Nov 30, 2012

Apa yang selalu ditanya..

Sebagaimana yang telah ita janjikan. Ini adalah antara bahan-bahan yang sering ita gunakan dalam setiap masakan ita tak kiralah kuih-muih, kek atau apa-apa sahaja hidangan yang terdapat di blog.
Ita harap dengan penerangan ini dapat membantu adik-adik di luar sana untuk membuat rujukan. Tak semestinya mengikut apa yang ita gunakan, anda boleh juga mengunakan brand lain jika dirasakan sesuai dan selesa.

Apa-apa sahaja bahan-bahan yang ita gunakan adalah bahan yang biasanya ita lihat emak ita gunakan, atau juga bahan-bahan ini mudah ita dapati dari kedai yang berhampiran dengan kediaman ita.



Kita mulakan dengan tepung gandum.
Tepung ni memang wajib ada di dapur. Kalau habis kena segera ke kedai. Biasa ita beli lebih-lebih, simpan stock.
Biasanya tepung gandum ita lebih selesa menggunakan cap sauh. Selain ianya mudah di dapati di Johor Bahru, ia juga adalah tepung yang selalu digunakan oleh emak ita untuk setiap juadah yang beliau sediakan. Sekarang ita pula meneruskannya untuk juadah anak-anak ita pula.

Anda boleh juga menggunakan lain-lain brand yang terdapat di pasaran seperti cap lili, 1 Malaysia, cap kunci atau lain-lain lagi.
Tapi untuk sesetengah kek atau kuih ada kalanya bila ita tukar ke brand lain ia tak berapa cantik, contoh macam kek rainbow, jika ita guna cap lain ia tak naik cantik seperti bila ita menggunakan cap sauh. Kuih pun begitu juga, ada sesetengah kuih bila guna cap sauh ia lebih cantik kejadiannya. Oleh kerana itu cap sauh ni harganya lebih mahal sikit berbanding jenama lain.

Tepung Beras
Tepung beras biasanya ada banyak jenis. Yang biasa ita lihat kalau di Johor bahru ni tiga jenis yang di atas. Kalau ita buat kuih, biasanya ita akan menggunakan tepung beras cap gajah 3. Gajah yang tiga ekor, tepung yang tengah dalam gambar di atas. Menurut emak ita yang biasa membuat kuih-muih tradisional, tepung gajah 3 ni menghasilkan kuih yang lebih lembut dan cantik berkilat.

Gajah satu pula, biasanya emak gunakan untuk menyediakan goreng pisang, atau kuih muih yang di goreng seperti kuih gendang kasturi. Menurut emak ianya lebih rapuh.

Gajah 5 pula, ita tak pernah nampak emak gunakan. Tapi biasanya ita lihat jiran emak selalu menggunakan tepung beras gajah lima untuk membuat laksa. Jadi bila nak buat laksa, ita gunakan tepung beras cap gajah 5.


Ini pula tepung yang dikhaskan untuk sesuatu kuih. Contohnya kalau kita nak buat pau, kita gunakan tepung pau. Tepung untuk pau ni biasanya telah diproses untuk menjadikan ianya lebih putih halus dan gebu.

Tepung halus lagi putih pula biasanya digunakan untuk buat kuih yang seperti gambar dalam kotaknya tu. Tapi ita jarang beli tepung ni, kecuali jika dalam resepi menyarankan menggunakan tepung halus lagi putih, barulah ita gunakan tepung ni. Kalau tak ita gunakan tepung gandum sahaja.

Self raising flour pula biasanya digunakan untuk membuat kek. Itu pun jika dalam resepi mencadangkan tepung ni barulah ita gunakan. Jika tidak ita gunakan tepung kek yang timbang aje, ita beli dari kedai bakery, sebab tepung ni mahal sikit.. Tepung ini telah dicampurkan dengan baking powder atau soda bikarbonat. Jika resepi mencadangkan tepung ini dan tiada pula dalam simpanan, atau telah kehabisan stock, kita boleh gantikan dengan mencampurkan 250 gm tepung gandum bersama 1 sudu besar baking powder. Kemudian semua bahan ini di ayak. Dah pun jadi tepung Self Raising Flour.... hihi.  

Untuk lain-lain tepung biasa ita guna tepung beli timbang kat kedai bakery, macam tepung Ros, tepung Roti, Hingh Protin (HP) atau Low protin (LP) dan lain-lain lagi.

Tepung kastard pula biasa pilihan ita Bird's Custard. Kalau tepung jagung pula tak kisah, mana-mana brand pun tak kisah.


Kalau buat puding pula ita suka guna cap bintang, kalau tak ada barulah ita guna cap burung layang-layang. Untuk jely pula biasanya ita gunakan 2 brand jely di atas. Tak kisah mana-mana pun ita biasa guna.


Susu cair pula biasanya ita suka guna Carnation. Selain ita sukakan rasanya yang lemak, baunya yang harum juga sangat menambat selera ita. Jika dah tak ada barulah ita guna Ideal.


Minyak pula dalam penyediaan kek yang menggunakan minyak, biasanya ita gunakan minyak Mazola. Sebenarnya minyak ni tak kisah, apa-apa sahaja minyak makan pun boleh digunakan. Terpulang pada citarasa..


Untuk butter pula kebiasannya ita guna SCS, sebab ianya mudah di dapati di mana-mana supermarket. Kadang-kadang kat kedai runcit pun kita boleh beli. Ia ada 2 jenis, iaitu yanga bergaram 'salted' atau yang tak bergaram 'unsalted'. Sebenarnya mana-mana pun boleh guna, cuma jika guna yang bergaram tak perlulah letak garam lagi. Dan jika guna yang tak bergaram, ikut keselesaan nak letak garam atau tidak. Butter yang tak bergaram lebih lembut dan lebih sedap, harganya juga lebih mahal sedikit berbanding yang bergaram.

Jika tiada, barulah ita beralih kepada Ancor. Ita tak pernah guna butter Golden Churn kerana bimbang tentang halal atau tidak. Sekejap halal kejap tak halal.. daripada was-was baik tak usah guna.. itu pendapat ita sahaja..


Cream cheese pula, biasanya ita guna Philadelphia. Tapi kadang-kadang susah sikit nak dapat dekat pasaraya, ada sesetengah pasaraya sahaja yang jual cream cheese ini. Kalau kat bakery biasanya memang mudah!. Jika dah payah sangat nak jumpa ita akan beralih pula kepada SCS.

Tapi pada ita Philadelphia lebih sedap!


Pewarna dan perasa makanan biasanya untuk buat kuih tradisional ita guna Star Brand. Ita sukakan warnanya. Lagipun produk ni dah berkurun di gunakan dari zaman mak ita lagi. Ianya juga sangat mudah di dapati di pasaraya.

Bagi kek dan kuih, biasanya ita guna perasa makanan yang oil- based (berasaskan minyak). Ianya tahan lama dan baunya kekal. Jika guna yang water- based ( berasaskan air), bila kita bakar kek kita, ia akan terpeluap dan baunya tidak kekal lama. Sebab tu bila kek kita dah siap di bakar, baunya pun dah hilang wangi dan harum. Jika guna oil-based.. emmm... harumya.. menusuk ke kalbu.. satu rumah berbau harum..

Ita suka paste vanilla (oil- based) yang ita beli dari Chef Amer. Baunya tahan lama dan kekal dalam kek. Ia membuatkan kita berselera nak makan dan tak sabar nak potong kek kerana baunya yang tersangat lah... harum. Bila dah guna yang ni.. memang tak nak guna yang lain. Ita tak ada gambar sebab masa ita beli Chef letak dalam botol kecil. Sebenarnya menurut Chef ia beli dalam botol besar entah.. berapa liter atau gelen pun ita tak tau.. hihi

Untuk pewarna kek atau cream, ita lebih suka menggunakan Wilton colour. Ada pelbagai pilihan colour dan semuanya cantik-cantik. Warnanya juga tidak berubah bila kek dibakar. Malah ia menjadikan warna kek lebih berseri. Cuma harganya sangat mahal berbanding pewarna lain. Nak guna pun sikit-sikit aje.. sebab sayang.. mahal tau!! kena jimat.. jimat

Berbeza dengan Wilton, Ameri pula product yang baru ita nak cuba. Apa yang menarik, pewarna Ameri datang dengan 2 pilihan, water- based dan oil- based. Mudahlah jika ita nak warnakan coklat. Sebab coklat tidak boleh di campurkan dengan pewarna makanan berasaskan air, nanti coklat kita cepat mengeras. Lagi satu terdapat banyak sangat warna, termasuklah warna gold dan silver. Harganya juga lebih murah dari Wilton. Cuma warnanya ni, bila kita letak dalam kek dia berubah bila kek dah masak.. kita nak warna lain jadinya warna lain.. Untuk buttercream tak ada masalah..

Whipping Cream ni ada 2 jenis tau jangan keliru. Satu Non dairy Whipping Cream dan satu lagi Dairy Whipping Cream.

Non Dairy ~ Bukan tenusu dari lemak sayuran seperti minyak kelapa sawit
Dairy ~ Bahan tenusu iaitu berasaskan susu haiwan

Jika masih tak boleh bezakan 2 bahan ni boleh baca entry ita sebelumnya di SINI

Untuk gambar Whipping Cream di atas ianya adalah Non Dairy Whipping cream yang selalu ita gunakan. Ita sangat suka guna jenama Rich, selain ianya sedap lemak berkrim disukai ramai, ia juga mudah ita dapati dari kedai bakery yang biasa ita kunjungi. Kalau kat pasaraya memang tak ada.. 

Ita suka guna yang kotak bewarna biru, sebab ia boleh di campur dengan apa-apa jus menjadikan cream kita berperisa. 
Kalau nak perasa coklat pula ita guna kotak coklat. Jika buat ganache, ita suka campurkan dengan whip toppping coklat, sebab rasanya lebih sedap!! yummy.. sampai ita asyik suap ke mulut aje.. nah.. sekarang badan pun dah naik.. makkk aii..
Yang kotak gold tu memang biasa digunakan, kita putar aje sampai kaku dah boleh guna untuk melempa kek.

Kek menggunakan Whipping Cream lebih sedap! macam rasa ice cream berbanding dengan yang menggunakan buttercream yang lebih rasa butter atau lemak.. 
Cuma, kek ni tak boleh terdedah  di luar, kerana nanti creamnya cepat mencair. Oleh itu kena sentiasa pastikan berada di peti ais.

Jika di bandingkan antara kotak biru dan kotak gold, ita lebih suka kotak biru, sebab ia lebih tahan lama diluar.. lambat mencair dan lebih sedap! tapi terpulanglahkan sebab harganya pun mahal sikit aje dari yang kotak gold tu..

Whipping cream ni, jika kita dah pukul sampai kental dan licin, terus salut atas kek. Jangan letak dalam peti ais dahulu lepas tu baru nak salut atas kek.. sebab nanti ia akan jadi kasar dan tak cantik bila kita salut atas kek, nampak kasar dan comot.

Jika payah nak jumpa jenama Rich, boleh lah gantikan dengan Value Pride. Tapi yang ni ita tak pernah guna lagi. Sebab dah terbiasa guna Rich.. insyaallah ita akan cuba dan ita akan bagi tau apa bezanya.. manalah tau kot-kot lebih sedap! tak cuba tak tau kan..

Ini pula adalah Dairy Whipping Cream. Ia berasaskan bahan tenusu dan tidak sesuai untuk menyalut kek kerana ia mudah cair. Sebenarnya ia bukan untuk menyalut kek pun, apatah agi untuk letak atas pavlova atau sebagai filling durian crepe, sebab ia memang cepat sangat mencair.. memang tak sesuai. Cara memukulnya kena berhati-hati sebab jika terlebih pukul ia akan mencair semula dan terpisah antara lemak dan buttermilk.

Biasanya ianya di letakkan di atas minuman ice blended atau juga untuk topping. Sesuai jika di letakkan pada ganache.
Ia tak berperisa dan perlu di letakkan gula untuk memberikan rasa manis. Tambahkan juga sedikit vanila untuk rasa yang harum.

Ramai yang keliru antara Non Dairy Whipping Cream dan Dairy Whipping Cream. Disebab kan Dairy Whipping Cream ni mudah kita jumpa di pasaraya, ramai yang menjangkakan ianya adalah sama..
Lepas tu bila pukul dan terlebih pukul dan mencair.. mula panik..
Banyaklah email dan PM kat FB ita bertanya  kenapa whipping cream tu cair..
Jenuh nak jawab satu persatu..
Lebih ralat lagi.. banyaknya berlaku pembaziran akibat dari kesilapan yang tak disengajakan...
Bahan-bahan ni pula bukannya murah harganya..
Harap bila ita terangkan ni adik-adik dapat faham dan tak salah beli lagi selepas ni.. ^_^


Pilihan coklat ita pula pastilah dari jenama Le Bourne. Selain rasanya yang sedap, rupanya yang berkilat, rangup dan cara pengendaliannya juga mudah.

Coklat datang dalam 3 jenis iaitu:
Coklat tulen ~ Counverture
Coklat Tiruan / masakan ~ Compound
Coklat Tanpa gula ~ No Added Sugar

Coklat ini pula ada
Dark Chocolate ~ coklat gelap
Milk Chocolate ~ coklat susu
White Chocolate ~ coklat putih

Terdapat banyak jenama coklat dipasaran. Biasanya coklat untuk masakan terdapat di kedai menjual bahan masakan. Jangan pula gunakan coklat yang jual kat supermakket seperti Cadbury, Van Hauten,  M&M , Toblerone dan lai-lain  tu tau! tak sesuai..


Ita rasa cukup sampai sini dulu kot.. nanti ita tengok balik pertanyaan di email dan FB mana tau  kalau-kalau ada yang tertinggal. Kalau ada nanti ita masukkan kemudian ye..

Semua gambar ita ambil dari Google




My Bibiksssss...

Assalamualaikum

Salam sejahtera buat semua..
Ita banyak sangat dapat email dan PM di FB bertanyakan tentang peralatan memasak yang sering ita gunakan.
Mula ita rasa segan nak tunjuk. Bukan apa takut di salah anggap, hati manusia tak siapa yang dapat menjangka. Rambut sama hitam tapi hati lain-lain.

Ada yang minta pendapat tentang dapur yang baik, mungkin ada yang nak berpindah ke rumah baru dan nak cari oven, microwave atau dapur yang sesuai.
Sebenarnya ita pun tak berapa mahir sangat tentang dapur, microwave atau oven yang terbaik dan sesuai. Apa yang ada di dapur ita semuanya adalah pemberian suami. Sebagai isteri ita terima sahaja seadanya. Apa yang suami ita beli dan berikan , pada ita itulah yang terbaik dan mengikut kemampuan dan keselesaan.

Kerana kerap sangat dapat pertanyaan tentang peralatan memasak yang ita gunakan, hari ni ita tunjukkan beberapa peralatan memasak yang berada di dapur ita. Bagus atau tak bagus, sesuai atau tak sesuai, semuanya bergantung kepada kita yang nak menggunakannya.



Ini adalah oven yang ita gunakan untuk membakar, memanggang, mengril atau apa-apa sahaja masakan yang dirasakan bersesuaian.
Oven yang ita gunakan ini adalah 'built in'.
Suami ita belikan oven ni semasa mula-mula ita buat cabinet rumah. Kita beli semuanya sekali dari TEKA, ini termasuklah oven, microwave, electric hop, kitchen hood, mesin basuh dan dryer. Semuanya 'built in'. Yang tak ada masa tu hanyalah ice box. Ice box masa tu kena order jadi kerana lama sangat nak order kami ambil keputusan untuk beli lain brand.


KEENWOOD Chef Titanium With Timer


Ini pula adalah ita punya mixer. Mixer ni tak besar dan hanya muat untuk satu atau 2 adunan kek sahaja. Kalau terlebih maka akan membuak dan tertumpahlah ia.
Mixer ni datang dengan blender kaca , food processor dan beberapa accessories yang lain.
Kegunaannya sama seperti mixer yang lain.

KEENWOOD Hand Mixer HM320


Ini pula Hand Mixer, biasa ita gunakan untuk pukul putih telur. Brand dari Keenwood dan mudah di dapati di pasaraya.
 TEKA 90 cm Electric Hob 

Ini pula dapur memasak ita. TEKA juga dan juga built in. Pada mulanya jakun sikit nak guna sebab dah biasa guna api tiba-tiba kena guna electric pulak! Tapi bila dah biasa guna terasa lebih mudah kerana senang nak control api. 

Kelemahannya pula.. cuba teka?
Pandaiii... bila tak de karen.. dapur ita tak berasap la...

KEENWOOD BM-450 Artisan Bread Maker
Ini pula Bread Maker.
Bread maker ni fungsinya tentulah untuk buat roti. Tapi selain roti ianya juga boleh digunakan untuk membakar kek. Tapi kek yang terhasil semuanya bentuk roti juga .. hihi empat segi.
Bila ada bread maker ni proses nak memasak roti terasa lebih mudah! tak payah nak berpeluh-peluh menguli roti. Masuk aje semua ke dalam bread maker ni, tekan on dah siap! mudah aje kan..

TEKA Microwave Ovens TMW 22 BIT
Ini pula microwave. Ita jarang guna microwave ni. Jarang-jarang.. atau pun kadang-kadang aje.. hihi

Ita rasa ini ajelah bahan-bahan yang diperlukan oleh suri rumah seperti ita. Kira ini semuanya bibik ita yang sering bertungkus lumus di dapur bagi menyediakan setiap hidangan yang ita sajikan setiap hari.

Nanti ita akan jawab pula pertanyaan tentang bahan-bahan masakan , seperti minyak apa.. tepung gandum jenis apa.. susu cair brand apa... dan lain-lain lagi yang ita sering gunakan dalam resepi yang ita sediakan.

Semua gambar ita ambil dari google.


Nov 28, 2012

My 1st ebook


Assalamualaikum

Salam sejahtera buat rakan-rakan ita sekalian.
Terlebih dahulu jutaan terima kasih kerana sentiasa setia menemani ita di dapur Masam Manis.
Sebagai hadiah istimewa buat semua pengunjung yang tak putus-putus berikan ita sokongan, hari ini ita hadiahkan dengan koleksi ebook pertama dari ita.

Semoga ebook ita ini dapat memberikan sumber inspirasi kepada semua dan semakin meyemarakkan lagi semangat yang membara-bara untuk menyediakan sendiri juadah istimewa buat keluarga tersayang.

Dalam ebook kali ini, ita cuba menyediakan selengkap mungkin cara penyediaan sesuatu resepi. Untuk memudahkan rakan-rakan membuat rujukan. Maklum balas yang ita terima selama ini, resepi yang ita sediakan dalam blog kurang lengkap!

Ita minta maaf kerana tidak dapat memuatkan banyak gambar dalam blog kerana ruang yang terhad. Faktor masa dan cuaca yang selalu membelengu juga buatkan ita sukar untuk melengkapkan resepi di blog sebaik mungkin.

Ita berharap ebook ita ini sedikit sebanyak dapat membantu adik-adik kita yang baru berjinak-jinak di dapur. Juga kepada mereka yang sentiasa menjadikan koleksi resepi sebagai sumber pendapatan buat menyara keluarga ataupun meringankan beban suami.

Semoga ebook ini dapat menceriakan hari anda. ^_^




KARIPAP APAM
Resepi : Mama Mimi

KULIT
1 cawan tepung gandum
1 cawan air
1/2 cawan susu segar / susu cair
1/2 sudu teh yis kering
2 sudu besar gula pasir
Secubit Garam
1/2 sudu teh eno biru
1/2 sudu teh pes pandan
Beberapa titis pewarna makanan

Satukan 1 cawan tepung, gula, garam, air dan susu. Kacau rata
Tambahkan yis
Kacau rata
Tutup bekas dengan plastik
Perap adunan selama 1 jam

Selepas 1 jam, tambahkan Eno
Kacau rata
Kemudian tambahkan pes pandan dan pewarna makanan
Kacau rata

Panaskan non stick pan
Letakkan sedikit minyak
Sendukkan 1 senduk adunan dan layangkan pan agar adunan rata
Masak sehingga 2~3 minit jangan sampai hangus
Setelah angkat terus letakkan atas acuan karipap dan masukkan inti
Untuk mengelakkan kulit melekat pada acuan, letakkan sedikit minyak pada gigi acuan karipap agar mudah dikeluarkan dan tidak koyak
Ulang sehingga habis

Untuk inti ita gunakan inti durian seperti di bawah


Untuk inti Kelapa berkacang sila ke blog  Mama Mimi




Nov 26, 2012

Durian Crepe with custard filling yummeh!!








aiiii... tak habis-habis lagi ke.. demam crepe durian ni..
Sedap sangat ke??
Tentang sedap atau idak tu.. teman tak boleh lah nak khabor..
Kena la deme tanye dengan meka-meka yang pakat-pakat suke bebenor tu..


Sekarang ni dah musim durian barangkali..
Sana sini dah nampak banyak orang jual durian tepi jalan..
Kat Kip Mart pun dah berlambak-lambak dah durian.. pilih aje le.. mana yang berkenan dan Bergantung juga pada kantung poket masing-masing..

Penangan durian ni cukup hebat..
Kadang-kadang, kerana pokok durian yang sebatang pun boleh bergaduh adik-beradik..
Ita selalu terfikir.. sedap sangat ke durian ni..?
Pelik jugak bila tengok orang berebut-rebut beli durian, sampai ada yang bergaduh-gaduh kerana dusun durian.. alahaii..


Kemarin, ita buat lagi durian crepe ni atas permintaan seseorang..
Amirul bagi tau ita , ada seorang teman FB ita dan juga isteri kepada rakan suami ita  dan Amirul, mengidam sangat nak makan durian crepe yang ita buat..
Dulu ita pernah bagi durian crepe ni untuk di rasa oleh suaminya..
Entah apalah yang suaminya ceritakan pada isterinya.. teruslah isterinya mengidam sangat nak makan durian crepe ni dan meminta Amirul pujuk ita untuk buatkan untuknya..
kata Amirul " sebijik pun jadilah mak.. kesian kakak tu.. dia mengandung.. dan nak sangat makan durian crepe yang mak buat.."

Ita pulak memang jenis tak sampai hati.. lebih-lebih lagi bila mendengarkan yang rakan tu.. mengidam..
Ita pun suruhlah suami ita pergi cari durian.. Alhamdulillah.. kebetulan sekarang dah musim durian, jadi taklah susah sangat nak dapatkan durian..


Ita buat lebih sikit, sebab adik ipar ita pun dah lama nak merasa durian crepe ni. Jadi ita buatlah banyak sikit dapatlah bagi kat jiran-jiran , isteri kawan Amirul, adik ipar ita dan juga anak-anak ita Amirul dan Azrul yang belum pernah lagi merasa.

Kali ni ita buat lain sikit..
Hasil kombinasi pelbagai jenis tepung yang menjadi kesukaan ramai..
Intinya pula ita gunakan teknik.. kukus.. grill.. pangang.. kukussss.. hihi lawak aje..
Intinya ita buat 2, satu ita gunakan whipping cream sahaja bersama isi durian..
yang lagi satu ita gunakan krim kastard filling yang kata anak-anak lebih wallahhh!! macam makan ice cream pulak!!

Nak tau resepinya..
Sediakan pen dan kertas..
Kita salin resepi dahulu.. sediakan bahan-bahannya dan mula lah mengcrepe!! yok!!


DURIAN CREPE WITH CREAM CUSTARD FILLING

CREPE

40 gm tepung gandum
40 gm tepung ubi
20 gm tepung jagung
20 gm tepung Hoen Kwe ~ jika tak ada boleh gantikan dengan tepung kastard
1 biji telur saiz A
1 sudu besar minyak Mazolla ~ jika tak ada gunakan butter yang dicairkan atau minyak masak
130 ml susu segar
50 ml air ~ bergantung kepekatan
Secubit garam
1 sudu besar gula halus
Pewarna kuning
Perasa durian / durian paste

Dalam satu bekas, satukan semua tepung kemudian di ayak
Kemudian campurkan semua bahan lain dan kacau rata
Kepekatan adunan hendaklah tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair
Jika pekat tambahkan sedikit lagi air.
Kemudian di tapis

Sediakan pan untuk membuat crepe
Panaskan dengan api yang kuat hingga pan benar-benar panas ini untuk mengelakkan crepe melekat.
Kemudian perlahankan api ke sederhana
Oleskan pan dengan minyak makan atau butter dengan menggunakan kitchen tisu
Bila kuali dah sederhana panas baru kita letakkan sedikit adunan
Goyang-goyangkan kuali supaya ia rata
Masak hingga ia mengelembung-gelembung sedikit
Tak perlu di balikkan
Buat sehingga habis
Untuk mengelakkan crepe kering lapis crepe dengan plastik
Jangan di tindih-tindih semasa panas nanti ia tak cantik!
Tunggu dia benar-benar sejuk baru boleh di tindih satu persatu

Adunan ni dapat anggaran 15 ~ 20 bergantung ketebalan dan besar pan kita.


CREAM CUSTARD FILLING

1/2 cawan tepung gandum ~ 85 gm
1 1/2 sudu makan tepung kastard atau tepung jagung
1/2 cawan gula ~  tambah lagi anggaran 2 sudu besar
4 biji kuning telur
3 cawan susu ~ boleh guna susu segar atau susu cair
30 gm butter
1 sudu teh esen vanilla
Secubit garam
Non Dairy Whipping Cream secukupnya.

Ayakkan tepung terlebih dahulu
Satukan tepung dan gula dalam satu bekas
Masukkan 4 biji kuning telur dan 1 cawan susu. 
Kacau hingga adunan sebati
Masukkan semua baki susu, secubit garam dan esen vanilla
Kacau rata
Panaskan atas dapur dengan api sederhana hingga adunan pekat.
Sentiasa kacau supaya adunan tidak hangit dan berkerak di dasar.
Bila ia dah meletup-letup segera tutup api
Tambahkan butter dan kacau hingga adunan menjadi licin dan berkilat.
Biarkan ia sejuk
Simpan dalam bekas bertutup atau balut bekas dengan plastik dan simpan dalam peti ais hingga ia dingin

Adunan ni dapat agak banyak.
Boleh simpan dalam peti ais dan tahan seminggu
Jika tak nak banyak buat 1/2 daripada adunan

Ambil 1 cawan Non Dairy Whipping Cream, pukul hingga mengental
Kemudian campurkan ke dalam Cream kastard kita tadi.
Kaup balik hingga adunan sebati
Jika adunan berketul, masukkan dalam mixer dan pukul sekejap aje anggaran ia sebati dan kental.


CARA PENYEDIAAN

Kepingan crepe ~ secukupnya
Krim Kastard ~ secukupnya
Isi durian ~ secukupnya

Letakkan sekeping crepe
Letakkan krim kastard di atasnya
Kemudian letakkan isi durian
Tutup kembali denga krim kastard
Lipat seperti kita melipat sampul surat
Buat sehingga habis
Simpan dalam peti ais dan sangat enak di makan dingin 


Nov 24, 2012

World of Crepes dalam AROMA bulan ini


Hujung minggu datang lagi..
Bila tiba hujung minggu, lebih-lebih lagi menjelang cuti persekolahan pasti banyak perancangan yang telah di atur untuk anak-anak.

Pasti banyak jemputan perkhawinan, kenduri kendara atau ada yang merancang untuk pergi berkelah bersama keluarga.

Sebelum pergi jangan lupa dapatkan senaskah majalah AROMA di pasaran, pasti anda akan menyukainya kerana AROMA bulan ini menampilkan pelbagai resepi menarik untuk anda seisi keluarga.

Gandingan mantap pelbagai resepi yang memang sesuai untuk bekalan sepanjang perkelahan pada cuti sekolah kali ini.

'Bento' nama yang agak asing bagi kita di Malaysia, tapi tidak asing di Jepun, Korea mahupun Indonesia. Bekalan comel untuk Si Cilik, pasti buatkan anak-anak tak sabar untuk menikmatinya. Dengan gubahan karaktor kartun  yang comel, objek-objek kecil berupa bunga, pokok, serangga yang kecil, seperti rama-rama, ladybird dan lain-lain lagi,  pasti buatkan anak-anak melompat-lompat keriangan.


Comel kan?? emmm.. sebenarnya banyak lagi yang anda boleh saksikan dalam majalah AROMA bulan ni...
Resepi yang dikongsikan oleh Yunita Rahmasari ini cukup menarik! Pasti anda juga tak sabar-sabar  menyediakan Bento untuk anak-anak bagi bekalan mereka ke sekolah.
Jangan lupa dapatkan AROMA di pasaran hari ini juga!!


Atau ada yang sedang tercari-cari kudapan yang sesuai untuk anak-anak sepanjang cuti ini. Maklumlah cuti yang panjang dan berhadapan pula dengan musim tengkujuh, pastinya perut anak-anak sentiasa mengalunkan irama keroncong untuk diisi.

Apakata, kita beli AROMA, dan dapatkan koleksi resepi dari Rahel yang didatangkan khas dari Negeri Di Bawah Bayu yang sudi kongsikan koleksi resepi untuk Si Comel..

Selepas ni.. anak-anak tak akan merungut lapar lagi.. kerana banyak bekalan yang di sediakan ibu untuk menemani mereka ketika menonton TV atau bermain 'play station'


Sesekali bertukar selera tak salah rasanya..
Kali ini majalah AROMA juga menampilkan koleksi resepi istimewa dari negara seberang Indonesia.
Resepi manisan dan kuih muih di kongsikan oleh seorang blogger manis dari Indonesia yang semakin meningkat naik namanya di arena blog masakan bukan sahaja di negara kelahirannya malahan namanya juga menjadi sebutan blogger-blogger masakan di Malaysia.

Melihatkan air tangannya, pasti tertelan air liur kita di buatnya dan seakan tak sabar-sabar untuk mencuba!

Dengan bakat semulajadi anugerah Ilahi, Hesti, sudi kongsikan beberapa koleksi resepi yang terbaik dari seberang buat penggemar masakan di Malaysia untuk di cuba .. apa tunggu lagi..!!

Deman crepe tak kebah lagi..
Malahan semakin hangat..
Bagi penggemar crepe, bulan ini AROMA menghimpunkan koleksi pelbagai resepi crepe untuk anda..

Jemu dengan durian crepe.... atau anda alah dengan durian.. 
Kini anda mampu tersenyum. Dengan membeli senaskah AROMA, anda di hidangkan dengan pelbagai citarasa crepe untuk di cuba.. !!


Bagaimana pula dengan Mille Crepe??
Gandingan antara crepe, krim keju dan Oreo pasti membuatkan anda tak sabar-sabar mahu mencubanya..
Bayangkan crepe di lapisi krim keju, di selang selikan pula dengan kepingan oreo aduh!! siapa yang boleh menolaknya..

Nak dapatkan resepi??
Jangan lupa dapatkan AROMA di pasaran, salah satu koleksi resepi dari ita yang belum ita kongsikan di blog..
Bukan itu aje.. tau!
Ada lagi..
Pelbagai himpunan crepe lain yang anda pasti tak sabar-sabar nak merasa..
Crepe Nangka, kesukaan Dalili. Berkeping-keping di makannya.. suka pulak anak dara ita dengan crepe nangka ni.. Mungkin harum nangka dan rasanya yang tidak terlalu berat buatkan dia tak puas-puas menikmatinya..

Bagaimana pula dengan Tuty Fruity Crepe.. aaaa bagaimana pula rupanya??
Nak tau.. kena lah beli AROMA bulan ni..



Jutaan terima kasih buat Siti Dimiati, selaku Editor majalah AROMA dan seluruh warga kerja AROMA yang telah memberikan kepercayaan kepada ita, untuk berkongsi resepi dan minat kepada pembaca setia majalah AROMA.

Majalah AROMA kali ini amat menarik! sentuhan grafiknya semakin mantap dan olahan yang cukup segar, penuh kelainan..

Semoga majalah AROMA terus suksess dan sentiasa mendapat tempat di hati pembaca.





Nov 23, 2012

SOTONG MASAK DAKWAT

Assalamualaikum


Sotong Masak Dakwat adalah antara juadah air tangan mak yang paling ita suka. Setiap kali bapa ita pulang dari laut dan membawa pulang sotong, ita lah yang paling suka
" mak masak hitam ye mak.." mak hanya tersenyum..

Bila mak masak lauk ni.. ita lah orang yang mula-mula dok bersimpuh atas ambin.
" makan aje tau.." sergah akak
" eis.. jangan gaduh depan rezeki, tak baik.. " kata emak perlahan


Bila mak tak masak lauk kegemaran ita ni.. ita akan merajuk..
" mak dah tak sayang ita..." bisik ita dalam hati
Kadang ita tak mau makan.. bila mak tak masak lauk sotong..
Puas mak pujuk..
Ita tetap dengan perangai degilnya..
" makan lah sikit.."
" tak nak..!!"


Dulu ita pernah tanya dengan mak " kenapa lauk ni warna hitam..? "
Mak kata " inilah dakwat sotong.. mak letak dalam lauk ni supaya warnanya hitam "
"ooo.. tapi dakwat sotong tu boleh makan ke? tak mati ke? " Tanya ita lagi semakin ingin tahu
Mak masih tak jemu-jemu menerangkan pada anaknya yang benar-benar ingin tahu ini.

Kini dah 40 tahun berlalu..
Mak sekarang dah semakin pelupa..
" mak macam mana nak masak lauk sotong masak dakwat ye?" tanya ita perlahan di hujung gangang talifon.
" macam mana ye.. mak dah lupa lah.. mak lupa nak letak halia ke tidak? "
Sedih ita mendengarnya..

Semoga mak tidak pernah sekali-kali melupakan ita..
Ita hanya ingin mak tahu ita sangat-sangat menyayangi mak..
Walaupun kini ita terpaksa beralah.. dari merebut kasih sayang mak terhadap anak-anak..
Ita tahu, cukup sukar membahagikan kasih sayang, lebih-lebih lagi kita berada dalam keluarga yang cukup besar..
Hanya satu yang ita harap.. mak tetap sentiasa ingatkan ita.. dan doakan ita.


Bila ita tersedar pagi ni, ita terus teringatkan mak..
" Selamat Ulang Tahun mak..."
Ita doakan semoga mak sentiasa di berikan kesihatan yang baik..
Semoga Allah sentiasa melindungi mak dan mak sentiasa berada dalam keimanan..

" Ya Allah ya tuhanku.. mungkin aku tidak mampu membahagiakan ibu bapaku dengan kemewahan dan kasih sayang.. Dengan pertolongan Mu, perkenankanlah doaku.. hanya doa yang dapat aku berikan kepada mereka.. "

" Ya Allah ya tuhanku.. Kau ampunilah dosa ku.. dan dosa kedua ibu bapaku... kasihanilah mereka, sebagai mana mereka mengasihani ku sejak kecil "

Amin....


SOTONG MASAK DAKWAT

500 gm sotong disiang ,basuh bersih dan dipotong ikut suka
4 kantung dakwat sotong
1/2 cwn air asam
garam dan gula secukup rasa

Bahan  Dikisar

10 tangkai cili kering
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inc halia
1 sudu besar lada hitam
1inc belacan


Tumis bahan yg dikisar hingga garing. masukkan air asam, garam dan gula secukup rasa. Masukkan dakwat sotong dan kacau rata , biar kuah masak. Stlh masak masukkan sotong. Gaul mesra. Sotong tidak boleh dimasak lama sangat bila dah masak aje angkat... siap utk dihidangkan.











AzlitaMasamManis. Powered by Blogger.