270 gm mentega
230 gm gula kastor
5 biji telur
60 gm santan
1 sudu besar pes pandan
1 sudu teh pewarna hijau epal
240 gm tepung naik sendiri
30 gm kelapa parut kering
1/2 sudu teh serbuk penaik
1 sudu teh esen vanilla

Sediakan loyang 9 inc
Sapukan sedikit mentega pada loyang dan alas dasar loyang dengan kertas kek
Panaskan oven pada suhu 170C

Pukul mentega dan gula kastor hingga sebati dan berkrim
Masukkan telur satu persatu dan teruskan memukul
Kemudian masukkan  esen vanilla, kelapa parut , pes pandan dan pewarna hijau
Masukkan tepung naik sendiri berselang seli dengan santan
Tuangkan adunan ke dalam loyang 9 inc dan bakar pada suhu 170C selama 1 jam atau sehingga kek dimasak sempurna






Dec 17, 2012

SWISS ROLL ZIRAFAH

Assalamualaikum


Dah lama sebenarnya ita berangan-angan untuk menyediakan kek roll ni. Setiap kali melihat rakan-rakan menyediakannya hati terdetik.. bilalah ita dapat melempiaskan hajat..

Ita amat suka buat sesuatu yang baru, bosan setiap kali buat benda yang sama. Pada ita dunia masakan sangat unik, penuh dengan aroma, warna warni, tekstur dan kreativiti yang mana bila kita berada di antaranya terasa kita telah menggunakan setiap deria yang Allah kurniakan.


Dari kerana mata kita jatuh cinta, sentuhan buatkan kita terbuai-buai dengan seribu satu keindahan.. rasa yang buatkan kita terlompat-lompat dan menari-nari kesukaan.. setiap irama mengalunkan melodi yang indah untuk didengar.. aroma yang meliuk-liuk buatkan kita tak sabar-sabar dalam penantian..
Begitu besar anugerah yang Allah kurniakan.. dan seharusnya kita mensyukuri.. nikmat itu.

Setiap hari bila celik sahaja mata, apa yang ita fikirkan hanyalah untuk menyediakan juadah yang paling istimewa untuk keluarga tersayag. Ita berharap agar juadah itu nanti akan menjadi kenangan terindah buat insan-insan yang berada di hati ini. Manalah tau.. kalau ianya merupakan air tangan ita yang terakhir.. ita mengharapkan keenakkannya terpahat di sanubari dan sentiasa dikenang..

Ayam rintik di pinggir hutan
Nampak dari tepi telaga
Nama yang baik jadi ingatan
Seribu tahun terkenang juga

Bila memandang ke muka laut
Nampak sampan mudik ke hulu
Bila terkenang mulut menyebut
Budi yang baik ingat selalu
 


Swiss Roll Zirafah, adalah idea unik yang telah dikongsikan oleh SiewHweis Kitchen  dan di sebarkan oleh Eggplant10. Setiap resepi yang di kongsikan di laman web ita lihat dalam bahasa Cina dan ada juga dalam bahasa Jepun, dan ita tidak pasti pula siapakah gerangan pemilik yang mencetuskan idea yang cukup kreatif dan unik ini.

Tapi ada juga insan yang sudi kongsikan resepi ini dan dialih bahasa ke dalam bahasa Inggeris, terima kasih ita yang tak terhingga kepada Everybody Eats Well in Flanders yang telah bersusah payah translatekan resepi ni kedalam bahasa Inggeris supaya dapat di cuba oleh rakan-rakan yang berlainan bangsa dari seluruh dunia.


Bukan itu sahaja, ada juga insan lain yang cukup ita hormati, bakat dan kerajinannya yang juga telah mengalih bahasa resepi ini ke dalam bahasa Melayu untuk di cuba oleh rakan-rakan di Malaysia, Singapura, Brunei, dan Indonesia yang berminat untuk mencuba, dan beliau yang ita maksudkan tak lain-tak bukan ialah kak Wan, pemilik dapur Citarasawan. Terima kasih semua.. jasa dan pengorbanan anda sentiasa ita kenang..

Bagaima pula dengan rakan-rakan ita di luar sana..?
Tak teringin ke nak mencuba?

Mungkin ada yang terkejut melihatkan step by stepnya yang panjang berjela dan nampak agak rumit cara penyediannya. Tapi percayalah ianya tak serumit yang disangkakan.

Ita mengambil masa yang agak panjang untuk menyediakan kek ini, memandangkan ita terpaksa untuk membuat step by step. Ini adalah untuk memudahkan adik-adik ita yang baru berjinak-jinak ke dapur dapat memahami cara penyediaan yang betul dan tepat. Sebenarnya ita  sedih setiap kali membaca coretan adik-adik yang menyatakan kek yang mereka sediakan tak menjadi dan terpaksa pula di humban.. aduh!! tak dapat ita bayangkan kekecewaan itu apatah lagi jika ianya adalah permulaan awal untuk mula berjinak ke dapur. Bertambah-tambah lagi, dengan bahan-bahan yang semakin meningkat harganya di pasaran..


Apa yang dapat ita nasihatkan disini, baca setiap resepi dengan betul. Fahami fungsi setiap bahan, sediakan bahan-bahan yang diperlukan sebaiknya, sukatan bahan haruslah tepat sebagaimana yang tercatat dalam resepi. Jangan mengubah bahan tanpa kita ketahui fungsinya, jangan menggunakan teknik anggaran bila menyukat bahan lebih-lebih lagi jika kita nak menyediakan kek yang amat sensitive cara pengolahannya. Pastikan kita telah bersedia 100% mental dan fizikal bila nak membuat kek. Jangan ambil jalan shortcut dengan memandai-mandai mengedit beberapa bahan dalam resepi sekiranya kita bukan pakar masakan. Pastikan kita memahami fungsi oven kita yang sebenarnya. Kepanasan sesuatu oven banyak bergantung pada jangka hayat oven tersebut. Pastikan tepung, serbuk koko, baking powder diayak terlebih dahulu. Pastikan juga telur berada dalam keadaan segar. Kita juga kena fahami beberapa teknik dan bahasa baking seperti, double boiler, kukusan, kaub balik adunan, tempering, softpeak, meringue, kental, putih gebu, gebu ringan, berkrim, sebati dan lain-lain lagi.

Bila kek dah siap, gunakanlah kreativiti kita pula untuk mencorakkannya sebaik mungkin. Ialah dah penat-penat bersinsing lengan didapur tiba-tiba kita seperti melepaskan batuk ditangga  pula bila menyudahkan decorasinya.

Deco adalah sangat penting, kerana dari mata meruntun ke hati..
Bila memasak juga kita diuji dengan sifat sabar yang tinggi. Kek yang telah siap tidak boleh terus dipotong, simpan dalam peti ais jika kek berkrim, cheese cake, mouse cake atau kek berganache. Paling kurang 4 jam dan sebaiknya semalaman, untuk kita mendapatkan potongan yang menarik.


Macam mana ? dah bersedia nak menyediakan kek ?
Jom bersama Dalili terokai cara penyediaan Swiss Roll Zirafah yang unik ini yokk!!


SWISS ROLL ZIRAFAH
Sumber : Everybody Eats Well in Flanders
Di alih bahasa oleh : Citarasawan

Mula-mula sediakan loyang berukuran 10 X 10 inc
Lukiskan corak zirafah di atas sekeping kertas minyak
Sapukan atau griskan loyang dengan butter
Terbalikkan kertas minyak yang telah dicorakkan tadi dan letakkan di dalam loyang
Sapukan atau griskan atas kertas minyak tadi dengan butter sehingga rata, ini bertujuan supaya corak tidak melekat pada kertas minyak apabila kertas minyak di tanggalkan
Setelah siap ketepikan

Sekarang kita mulakan proses untuk menyediakan kek
Mula-mula kita sediakan dahulu adunan coklat. Untuk memudahkan kita bahagikan adunan ini kepada 2 peringkat.

Peringkat pertama

Adunan Coklat

Bahan A
3 biji kuning telur
15 gm gula kaster
60 ml air
40 ml minyak mazola / minyak masak
75 gm tepung gandum
1/2 sudu teh esen vanilla


  1. Satukan gula dan telur
  2. Pukul sehingga adunan berkrim
  3. Tambahkan esen vanilla
  4. Air dan 
  5. Minyak
  6. Pukul adunan hingga sebati
  7. Tambahkan tepung
  8. Kaup balik adunan hingga rata
  9. Ambil 2 sudu besar adunan, asingkan untuk di campurkan dengan adunan corak zirafah
Setelah siap ketepikan. Sekarang kita buat pula adunan putih telur (Bahan B) yang akan kita campurkan dengan adunan dari Bahan A. Kita juga akan sediakan Bahan C yang akan kita campurkan sekali dengan adunan Bahan A dan Bahan B

Bahan B
3 biji putih telur
50 gm gula kaster
1/4 sudu teh cream of tartar

Bahan C
8 gm serbuk koko
1 sudu teh coklat emulco

  1. Pukul putih telur hingga berbuih
  2. Kemudian tambahkan cream of tartar dan
  3. Gula kaster
  4. Pukul bahan ni dengan mixer sehingga ia jadi kental / kaku / bertanduk ( softpeak)
  5. Ambil 1/4 adunan dan masukkan di dalam adunan Bahan A yang telah kita sediakan tadi. Gaul rata dengan kaedah kaup balik.
  6. Campurkan semua baki yang selebihnya ke dalam adunan dan gaulkan dengan kaedah kaup balik sehingga ia sebati.
  7. Sekarang kita tambahkan serbuk koko dari Bahan C
  8. Tambahkan juga coklat emulco
  9. Dengan kaedah yang sama, kaup balik adunan hingga ia bergaul sempurna. Ketepikan
Selesailah proses pringkat pertama.
Sekarang kita  beralih pula pada proses peringkat ke dua. Proses untuk menyediakan adunan mencorakkan zirafah

Peringkat ke dua

Adunan Corak Zirafah
1 biji putih telur
2 sudu teh gula kaster
1 sudu teh tepung gandum
2 sudu besar adunan dari Bahan A yang telah kita asingkan tadi


  1. Pukul putih telur bersama 2 sudu teh gula kaster sehingga kembang dan bertanduk (softpeak)
  2. Tambahkan tepung dan kaup balik adunan sehingga sebati
  3. Kemudian kita masukkan pula 2 sudu besar adunan Bahan A yang telah kita asingkan tadi. Gaul rata adunan dengan kaedah kaup balik sahaja.
  4. Masukkan adunan yang telah siap ke dalam piping bag
Sekarang boleh lah kita mulakan proses peringkat ke tiga iaitu , melakar corak atas kek dan diikuti proses penyediaan kek kita.
Sebelum itu panaskan oven terlebih dahulu pada suhu 170C
Ita letak pada rak bawah dan menggunakan api atas dan bawah.

  1. Potong hujung piping bag. Paipkan atas lakaran corak yang telah kita lukiskan di atas kertas minyak tadi
  2. Setelah siap , bakar di dalam oven yang telah dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 170C selama 1 minit sahaja.
  3. Bila adunan dah masak, keluarkan dari oven dan tuangkan pula adunan coklat tadi
  4. Ratakan hingga ke setiap penjuru loyang
  5. Hentak-hentakkan loyang, untuk menghilangkan gelembung udara yang terperangkap didalam adunan. Bakar adunan di dalam oven pada suhu 190C selama 10 ~ 15 minit sahaja atau sehingga kek kita di masak dengan sempurna.
  6. Bila kek telah masak keluarkan dan terbalikkan kek kita tadi di atas redai dengan kertas minyak nya sekali. Jangan buka kertas minyak sehingga kek benar-benar sejuk. Bila kek telah sejuk barulah kita tanggalkan kertas minyak tersebut.
Sekarang, bolehlah kita mulakan pula peringkat ke empat.

Bahan Filling
100 gm krim putar bukan tenusu ~ Non Dairy Whipping Cream
100 gm Blueberry Filling ~ jika suka


Putar krim putar bukan tenusu / Non Dairy Whipping Cream sehingga kental / kaku ( softpeak)
  1. Letakkan kek di atas sekeping kertas minyak dengan corak zirafah di sebelah bawah
  2. Letakkan blueberry filling di atasnya dan ratakan
  3. Letakkan juga Non dairy Whipping Cream yang telah kita putar tadi
  4. Dengan berhati-hati gulung kek membentuk selinder
Balut kek dengan kertas minyak dan simpan di dalam peti ais semalaman atau paling kurang 4 jam sebelum di potong.










Dec 15, 2012

AGAR-AGAR CENDOL KACANG MERAH

Assalamualaikum


Selamat pagi, selamat berhujung minggu dan selamat berlibur bersama keluarga..
Mungkin ini adalah antara minggu-minggu terakhir kita dapat meluangkan masa bersama anak-anak..
Tak lama lagi mereka dah mula kembali ke sekolah. Kita juga semakin sibuk dengan rutin seharian. Bila ada peluang bersama seeloknya ianya dimaanfaatkan sebaik mungkin..

Hujung minggu..
Apa perancangan anda hari ini?
Bawa anak-anak jalan-jalan, pergi shopping keperluan persekolahan.. atau berehat sahaja bersama keluarga di rumah.
Sebenarnya banyak aktiviti yang boleh kita lakukan bersama keluarga di rumah. Salah satunya gotong-royong.. aaa.. inilah masanya kita dapat bersama anak-anak bergotong royong membersihkan rumah.. kata orang berat sama dipikul ringan sama dijinjing..
Atau kita boleh mengajak anak-anak masak bersama-sama, buat kek, atau cookies? Tentu anak-anak seronok bukan kepalang bila kita sama-sama mengajak mereka memasak.. nak melentur buluh biarlah dari rebungnya..

Tak payah masak menu yang susah-susah..
Cari yang simple, ringkas dengan bahan-bahan yang cukup minima..
Seronok tau bila melihat anak-anak membantu di dapur..


Hari ini ita nak kongsikan satu lagi resepi yang mudah dan ringkas. Resepi ini adalah atas permintaan seorang kenalan FB.


Sebenarnya setiap hari banyak sangat ita dapat kiriman email, PM atau komen di FB dan blog yang meminta ita kongsikan pelbagai resepi. Mana yang ita termampu kongsikan ita akan kongsikan untuk kita bersama-sama mencuba dan merasa.

Tapi setiap resepi ita olah ikut selera ita dan keluarga. Jika ada yang rasa kurang di mana-mana boleh lah tambah mengikut selera masing-masing, tiada kompromi di sini. Sebagaimana yang kita sedia maklum selera kita semua memang tak sama, walaupun rambut sama hitamnya tapi hati dan selera berbeza.. Oleh itu olahlah resepi dengan bijak dan mengikut kreativiti masing-masing, Cooking is so Fun..


Kepada mereka-mereka yang permintaanya belum ita tunaikan, ita mohon maaf banyak-banyak, mungkin ita masih lagi belum menemui resepi yang sesuai.

Kadang-kala masa cukup mencemburui.. Kekangan masa dan keadaan cuaca yang sering mendung, buatkan semua perancangan ita banyak yang tergendala. Ada sesetegah resepi ita perlu tunjukkan step by step untuk memudahkan kita sama-sama membuat rujukan. Untuk menyediakan resepi bersama step by step perlukan masa yang panjang, kesabaran dan yang paling penting sekali adalah bersesuaian dengan hari dan cuaca.


Ita juga perlukan khidmat, anak-anak dan suami untuk membantu ita sebagai prop. Ada sesetengah resepi terutamanya kek tidak boleh lama diluar kerana nanti ia akan turun bila dibakar, banyak ruang udara dan macam macam lagi.. Ada sesetengahnya ita terpaksa buat 2 tiga kali semata-mata untuk tunjukkan step yang jelas supaya semua boleh mencuba.
Ita benar-benar berharap agar adik-adik ita diluar sana amat-amat memahami masalah yang ita hadapi..
Insyaallah ita akan cuba sedaya mungkin untuk menunaikan semua permintaan..

Berbalik kepada resepi kita pada hari ini. Resepi yang mudah dan ringkas. Asalnya ia adalah resepi agar-agar cendol. Tapi ita olah sedikit dengan menambahkan kacang merah. Selain untuk menambahkan keenakan ia juga turut menaikkan seri agar-agar,  agar di pandang manis serta menarik hati setiap mata yang memandang.


AGAR-AGAR CENDOL KACANG MERAH

1 peket agar-agar serbuk (10gm ~ 14gm)
1 liter air ~ anggaran 5 cawan
1 cawan gula Melaka ~ dihiris
1 cawan gula pasir
1 cawan santan/susu cair
1 cawan cendol
1 cawan kacang merah ~ dalam tin
1 helai daun pandan disimpul
secubit garam

Masak agar-agar bersama gula pasir dan air hingga larut dan mendidih
Bahagikan adunan kepada 3 bahagian
Ambil 1 bahagian dan letakkan daun pandan yang disimpul dan gula merah
Masak semula hingga gula merah larut
Tapiskan ke dalam loyang atau acuan yang telah di basahkan dengan air terlebih dahulu
Biarkan ia mengeras.

2 bahagian lagi kita tambahkan santan dan secubit garam
Masak sehingga didih sambil dikacau supaya tidak pecah minyak
Tutup api.
Masukkan cendol dan  kacau rata

Cakarkan atau cucuk-cucuk permukaan agar-agar gula Melaka tadi dengan garfu
Tuangkan 1/2 adunan agar-agar cendol di atasnya
Taburkan kacang merah
Ulang sekali lagi dengan 1/2 baki adunan agar-agar cendol dan kacang merah
Simpan dalam peti ais sehingga ia sejuk dan dingin
Sedia dihidangkan.

Adunan ini dapat banyak, jika keluarga tak ramai buat anggaran 1/2 daripada adunan.




AGAR-AGAR CENDOL WITH RED BEANS

Ingredients:
1 packet of agar-agar powder (10gm ~ 14gm)
1 litre water ~ approx 5 cups
1 cup gula Melaka/brown sugar
1 cup sugar
1 cup coconut milk/fresh milk
1 cup cendol ~ drained
1 cup red beans ~ canned/drained 
1 pandan leaf
pinch of salt

Boil a mixture of agar-agar, sugar and water
Divide into 3 portions
mix 1 portion with brown sugar and pandan leaf. Keep boil

Pour the mixture into mould and let them set

Mix another 2 portion with coconut milk and a pinch of salt
Keep boiling
Add cendol and mix evenly

Pour 1/2 cendol mixture on top of brown sugar layer
Sprinkle with red beans.
then cover with the balance of cendol mixture

Chill in refrigerator when it is completely set

Dec 14, 2012

KEK MENTEGA MARMAR SUSU

Assalamualaikum


Hari Jumaat datang lagi.. Semoga Jumaat kali ni, memberikan seribu maanfaat pada kita semua, memperoleh rezeki yang barakah dan kebahagiaan yang berpanjangan..

Beberapa hari hujan turun tanpa henti, kedinginan hingga ketulang sum-sum. Setiap kali bagun pagi.. aduh.. terasa liat nak mencapai tuala.. buka tutup.. buka tutup kepala paip.. uh.. sejuknya macam air dari peti ais dinginnya..

Dah berapa hari heater rosak.. tak berfungsi.. kena pulak musim hujan cam ni..
"makkk... sejuknya.. macam mana nak mandi.. tak ada air panas.." suara Dalili menjerit dari biliknya..
Anak-anak sekarang cukup manja..

Ita segera terkenang masa silam, seawal pukul 4 pagi telah dikejutkan..
" cepat bangun.. nanti lewat ke sekolah.."
Dalam kepekatan subuh dan dingin pagi.. ita , kakak dan adik, menyusur ke perigi.. embun jantan baru turun..
" nanti jangan lupa angkat air.. mak nak cuci pingan.." pesan emak sambil menghulurkan baldi kosong.

Tak pernah pula nak bersungut..
Lepas mandi, bibir naik lebam kebiruan.. menahan kesejukan
Anak-anak sekarang.. tak pernah merasa susah.. semuanya di depan mata.. beruntungnya badan..


Hari ni ita sediakan sebijik kek yang mudah dan ringkas cara penyediaannya.
Baru-baru ni ita menerima kiriman email dari seorang adik..
"kak ita, boleh tak akak buatkan kek yang mudah dan ringkas, seperti kek yang terjual di pasaraya.. saya bercadang untuk menjadikan ianya sebagai pendapatan sampingan"

Alhamdulillah.. sejuk perut ita mendengarnya.. sesejuk dan sedinginnya air di telaga 30 tahun yang lalu..
9/10 peratus rezeki datangnya daripada perniagaan.. masih terngiang-ngiang lagi celoteh ustazah di sekolah..
" bila besar nanti awak nak jadi apa? " soal ustazah
Terkebil-kebil mata ini memandang wajah ustazah..


Resepi kek ni ita ambil dari buku Jamuan Kek oleh Chef Zubaidah. Kek ini boleh ita katakan adalah dari jenis butter cake. Teksturnya lembut, gebu dan sedikit padat. Bukan seperti kek span yang lembut, gebu dan ringan.

Sebenarnya ita tidak beberapa meminati kelompok kek dari jenis buttercake. Mungkin rasanya yang agak lemak dan bau butter yang padu buatkan ita cepat muak bila memakannya. Cukuplah sekeping, kalau makan 2 , 3 keping ada ita tak bangun.. pasti sakit kepala ita ni akan menyerang lagi.. lebih-lebih lagi bila diletakkan perasa moca dalam aduan tersebut..

Tapi ita pasti, ramai diluar sana yang mengemari kek ini. Kek yang lembut, harum dengan bau moca dan koko buatkan sesiapa yang mengemarinya sentiasa mengulang-ngulang ke dapur..


Sebenarnya banyak lagi resepi yang menarik didalam buku ni. Resepinya ringkas dan cukup mudah disediakan dengan bahan-bahan yang sangat minima.

Insyaallah jika ada kesempatan ita akan kongsikan lagi lain-lain resepi yang menarik!


KEK MENTEGA MARMAR SUSU
By: Chef Zubaidah
Rujukan : Buku Masakan Jamuan Kek

250 gm mentega
200 gm gula kastor
4 biji telur
290 gm tepung naik sendiri
50 gm susu pekat manis
100 g susu cair
1 sudu besar coklat emulco
1 sudu teh kapucino emulco
1 sudu teh esen vanilla ~ ita tambah
Kepingan badam sebagai hiasan

Panaskan oven pada suhu 150C
Sediakan loyang ukuran 8 inc
Sapukan butter dan alas dasar loyang dengan kertas kek

Pukul mentega dan gula sehingga sebati
Masukkan telur satu persatu
Kemudian masukkan susu pekat manis
Pukul sehingga adunan sebati
Akhir sekali masukkan tepung naik sendiri berselang seli dengan susu cair
Mulakan dengan tepung dan akhiri dengan tepung.

Ambil 1/4 adunan
Letakkan coklat emulco dan kapucino emulco
Kacau rata
Letakkan esen vanilla didalam adunan plain dan kacau rata

Tuangkan adunan plain ke dalam loyang
Diikuti adunan coklat kapucino
Buatkan bentuk marble dengan belakang sudu
Hiaskan dengan taburan kepingan badam

Bakar dalam ketuhar yang telah dipanaskan pada suhu 150C selama 1 jam 15 minit atau sehingga kek dimasak sempurna.


MILK MARBLE BUTTER CAKE

Ingredients:
250gm butter
200gm castor sugar
4 eggs
290gm self-raising flour
50gm sweetened condensed milk
100gm evaporated milk
1 tbs choc emalco
1tsp cappucino emalco
1 tsp essence vanilla

Decoration:
Almond flakes/slices

Method:
Beat butter and castor sugar till well combined
Add in eggs, 1 at a time followed by condensed milk
Mix well
Add in self-raising flour and milk alternately
Mix well
Scoop out 1/4 of batter and mix in cappucino and choc emalco
Add in and mix essence vanilla into the balance 3/4 of batter
Pour the vanilla batter into 8" baking mould follow by cappucino choc batter
Create marble effect
Sprinkle almond flakes evenly on top
Bake in preheat oven at 150C-170C for 1 hour or till completely bake
Dec 13, 2012

SALAD TAUHU

Assalamualaikum


Satu lagi resepi yang ringkas dan mudah di sediakan dari buku masakan Chef Hanieliza atau lebih mesra di kalangan bloger sebagai kak Liza.


SALAD TAUHU
By : Chef Hanieliza
Rujukan : Buku 1 Hari 1 Resepi

4 keping tauhu lembut
1 batang timun ~ dihiris
1 labu bawang besar ~ dihiris
1 biji tomato muda ~ dihiris
4 biji limau kasturi ~ diambil jusnya
2 biji cili merah ~ di cincang halus
2 biji cili padi ~ ita tambah
1 ulas bawang putih ~ dicincang halus
1 sudu makan serbuk lada hitam ~ ita tak letak
1 sudu teh gula
garam secukup rasa
Minyak untuk mengoreng

Tauhu di salutkan dengan sedikit garam dan di goreng
Angkat tahu setelah masak dan sejukkan
Kemudian di hiris

Masukkan tauhu, timun, tomato dan bawang besar dalam mangkuk adunan
Satukan jus limau nipis, cili merah, cili padi, serbuk lada hitam, bawang putih gula dan garam dalam satu bekas yang lain
kacau rata
Tuangkan adunan limau nipis ke dalam adunan tahu
Dengan perlahan gaul adunan hingga mesra
Sedia dihidangkan


KETAYAP TELUR

Assalamualaikum


Zaman anak-anak ita bersama keluarga memang sukar untuk ita lupakan. Banyak sangat memori-memori indah untuk ita kenang. Ranjau kehidupan yang penuh berliku, bagaikan roda adakala di atas adakala di bawah.. Namun semuanya adalah satu pengalaman hidup yang banyak mendewasakan ita.

Dilahirkan di tengah-tengah bandar Johor Bahru, di kaki Bukit Timbalan yang menjadi mercu tanda. Tiba-tiba terpaksa pula berhijrah ke kawasan pendalaman yang tidak berpenghuni. Hidup di temani agas dan cengkerik yang sentiasa mengalunkan irama setiap malam menjelma. Mandi air dingin dari telaga setiap pagi dan malam bertemankan api pelita. Namun ita bersyukur kerana bumi Allah yang terbentang luas ini sentiasa memberikan rezeki buat kami sekeluarga. 


Ita bangga dengan mak..
Sedikit pun tidak pernah mengeluh walau pelbagai kesusahan di tempuh.
Melayan kerenah anak-anak yang ramai dengan seribu ragam.
Mak memang seorang yang cukup sabar.. mampukah ita menjadi seorang ibu yang penyabar seperti mak.
Ita selalu berdoa dan berharap agar ita memiliki sifat sabar seperti mak dan kuat semangat dan tak pernah berputus asa seperti bak..
Ita juga mengharapkan anak-anak juga memiliki sifat itu..

Pagi-pagi hari lagi mak dah bangun. Menyediakan segala juadah untuk jualan. Salah satu kuih yang kerap mak buat adalah kuih dadar.
Dulu ita selalu tanya mak..
"napa panggil kuih dadah.. kata ustazah dadah kan tak boleh makan.. berdosa!" mak tergelak.
"ini bukan kuih dadah.. tapi kuih dadar"
Mak menerangkan kaedah membuat kuih dadar dan dari kaedah penyediaannya itulah namanya di berikan seperti juga kuih-kuih yang lain..


Bila di sekolah kawan-kawan pula mengelarnya kuih ketayap aikkk!! pelik pulak namanya..
Bila pulang ke rumah ita terus tanya mak..
" napa kawan-kawan panggil kuih ketayap?"
Setahu ita ketayap adalah alas kepala warna putih yang sering di pakai atuk.
Dari situ ita belajar sesuatu yang baru,  "lain padang lain belalang " kata mak

Kuih dadar yang biasa mak buat berjual, berintikan kelapa yang dimasak bersama gula melaka. Bila musim durian mak akan letakkan juga isi durian untuk menambahkan lagi keenakan rasanya. Tapi harganya tak pula bertambah, masih lagi di jual 10 sen 2 batang.
" napa mak tak jual mahal sikit kan ada durian"
" durian ni kan pokok kita yang Allah bagi rezekinya.. tak salah kita berkongsi untuk di rasa oleh orang lain.." 'Hati gajah sama di lapah, hati kuman sama dicecah'


Kuih dadar telur ni biasa mak sediakan untuk sarapan kami adik beradik. Bila dah setiap hari makan kuih dadar berintikan kelapa adakalanya terasa jemu juga.. 
Mak faham selera anak-anaknya.. lebih-lebih lagi abang yang tak suka makan kuih yang manis. Setiap hari mesti ada sambal tumis di rumah, kerana itulah lauk kegemaran abang. Makan nasi dengan sambal tumis sahaja pun bertambah-tambah abang makan, buatkan mak tersenyum..

Bila kuih dadar di letakkan inti telur hancur dan sambal tumis, lagi berselera lah kami mengadap sarapan setiap hari.. sampai tak sempat-sempat mak nak mendadar.. masing-masing dah menghulur piring..
Walaupun ita tahu mak penat.. bila melihat anak-anak berselera makan pasti hilang penat mak..



KETAYAP TELUR

300 gm tepung gandum
650 ml air
1 sudu teh tepung jagung
1 biji telur
1 sudu teh garam
1 sudu makan minyak masak
sedikit pewarna

Satukan semua bahan di atas di dalam bekas
Kacau rata
Masukkan dalam blender dan kisar
Kemudian di tapis

Sediakan kuali leper untuk membuat crepe yang tidak melekat
Panaskan hingga kuali benar-benar panas
Oleskan sedikit minyak pada kuali
Kemudian kecilkan api
Tuang satu senduk kecil ke dalam kuali dan masaklah adunan hingga menjadi crepe
Adunan tak perlu dibalikkan
Bila permukaannya dah kering terus angkat
Segera letakkan inti telur dan sambal tumis
Gulung seperti bentuk selinder atau kuih ketayap
Sangat enak di jadikan sarapan pagi.


INTI TELUR

3 biji telur
1 labu bawang besar ~ di dadu kecil
Secubit garam
3 sudu besar sambal tumis

Telur di kocok
Masukkan garam dan bawang hiris
Pukul sebati

Pihjarkan minyak dalam kuali
Masukkan bancuhan telur tadi
kacau selalu telur hingga hancur dan masak
Angkat
Campurkan dengan sambal tumis dan gaul rata








Dec 12, 2012

KETARAP MASAK ASAM PEDAS BEREMPAH

Assalamualaikum


Pernah nampak ikan ni?
Inilah ikan ketarap atau ada yang memanggilnya ikan bayan. Bapa ita pula mengelarnya ikan becuk. Ikan ini merupakan ikan yang cukup digemari oleh kaki pancing, kerana ia memberikan perlawanan yang cukup hebat kepada pemancing.

Ikan ini adalah spesis ikan yang menghuni kawasan karang pingir pantai dan umpan utamanya ialah ketam dan udang. Biasanya pemancing akan menggunakan umpan ketam bakau, kerana ia dikatakan umpan yang terbaik untuk menangkap ikan ketarap ni.

Ikan ini dikatakan sangat kuat menyentap. Kekuatannya rentapannya tu yang membuatkan kaki pancing tak senang duduk. Yang menjadi masalahnya ikan ini tinggal di kawasan karangan laut.. bila dah mengena umpan ia akan membawa lari dengan deras umpan menyelinap masuk ke kawasan karangan.. berpeluh-peluh jugak lah kaki mancing nak melawan regangan supaya ikan tak lari ke kawasan karang. Takut terkena karang yang tajam.. waaa.. melepas lah.. ikan di hujung joran..

Joran yang sesuai di gunakan untuk menangkap ikan ni ialah set heavy atau set medium, tapi biarlah joran yang keras dan pendek, kerana mudah nak dikendalikan ketika berlawan dengan rentapannya nanti.. Joran yang keras dan kasar juga untuk mengelakkan ianya mudah putus bila bergeser dengan karang..

Kebiasannya para nelayan dan kaki pancing menggunakan ambur, kerana ianya kebih mudah untuk menewaskan ketarap. Ketarap yang telah lemah bertarung akan mudah di naikkan. Tapi awas, siripnya yang tajam boleh membuatkan terluka.. ketika hendak menangalkan matakail di mulutnya.. hati-hati.. ya..!


Kalau di Johor ni, lubuk ketarap banyak di pesisir pantai Desaru. Ini bedasarkan maklumat yang ita perolehi daripada seorang kaki pancing tegarrr.. tak lain tak bukan.. suami ita laa...

Aduhh.. payah juga tau kalau khawin dengan kaki pancing ni.. pantang nampak laut.. aikk.. terus ingat nak mancing.. mujur tak de anak-anak yang mengikut.. kalau ada pun Dalili.. huhu..

Bapa ita pun kaki pancing jugak.. bila dua beranak ni berborak.. tak de cerita lain.. asyik cerita pasal mancing aje..
Sebenarnya ada juga kebaikannya.. dapatlah ita kenal jenis-jenis ikan.. kalau tak bila pergi pasar aje melopong.. tak tau nama ikan.. hihi
Terus terang ita banyak kenali ikan dengan suami ita.. dia lah yang banyak kenalkan ita dengan ikan-ikan di pasar tu..


Ikan ketarap ni mempunyai isi yang tebal, halus, lemak manis dan sangat sedap. Tidak hairanlah harganya juga boleh tahan mahalnya.

Bila pergi pasar ita sangat suka pergi bahagian ikan, macam-macam ikan yang ita tak pernah lihat ada di situ. Bila melihat ikan yang berwarna-warni ni.. adoiii.. comel sungguh sampai sayang nak di masak..

Ikan ketarap ni pula mempunyai sisik yang agak kasar dan keras. Badanya pula sangat solid dan cantik! rasa macam nak pelihara aje di dalam kolam.. tapi mana pulak nak cari air masin.. dan batu karang.. ada Dalili dok duduk mancing tepi kolam pulak!! haha


Biasanya ikan ketarap ni sedap jika di bakar, atau dikukus. Tapi kali ni ita masak asam pedas berempah. waaa.. sedap jugak lah.. bertambah-tambah suami ita makan.. mungkin sedang membayangkan berada di tengah laut sambil melayan ketarap.. ya adooo..


KETARAP MASAK ASAM PEDAS BEREMPAH

2 ekor ikan ketarap ~ di siang dan di cuci bersih
2 batang serai ~ dititik
1 kuntum bunga kantan ~ dibelah 2
5 tangkai daum kesum
2 sudu teh halba
2 sudu besar rempah kari ikan
1 cawan air asam jawa
minyak untuk menumis
Garam dan gula secukup rasa

Bahan Kisar
6 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inc halia
1 inc kunyit hidup
1 batang serai
1 helai daun kunyit
10 tangkai cili kering
2 inc belacan

Pijarkan minyak dalam kuali
Tumiskan halba dan serai yang dititik
Masukkan bahankisar dan tumis hingga naik bau dan terbit minyak
Masukkan air asam jawa dan serbuk kari
Kacau perlahan-lahan hingga merenih
Masukkan ikan, daun kesum, bunga kantan garam dan gula secukup rasa
Kacau perlahan di atas api sederhana sehingga kuah sedikit pekat
Sedia dihidangkan.




AzlitaMasamManis. Powered by Blogger.