Aug 27, 2012

Seminggu berhari raya...

Assalamualaikum..

Apa khabar semua rakan-rakan ita tersayang. Rasa-rasanya belum terlewat lagi untuk ita mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua umat islam di seluruh dunia.. Biar di mana sahaja semuanya berada.
Ampun dan kemaafan ita hulurkan kerana tidak berkesempatan untuk melayangkan kad ucapan penganti diri. Begitulah perancangan yang telah di atur, walau sehebat mana pun perancangannya, kalau tidak diizinkan oleh Nya.. maka kita harus reda..


Sebenarnya ita memang cukup sibuk di akhir Ramadhan, hingga minit - minit terakhir. Ita sangkakan ita dapat bersiaran dari Kota Bahru, malangnya line internet pula bermasalah. Jadi ita terpaksa melupakan blog buat sementara waktu, walaupun hati gundah gulana dibuatnya..

Sebagaimana yang ita beritahu lebih awal, ita beraya di Kota Bahru tahun ini. Ita pulang beraya pada pagi Jumaat selepas bersahur. Pada mulanya kami merancang untuk pulang pada hari Khamis tapi terpaksa batalkan di saat akhir kerana anak ita Azrul pulang agak lewat dan terpaksa mencari beberapa keperluan anak-anak yang masih tidak mencukupi.


Alhamdulillah sempat juga berpuasa sehari bersama keluarga mertua.
Perjalanan dari Johor Bahru, alhamdulillah bergerak lancar. Tiada kesesakan jalan raya pada hari ita pulang, cuma sedikit sesak bila kereta mula memasuki sempadan Kelantan. Kenderaan telah mula bersusun atas jalan raya, semuanya mau segera pulang ke kampung bertemu kaum keluarga dan sanak saudara.

Ita sampai di Kota Bahru lewat malam. Kami banyak berhenti rehat, kerana cuaca yang sangat panas dan pada waktu itu pula kita berpuasa. Cuaca yang panas buatkan mata cepat terlelap. Kami berhenti rehat di beberapa masjid yang kami singgah, disamping menunaikan solat.
Penat memang penat, kerana terlalu lama berada di dalam kenderaan. Anak-anak juga dah mula mengeluh, kepenatan.


Walaupun penat dan badan terasa amat letih, ita gagahkan diri juga untuk membantu mertua mengemas rumah, menukar langsir, mengemop dan lain-lain lagi. Mujur ada anak-anak dan adik ipar membantu, kami lakukan tugas dengan bergotong- royong.

Petang itu pula ita dan suami goreng mi untuk berbuka puasa. Ita juga sediakan menu untuk juadah hari raya. Ita masak ayam masak merah kesukaan anak-anak. Buat sambal tumis udang untuk dilawankan bersama kuah lodeh. Kemudian kami merebus pula nasi impit. Mertua ita pula menyediakan rendang dan kari ayam. Pada masa tu ita dah tak dapat nak membantu, kerana ita cukup letih dan terasa macam nak pitam. Lepas solat Insyak, ita terus tertidur hingga ita sadar bila azan subuh berkumandang bersekali dengan alunan takbir raya yang sangat mensyadukan..

Kerana tahun ini hanya ita dan keluarga sahaja yang pulang, jadi tugas terasa sangat berat untuk dipikul. Adik ipar ita pula ada anak kecil.


Suasana Hari Raya di Kota Bahru, memang agak berlainan dengan di Johor. Lepas solat Subuh jiran-jiran dan mula datang beraya. Ita terasa sangat kelang kabut waktu itu kerana terpaksa menguruskan seorang diri. Seluruh anggota keluarga pergi ke masjid menunaikan solat Hari Raya. Walaupun ita teringin nak pergi bersolat bersama, tapi ita tahu yang jika ita pergi pasti bila balik dari masjid ita akan lebih stres kerana semua persiapan belum di sediakan sedangkan tetamu sudah mula datang bertandang.

Ita terpaksa sediakan seberapa segera sebelum semuanya pulang dari masjid. Bila mereka balik dari masjid semua dah mula mengeluh kelaparan.


Sehari ita berada di dapur menghidangkan juadah buat tetamu yang tak putus-putus dan silih berganti. Tak menang tangan dibuatnya dan tangan ni tak pernah kering. Cuci pinggan dan hidang semula, itulah tugas ita sepanjang hari hingga ita tak sempat menukar baju raya.. alahaiii terasa sedih pula.. tapi nak buat macam mana dah namanya tanggungjawab sebagai menantu sulung.

Kami juga tak dapat merakamkan gambar hari raya kerana tetamu yang tak putus-putus.. aduh.. sedihnya..
Malam itu ita tidur dengan perut kosong kerana terlalu kepenatan hingga ita tak lalu nak makan..


Hari raya kedua, orang dah mula jemput datang kenduri. Begitulah adat beraya di Kelantan, mereka suka menjamu jiran tetangga dan sanak saudara. Biasanya hari raya pertama lagi dah ada kenduri sana sini. Hari raya kedua juga ramai yang merebut peluang untuk melakukan puasa sunat 6 hari pada bulan Shawal. Mengikut sunah sebaik-baiknya kita lakukan puasa sunat Shawal pada 2 Shawal, tapi bagi mereka yang ada tertinggal puasa tu wajiblah kita dahulukan yang wajib, sebelum lakukan yang sunat.

Hari kedua ita buat nasi beryani gam. Ita masak 5 kilo nasi. Ita juga sediakan ayam goreng berempah dan ayam masak kurma bersama acar timun dan nenas.

Hari kedua tugas ita tetap sama, memasak, menyediakan hidangan dan mencuci pinggan. Hari kedua juga ita masih tak berkesempatan untuk menyalin baju raya. Akhirnya ita pakai juga baju raya pada lewat petang raya ke 2 itupun kerana terpaksa pergi jamuan rumah saudara. Ita sampai pun agak lewat semua tetamu dah pulang dan makanan pun banyak yang dah habis.
Tuan rumah menyediakan nasi kerabu dan laksa Penang. Ada juga roti jala bersama kuah kari dan tapai pulut.


Hari Raya ke 3, kami beraya pula ke rumah saudara mara suami. Cuaca yang panas dan kesesakan jalan raya yang agak teruk buatkan mood beraya seakan pudar. Anak-anak pun dah mula berbisik ajak pulang kerana dah tak larat nak beraya dari sebuah rumah ke sebuah rumah. Biasa lah budak-budak sekarang, lebih-lebih lagi yang dah bujang, mereka ni tak suka sangat beraya atau jalan bersama mak dan ayah.
Ita pula memang terasa sangat penat waktu itu, penat dari Johor yang terbawa-bawa hingga ke Kelantan.

Balik dari beraya ita dah mula terasa tak sedap badan, tekak dah terasa perit, mungkin terlalu banyak minum air batu dan makan kuih raya. Ita terpaksa menolak ajakan mertua yang mengajak lagi beraya ke rumah mak cik suami dan jiran sebelah rumah yang membuat jamuan. Akhirnya ita terlelap hingga suami mengejut untuk solat Maghrib.


Hari ke 4, kami dah mula berkemas untuk pulang. Walaupun badan ita memang sangat letih dan rasa dah tak larat sangat rasanya, namun bila lihat suami tersenyum gembira kerana dapat beraya di kampungnya, ita pun tumpang gembira. Bila badan ita penat, ita selalu berbisik dalam hati, mungkin inilah hari raya ita yang terakhir bersama mereka, akan adakah hari raya lagi untuk ita bersama mereka ditahun hadapan..

Saat kereta meninggalkan perkarangan rumah mertua, hati ita mula berbisik.. siapalah nak bantu mertua ita, bila ita pulang.. banyak lagi anak buahnya yang belum datang beraya di rumah.. perasaan simpati mula menyelinap di minda..

Perjalanan pulang ita melalui jalan di persisir pantai Terengganu. Ita suka sangat kalau lalu Terengganu, kerana sepanjang jalan kita di sajikan dengan pemandangan yang sangat cantik! laut yang membiru dengan pohon-pohon niur yang melambai. Udara pantai yang sungguh nyaman dan pemandangan rumah-rumah kayu usang yang sangat mengamit nostalgia.


Ita sempat singah di satu kawasan yang sangat cantik di salah satu kawasan kalau tak silap ita di sekitar Rantau Abang. Pokok-pokok Alkasia (kalau tak silap lah..) yang tumbuh di paya di tepi tasik sangat cantik! pokok-pokonya sangat rindang dan rimbun. Kalau dahulu lagi cantik dan tenang aje kawasan tu seperti dijaga rapi, tapi sekarang oleh kerana terdapat kerja-kerja pembesaran jalan ia seakan tidak di jaga, tapi masih indah dipandang.
Kami sempat turun dan merakamkan beberapa keping gambar sebagai kenangan, bimbang pula kalau kawasan yang secantik itu di musnahkan..


Dalam perjalanan ke JB kami singah di Terengganu dan bermalam di sana. Kami menyewa chelet di tepi pantai berhadapan dengan Pulau Kapas. Inilah peluang untuk ita berehat dan menenangkan diri bersama anak-anak.


Pantai Terengganu yang putih, laut yang terbentang luas membiru, desiran ombak dipantai dan daun nyiur yang melambai-lambai, buatkan hati terasa sangat tenang..
Melihat anak-anak berlari-lari di gigi pantai buatkan badan yang penat terasa kebah kembali. Malam itu kami makan seafood di restoran di tepi pantai itu. Ita dan suami makan nasi goreng kampung, Dalili pula makan nasi putih bersama lauk-pauk sea food yang kami order. Manakala Azrul dan Amirul makan nasi paprik. Sedap juga makan di situ, lupa pula apa nama restorannya. Tidur ita terasa nyenyak sangat malam itu...

Esok pagi suami mengajak makan di luar. Kami mencari warung-warung lama untuk menikmati juadah sarapan pagi kami. Sebenarnya suami ita mengidam nak makan nasi dagang Terengganu. Selepas bersarapan dan melayan kerenah anak-anak, kami meneruskan semula perjalanan ke JB. Pada mulanya suami mengajak tidur semalam lagi di Kuantan, tapi anak-anak menolak kerana tugasan yang diberikan guru belum diselesaikan lagi.

Sepanjang perjalanan ramai peniaga dah mulakan perniagaan mereka. Banyak gerai jagung, kacang dan air nira di sepanjang perjalanan.


Kali ini perjalanan agak tersekat-sekat, kenderaan dah mula memenuhi jalan raya. Semua nak menuju ke destinasi masing-masing. Ada yang pulang dari beraya, ada yang pergi makan kenduri dan tak kurang juga yang baru pulang dari kampung.

Akhirnya kami tiba di rumah dengan selamat. Syukur kepada Allah, walaupun menempuhi kesesakan dan keletihan.
Sampai dirumah bukan masanya untuk bersenang lenang, banyak tugas yang masih menanti. Kain baju yang 4 beg harus dicuci dengan segera. Ita juga harus menyiapkan biskut raya yang diminta anak-anak untuk di bawa pulang ke asrama. Rumah juga harus dikemas rapi untuk menerima kunjungan tetamu. Aduh... banyaknya tugas.. alahaiii... penatnyaa..

Pagi hari ke 6, ita bangun dengan rasa badan yang dah mula dedar.. hidung dah mula tersumbat dan tekak semakin perit.  Namun ita gagahkan diri juga untuk membuat semua tugasan yang tak selesai lagi. Kena buat biskut dan kek untuk anak-anak.. arghhh... penatnya...

Petang itu ita mendapat panggilan telefon dari idola kesayangan ramai iaitu Adnan Ibrahim atau lebih mesra sebagai CMG. Beliau mengundang ita ke rumahnya. Menurut beliau kak Ummi juga akan turun dari Kuantan ke sana. Pucuk di cita , ulam mendatang.. seronoknya kerana ita bakal bertemu dengan 2 idola kesayangan ita. Walaupun ita dah rasa tak sedap badan tapi ita tak kan lepaskan peluang bertemu dengan mereka berdua.


Jeng.. jeng.. akhirnya sampai juga ita ke teratak Mat Gebu. Ita di sambut dengan mesra oleh Mat dan keluarga. Ibu dan ayah Mat sangat ramah melayan kami berborak sementara menanti kedatangan kak Ummi dan keluarga dari Kuantan.

Akhirnya... dapat juga ita bertemu dengan Kak Ummi. Segan sangat ita rasa bila jumpa kak Ummi. Orangnya sangat ramah dan sangat mesra.. ita pula alahaiii.. macam hilang punca pula tak tau nak berbual apa.. malu sangat.. tapi dalam hati rasa macam nak peluk aje kak Ummi yang comel dan manis tu..


Inilah gambar kenangan kami bertiga, ita, kak Ummi dan Mat yang sedang merakamkan gambar kami. hihi.. nampak tak telinga mat yang putih tu..

Kepada Mat dan keluarga, akak merakamkan jutaan terima kasih banyak-banyak atas layanan yang sangat baik, makanan yang terhidang cukup membuka selera ditambah lagi cuaca diluar yang dingin lepas hujan, membuatkan semua tetamu seakan sayang nak meninggalkan meja makan..

Mat seakan tau aje selera akak, kedua-dua hidangan yang disajikan adalah fav akak, laksa Johor dan soto aduhaiii.. sedap-sedap semuanya.. Buah tangan yang diberikan juga.. alamakkk... memang kegemaran akak.. sampai balik akak masih memikirkan.. Mat ni macam tau aje apa yang akak suka... Terima kasih sekali lagi.. mat..


Terima kasih juga kepada kak Ummi atas buah tangan tu.. segan aje ita tak bawa buah tangan untuk kak Ummi. Semoga kita dapat bertemu lagi..

Ahad, hari ni ita kena bersiap lebih awal kerana nak menghantar anak-anak pulang ke asrama. Bimbang pula jika terlewat akan tersekat pula dalam kesesakan jalan raya, maklumlah musim perayaan.


Sebelum pulang, ita singgah rumah mak ita di Skudai. Anak-anak ita nak bertemu atuk mereka sebelum pulang.

Ita sampai kerumah lewat petang, jalan raya juga dah mula sesak dengan kenderaan yang nak pulang ke rumah, maklumlah cuti sudahpun berakhir..

Walaupun penat, ita rasa sangat gembira. Raya tahun ni banyak meninggalkan kenangan yang terindah untuk ita simpan sebagai satu memori..








Aug 15, 2012

CORNFLAKES ALMOND ROCHER





Assalamualaikum
Apa khabar rakan-rakan ita di luar sana? Besar harapan dan doa ita agar semuanya sihat dan sentiasa ceria kerana kita bakal meraikan Aidil Fitri.
Walaupun mungkin ada antara kita yang berasa sedih untuk meninggalkan bulan Ramadhan yang penuh barakah ini, dan sering pertanyaan bermain di fikiran, adakah peluang bagi kita lagi untuk menikmati kelebihan bulan Ramadhan pada tahun-tahun yang mendatang.?
Sama-sama lah kita berdoa agar di panjangkan usia dan diberikan kesihatan yang baik agar kita berpeluang lagi untuk menikmati malam-malam Ramadhan..

Hari ini adalah hari terakhir anak-anak bersekolah, bagi anak-anak yang tinggal di pusat pengajian tinggi, awal-awal lagi sudah pulang ke rumah. Peluang yang ada ini jangan dilepaskan untuk membantu ibu di dapur, bagi anak teruna pula, rajin-rajinlah ringankan tulang membantu tugas si ayah.


Hari-hari terakhir sebelum kita pulang ke kampung halaman masing-masing. Pasti saat ini ada yang sudah melayangkan kat ucapan Selamat Hari Raya kepada kawan-kawan dan sahabat handai. Ucapan Selamat Hari Raya dahulu dan kini telah banyak berubah, seiring dengan perubahan dunia yang berteraskan alam siber.

Kalau dahulu kat ucapan sebagai penganti diri. Setiap kali dapat kat ucapan hari raya pasti tak di lupa serangkap pantun

Pecah kaca 
Pecah gelas
Sudah baca,
Harap balas

Seronok bukan kepalang bila menerima layangan kat ucapan, lebih-lebih lagi bila ianya di hantar oleh pos men. Gembiranya hati bukan kepalang. 
Saban tahun kad ucapan sering berubah, bergantung pada permintaan. Dari sekecil-kecil kad hinggalah yang sebesar-besar kad. Yang paling seronok tak terkata bila dapat kad seiring dengan alunan muzik selamat hari raya. Waduhhhh... rasa macam nak tunjuk pada semua orang.. ^_^

Satu kenangan yang tak dapat dilupakan, masa kecil-kecil dulu, suka sangat gantung kat hari raya. Mana-mana rumah yang kita beraya pasti ada gantungan kad hari raya. Dari di gantung pada dinding rumah tak kurang juga yang mengantungkan pada ranting kayu. Tak pe lah walau terpaksa meredah semak dan samun semata-mata untuk dapatkan ranting kayu pilihan hati. Yang tak boleh tahan siap letak kapas-kapas lagi dah macam sambut hari Natal pun ada jugak..! haha
Tapi itulah yang seronoknya.. Terasa kemeriahannya berhari raya.

Itu baru cerita pasal kad raya, belum lagi lampu lip lap lip lap. ^_^


Ok lah kita lupakan pasal hari raya tu dahulu ye.. tugas banyak lagi yang tak selesai di dapur. Hari ni ita nak kongsikan satu lagi resepi yang wallaaaa.... sedapnya.. ni memang pasti anak-anak suka.. usahkan anak-anak mak-mak anak dan bapak-bapak anak pun suka.. "mai secawan...."

Resepi dari Papa Coklat kita, siapa lagi kalau bukan Chef Amer. Masa ita pergi kelas hari tu Chef Amer ada ajar buat coklat ni.. tapi beliau tak letak dalam cawan kertas sebaliknya beliau tuang aje dalam loyang, pas tu keraskan. Bila dah keras di patah-patahkan aje.. tapi rasanya... aduh.. tak tertahan-tahan.. macam ita nak ulang-ulang aje makan masa tu, tapi aduyaiii.. segan pulak rasanya ^_^

Ramai yang tanya "kak ita tak buat ke kuih raya berasaskan coklat?" Sebenarnya kalau kuih yang ada coklat ni ita tak boleh buat awal-awal.. sebab tau-tau ajelah kan.. nanti ita yang makan banyak.. bila dah makan banyak berat pun naik banyak.. bila berat dah naik banyakkk... baju raya pun tak muat... aduyaiiii.. saborr je le..

Buat coklat ni pun.. satu sudu masuk cup satu sudu masuk mulut.. satu sudu masuk cup dua sudu masuk mulut.. bila dah siap aik.. nape dapat sikit aje.. tadi nampak macam banyak.. haha tau tak pe...

Resepi ni ita ambil dari buku Chef Amer Rahsia Coklat. Ita ada ubah suai sikit bahan-bahan mengikiut citarasa dan bahan-bahan yang ada didapur rumah ita sahaja. Ita  gandakan sukatan pada setiap bahan. Sebab sukatan asal tu dapat sikit aje.. nanti tak cukup.. hehe

Jomlah kita intai resepi hebat dari Chef Coklat yang hebat ni..


CORNFLAKES ALMOND ROCHER
Resepi asal : ALMOND ROCHER
By : Chef Amer
Rujukan : Terokai Rahsia Coklat

200 gm cornflakes ~ ita panggang sekejap
100 gm badam hiris ~ dipanggang pada suhu 160C selama 15-20 minit
30 gm halwa kulit oren ~ ita gantikan dengan blueberry kering (50gm)
50 gm pes kacang hazel
50 gm lemak koko ~ dicairkan secara double boiler
200 gm coklat masakan gelap ~ dicairkan secara double boiler
200 gm coklat susu (milk coklat) ~ dicairkan secara double boiler
50 gm coklat putih ~ sebagai hiasan atas
Cawan kertas secukupnya

Dalam satu bekas, satukan cornflakes, badam hiris dan halwa kulit oren atau blueberry kering. Kalau tak de boleh gunakan mangga kering, nanas kering, kiwi kering atau kranberi kering. Sedap kalau makan terasa masam-sama sikit bila tergigit. Jadi coklat tak terasa muak.
Kemudian gaul rata semua bahan dan ketepikan.

Dalam bekas lain cairkan lemak koko ~ lemak koko ni untuk mencepatkan coklat keras dan memberikan sedikit kilatan pada coklat. Boleh dapatkan di kedai jual bahan kuih. Kalau tak letak pun tak apa.

Dalam bekas lain cairkan coklat masakan gelap
Dalam bekas lain juga, cairkan coklat susu masakan
Kemudian, satukan coklat susu di dalam coklat gelap. *pastikan anda lap dahulu bawah bekas supaya wap air tidak menitis dalam coklat.

Kemudian tuangkan pula lemak koko.
Gaul rata.
Masukkan pula pes kacang hazel. ~ ini yang membuatkan coklat tu terasa sedap sangatttt!!
Boleh dapatkan di kedai menjual bahan kuih. Bagi yang tinggal di JB boleh dapatkan dari Siti di TEL : 019 7550154 ( yang Siti punya ni dia dapatkan dari Chef Amer sendiri )
Kemudian kita gaul rata.
Tuangkan pula adunan ini ke dalam bekas berisi campuran cornflakes, badam dan blueberry kering tadi.
Gaul rata-rata. Gaul lama sikit sehingga semua bahan-bahan benar-benar bersalut dengan coklat tadi.
Jika takut coklat cepat keras, letakkan bekas coklat kita tadi atas air panas yang kita cairkan coklat. ( kira macam kaedah double boiler juga tapi jangan buka api, cukup sekadar air panas sahaja)

Kemudian dengan menggunakan 2 sudu teh, sudukan adunan ke dalam cawan kertas
Buat sehingga habis
Simpan dalam peti ais selama 15 minit supaya dia mengeras
Bila dah keras, kita paipkan pula coklat masakan putih yang juga telah kita cairkan dengan kaedah double boiler.
Masukkan coklat masakan putih dalam kon kertas ( gunakan kon kertas lebih baik kerana coklat lambat keras) , guntingkan lubang kecil dihujungnya,  dan paipkan atas coklat tadi.
Biarkan ia keras.
Simpan coklat didalam bekas kedap udara.


SALAM LEBARAN


Aug 14, 2012

Dari sahabat buat sahabat...





Bila kita berbicara tentang sahabat, di hari yang mulia ini pasti kenangan kita terawang-awang pada sahabat sepermainan masa kita kecil-kecil dahulu, apatah lagi rakan-rakan sepersekolahan yang bersama-sama kita di alam persekolahan.

Rasa kerinduan pada mereka memuncak setiap kali tibanya hari lebaran. Teringat kenakalan sewaktu sama-sama di bangku sekolah. Ponteng kelas, didenda cikgu berdiri atas kerusi, atau yang curi-curi makan semasa cikgu mengajar.. haha bila ingat kembali saat itu pasti tersenyum sendiri..

Kenangan ita bersama rakan-rakan sekolah tak mungkin ita lupakan, baik di sekolah rendah maupun di sekolah menengah. Kalau di minta ita senaraikan nama sorang perseorang rakan di sekolah rendah pasti laju bibir ini menyebut satu persatu nama-nama mereka.. Cuma mereka masih ingat atau tidak dengan ita di sini..


Di sekolah ita seorang yang agak pendiam.. ceh wah..
Ita ni pemalu dan kurang bergaul dengan rakan-rakan.. Ada seorang dua sahaja yang agak rapat dengan ita waktu itu.. mungkin kita ke sekolah bersama-sama dan main permainan yang sama.. Namun semua rakan-rakan di sekolah rendah sangat baik tidak kira bangsa apa pun mereka..

Bila masuk ke sekolah menengah ramai antara kita yang terpisah, ada yang mengikut keluarga berpindah dan ada yang bersekolah di asrama.
Bila di bangku sekolah menengah situasi agak berbeza, dari rakan yang tak sampai 50 orang dah bertambah ke beratus-ratus pelajar. Lagi payah nak disenaraikan nama mereka, kerana ramai yang menggunakan nama glamor.. hehe

Mentol, Mak Aji, misi, patung, antara contoh nama glamour yang tak mungkin dilupakan.. Nama-nama glamour inilah yang buatkan kita semakin dekat dan semakin sering mengigati mereka..
Di manalah kawan-kawan ita sekarang??? 
Kepada rakan-rakan ita yang telah kembali ke rahmatullah.. Al Fateha untuk mereka..


Hari ini ita nak kongsikan satu lagi resepi yang di ciptakan sendiri oleh seorang sahabat buat sahabat baiknya. Ikatan persahabatan mereka sangat utuh bagaikan aur dengan tebing. Dari kenalan di alam siber kini mereka bersahabat baik dialam nyata.. saling kunjung mengunjung dan ziarah menziarahi..

Hubungan persahabatan yang saling hormat menghormati, tolong menolong dan saling ingat-mengigati, buatkan mereka berada di kelompok pentas mereka tersendiri. Seorang di pentas masakan dan seorang lagi kini sibuk bersama cahaya mata sulung mereka..

Siapakah kedua sahabat baik ini????
Nak tau cerita selanjutnya tentang ikatan persahabatan mereka, dan tercetusnya ilham menghasilkan cookies ini. Jom kita singgah di SINI


BENZILLA LOVE COOKIES
By: Adnan Ibrahim

140 gram mentega (mat guna jenama "Anchor")
145 gram tepung gandum*
80 gram tepung kastarad* ~ custard powder
40 gram Horlick*
40 gram gajus, kisar halus*
30 gram cocoa crunch, kisar halus*(*A)
40 gram gula aising
1 kuning telur
1/4 camca teh esen vanilla

Bahan Hiasan
Coklat masakan secukupnya
1/4 camca teh lemak sayur
Coklat masakan berperisa strawberry secukupnya
Gula hiasan bentuk hati secukupnya



Putar mentega dan gula aising hingga sebati.
Masukkan kuning telur dan putar rata.
Perlahankan kelajuan, masukkan esen vanilla dan juga bahan bertanda (*A) sedikit demi sedikit sehingga menjadi doh (doh memang lembut sedikit, tapi anda biarkan ianya terdedah pada udara untuk 10 - 15 minit, nanti doh jadi OK).
Canai doh antara 2 keping plastik setebal 0.5 cm.
Terap dengan acuan bentuk hati, susun dalam loyang pembakar, jarak kan sikit, sebab biskut akan mengembang sedikit dalam proses memasak.
Buat hingga siap. Bakar pada suhu 175C selama 15 - 20 minit, bergantung pada oven masing.
Bila masak, biar sekejap dalam loyang hingga suam dan baru dialihkan atas jaringan sepenuhnya.

Sementara itu cairkan coklat masakan secara kaedah "double- boiler", masukkan lemak sayur. Kacau rata.
Bila biskut sejuk, celupkan permukaan biskut tadi dalam coklat masakan, susun atas jaringan kembali.
Hias dengan gula hiasan bentuk hati, atas biskut tadi.
Buat hingga selesai dan biar sekejap hingga coklat mengeras.

Cairkan pula coklat masakan berperisa strawberry tadi, gunakan kaedah double-boiler.
Gunakan api paling kecil semasa proses mencairkan.
Isi dalam piping beg dan drizzle kan zig-zag atas biskut tadi, biar coklat mengeras baru simpan dalam bekas kedap udara.

CATATAN MAT GEBU
Acuan biskut, selalunya mat celup dalam tepung sagu untuk mengelakkan doh melekat ketika kita menerap biskut tadi....


SALAM LEBARAN



Aug 13, 2012

THE FAMOS AMER CHOCOLATE CHIPS COOKIES

Assalamualaikum

Pejam celik pejam celik kita dah pun berada di minggu terakhir bulan Ramadhan. Kira kalau kita masuk pertandingan lumba lari, ini dikira minit-minit terakhir sebelum kita menempuhi garisan penamat...

Rasa-rasa ramai juga yang akan pulang ke kampung minggu ini. Pasti tidak sabar ibu dan ayah menunggu kepulangan anak-anak di hari raya. Sayu rasa hati pula bila anak-anak tak pulang ke kampung. Pasti saat beraya bersama anak-anak berlegar-legar di ruang mata.

Ada juga pada saat ni dah mula tercetusnya percikan bunga api.. masih berkira-kira nak balik kampung siapa? Walau apapun biarlah keputusan yang di pilih menyenangkan hati semua agar tidak pula dari percikan bunga api bertukar pula pada ledakkan meriam buluh.. hehe ^_^


Tu lah masa khawin dulu kenapa tak cari calon senegeri.. kan senang raya sekampung.. Bila musim perayaan barulah mengeluh kenapalah tak fikir dulu masa nak khawin.. haha ada juga yang dah mula menyalahkan takdir.. dah jodoh..

Bagaimana pula yang sorang  di utara.. sorang di selatan macam ita ni.. Sebenarnya ita tak kisah raya di mana, pada ita sama sahaja. Cuma yang tak larat nak menempuhi kesesakan jalan raya setiap kali pulang ke kampung. Perjalanan biasa yang mengambil masa 7, 8 jam boleh bertukar kepada 24 jam.. aduh.. sengal punggung duduk lama dalam kereta.. :(

Anak-anak ita cukup suka kalau beraya di Kota Bahru, sebelah ayahnya. Tapi tahun ni rasanya macam tak cukup korum pula.. mungkin keluarga ita dan adik suami yang bungsu sahaja yang beraya di sana. Dua orang adik suami lagi tak dapat pulang beraya kerana suami masing-masing tak dapat cuti raya. alaaa... macam tak syok pulak kan.. Ita suka kalau semua berkumpul.. seronok beraya bersama-sama. Macam-macam cerita dan gosip! lebih-lebih lagi kami semua lebih kurang sebaya..

Yang paling seronok bukan sahaja sebaya malah saiz badan juga lebih kurang sama, kalau yang gemuk sikit pun mungkin ita kot.. ^_^
Kasut pun sama saiz.. baju lagi lah.. boleh tukar-tukar pakai.. Yang paling lucu, bukan kita aje yang sama saiz kasut, mak mertua ita pun sama saiz kasut dengan kita.. hihi


Beraya di Kota Bahru dan Johor tak banyak berbeza, kalau beza pun dari segi juadah yang terhidang di pagi raya. Orang Kelantan tak suka makan ketupat, mereka lebih suka makan pulut. Mujur mak mertua ita dah lama tinggal di JB dan anak-anak mereka pun dah biasa makan ketupat, jadi setiap kali raya mak mertua pasti buatkan ketupat untuk kami menjamu selera di pagi lebaran.

Rendang, lodeh, kuah kari, ayam masak merah, sambal tumis adalah antara juadah yang terhidang di pagi raya. Tapi kalau kat Kelantan ada tambahan satay dan kuah kacang.
Yang seronok di Kelantan, mereka suka buat kenduri di hari raya pertama, jamu orang makan. Kira kalau kat Johor macam 'open house' lah.. tapi biasanya di JB ni open house di buat pada raya ke 2 dan berlarutan hingga sebulan Shawal.

Biasanya awal pagi lagi kami dah diundang makan kenduri. Antara juadahnya nasi berlauk, nasi dagang, laksam, nasi kerabu dan macam-macam lagi.  Pada masa ini lah baru dapat bertemu keluarga sebelah suami yang tak pernah ita kenal. Tapi ita ni kalau mereka berbual ita melopong aje lah.. hihi tak paham sebenarnya.. orang ketawa ita ketawa.. orang senyum ita senyum.. haha Kalau ada adik ipar dia tukang translatekan kat ita.. ya adooo...


Aduh indah sungguh rasanya suasana di hari raya.. macam dah tak sabar nak pulang ke kampung..

Hari ni ada lagi satu kukis yang nak ita kongsikan. Resepi dari Chef Amer yang tidak asing lagi dengan coklatnya.. kira Papa Coklat kita lah kan..
Sebenarnya ita dah dapat merasa air tangan Chef Amer masa beliau bawa biskut ni ke klas tempoh hari. Sedap biskut ni dan menurut Chef Amer biskut ni antara yang top sale untuk biskut raya keluaran beliau.

Tapi ita tak boleh buat awal-awal sebab nanti ita yang banyak makan, belum raya biskut dah habis.. hihi
Resepi biskut ni telah di kongsikan oleh Chef Amer dalam Majalah SAJI bulan Ogos. Kepada yang belum dapatkan majalah SAJI bulan Ogos boleh lah dapatkan di pasaran, banyak resepi biskut raya yang menarik tersisip di dalamnya.


THE FAMOS AMER CHOCOLATE CHIPS COOKIES
By : Chef Amer
Rujukan : Majalah SAJI Ogos 2012

250 gm mentega
70 gm gula halus
80 gm gula perang
1/2 camca esen vanilla
1 biji telur
1 biji kuning telur

Bahan Diayak

300 gm tepung
10 gm serbuk koko
1/2 camca teh serbuk penaik
1/2 camca teh soda bikarbonat
50 gm susu tepung

Bahan Lain

60 gm kacang badam / walnut / pecan ~ dipanggang pada suhu 160C selama 10 minit ~ cincang
40 gm oats
250 gm cip coklat
  
1.            Pukul mentega, gula, gula perang dan vanilla hingga sebati sahaja.
2.            Masukkan telur dan kuning telur dan pukul lagi hingga sebati.
3.            Masukkan campuran tepung perlahan-lahan sambil dipukul.
4.            Campurkan kekacang, oats dan cip coklat lalu dimasukkan kedalam adunan.
5.            Gaulkan hingga sebati dan rata.
6.            Sudukan adunan atau letakkan sedikit adunan di atas dulang yang telah di glis.
7.            Bakar di dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 170°C selama 20 minit.

Ita salutkan atau celupkan cookies ni dengan coklat masakan putih dan hitam yang ita cairkan secara double boiler.


Salam Lebaran



Aug 11, 2012

Tips mengekalkan kesegaran jambangan bunga hidup


Siapa yang tak suka jika menerima sejambangan bunga hidup. Pasti hati juga turut berbunga-bunga ceria. Bunga hidup cukup sinonim dengan golongan wanita. Ita juga tidak terkecuali. Tapi untuk mengekalkan bunga hidup agar terus segar adalah sesuatu yang amat sukar memandangkan cuaca negara kita yang panas.

Bila tiba hari raya, bunga hidup juga menjadi satu kemestian yang akan di utamakan. Rumah jika terdapat sejambangan bunga hidup pasti akan tampak lebih manis. Ianya juga seolah-olah memberikan satu aura kepada pemilik kediaman.

Pelbagai tip dan panduan yang di sarankan , bagi memastikan bunga hidup didalam jambangan kekal lama. Ada yang mencadangkan meletakkan gula didalam air pasu bunga, tak kurang juga yang menyarankan meletakkan sedikit garam. Yang paling unik ada yang mencadangkan meletakkan duit syiling 1 sen. Waima apa pun sekali pertua yang di berikan pastinya ada jalan penyelesaian lain yang lebih lojik. Mari kita pelajari sedikit tip dan panduan di dalam mengekalkan kesegaran bunga hidup dari pakar seni hias.



Kunci kepada pengekalan kesegaran jambangan bunga hidup adalah dengan memastikan air yang digunakan sentiasa bersih dan bahagian batang yang dipotong bebas dari poket udara supaya ia boleh terus menyerap air.

Caranya begini
  • Langkah pertama, beli hanya bunga yang paling segar.
  • Pilih jambangan bunga yang masih belum berkembang dengan daun yang berkilat. Elakkan kuntuman bunga yang layu atau telah kembang masak.
  • Potong batang kuntuman bunga yang baru dibeli lebih kurang 2.5 sm di bawah air yang mengalir. Potong pada sudut 45°. Gunakan pisau tajam atau gunting pemangkas yang sebenar bagi memastikan bahagian batang yang dipotong tidak pecah atau hancur.
  • Pilih pasu yang tidak menyesakkan bunga-bunga berkenaan. Isikan dengan 8 cm air yang agak suam. Potongan batang yang terendam air akan mula mereput, sebab itu jangan penuhkan pasu dengan air.
  • Buang semua daun yang mungkin boleh jatuh ke dalam air. Daun reput dalam air menggalakkan perkembangan bakteria yang akan melitupi bahagian potongan batang dan mengurangkan kemampuan bunga menyerap air.
  • Letakkan jambangan bunga di ruang yang sejuk, tidak terkena cahaya matahari secara langsung. Juga jangan letak jambangan bunga berdekatan dengan buah-buahan masak kerana gas ethylene yang dibebaskan oleh buahan-buahan berkenaan akan memendekkan umur kesegaran bunga-bunga anda.
  • Setiap hari, potong batang kuntuman bunga sepanjang 0.5 sm pada sudut 45° di bawah aliran air dan tukar air di dalam pasu.

Rujukan : http://www.senihias.com/v2/?author=1&paged=9
Gambar dari : Google

10 langkah penyediaan ruang dapur

Apabila musim perayaan menjelang tiba, pelbagai perancangan yang di atur daripada segi bagaimana dan apakah persiapan yang harus dilakukan untuk menyambut tetamu yang berkunjung ke rumah. Ini kerana pada masa ini lah ramai yang mengambil peluang berkunjung ke rumah saudara atau kenalan yang sukar di temui pada hari-hari biasa.

Dengan itu, bagi memastikan segalanya berjalan dengan baik, keadaan dapur haruslan dititik beratkan. Ruang ini bakal menjadi zon penting kerana selain dijadikan tempat menyediakan juadah makanan, dapur juga berfungsi sebagai zon berkumpul dan berinteraksi para tetamu yang hadir.

Justeru pastikan ruang dapur rumah anda berada dalam keadaan yang cukup selesa untuk menerima kehadiran tetamu. Jom kita inta-intai 10 langkah menyediakan ruang dapur sempena musim perayaan yang bakal menjelang.



Pastikan Kaunter Top Bersih
Keberadaan kaunter top begitu penting di ruang dapur. Menjadi ruang kerja dan menempatkan seleksi rempah ratus yanag dijadikan bahan masakan. Pastikan permukaan kaunter top di bersihkan daripada sebarang kekotoran. Di samping itu bersihkan panel tahan percikan agar tidak kelihatan berminyak dan seterusnya menjadikan permukaan dapur kemas dan teratur.

Usah Abaikan Ketuhar Gelombang Mikro
Bahagian ini sering dilupakan. Tetamu mungkin terkejut melihat keadaan ketuhar gelombang mikro yang berminyak dan tidak di bersihkan ketika berkunjung ke ruang dapur. Justeru pastikan ketuhar gelombang mikro sentiasa berada pada tahap terbaik.

Ketuhar
Meski jarang digunakan, anda harus memastikan ketuhar anda sentiasa tampil dengan keadaan baik. Kerana peralatan ini banyak digunakan ketika menyediakan juadah persediaan menyambut lebaran. Tidak dilupakan pastikan permukaan hadapan ketuhar tidak berminyak dan melekit selepas digunakan dengan melakukan satu langkah pembersihan yang mudah.

Peti Sejuk
Peti sejuk menempatkan banyak bahan makanan basah yang berat ketika musim perayaan. Oleh yang demikian anda harus menitik beratkan kebersihan dan keadaan alat eletrik ini.
Pastikan rak dalam peti sejuk sentiasa bersih. Keluarkan dan cuci dengan menggunakan sabun. Kemudian keringkan ia sebelum menempatkan semula di dalam peti sejuk. Memandangkan ia sering digunakan, sentiasa pastikan pintu peti sejuk sentiasa tertutup rapat sebaik selepas ia di buka.


Cuci Tong Sampah
Jangan biarkan tong sampah penuh dengan bahan buangan. Ketika hari perayaan, lebih banyak bahan buangan yang dihasilkan. Justeru anda boleh menyediakan ekstra beg plastik untuk melancar pembuangan sisa makanan. Pastikan juga anda membersihkan ruang dalam tong sampah yang mungkin terkandung sisa makanan yang melekat. Anda juga boleh menyembur dengan penyembur pembersihan bagi mengelakkan jangkitan kuman.

Mesin Pencuci Pinggan
Pastikan mesin pencuci pinggan berfungsi dengan baik. Jangan abaikan bahagian pengaliran dan bersihkan sisa makanan yang tertinggal. Pastikan juga tiada kaca yang pecah atau perkakas yang tertinggal di bahagian bawah permukaan. Akhir sekali bersihkan luar mesin dengan sabun dan span.


Perkakasan Dapur
Perhatikan perkakasan dapur dan susun dalam keadaan yang baik. Pastikan setiap set pinggan mangkuk, sudu garfu dan semuanya lengkap. Tidak dilupakan elakan adanya bahan pantri seperti minyak memasak, makanan dalam tin dan sebagainya yang sudah rosak berada dalam simpanan.

Keselamatan Kanak-kanak
Kehadiran tetamu pada hari raya memungkinkan ramai anak kecil turut berada diruang dapur. Dengan itu anda haruslah menetapkan satu zon selamat di ruang dapur bagi kanak-kanak. Elakkan meletakkan perkakasan yang tajam dan berbahaya di ruang bawah yang mudah di capai. Anda juga wajar menyediakan kit kecemasan dan pemadam api di kediaman. Apa yang pasti malang tidak berbau.


Peka Dengan Makanan Alergi
Bukan semua tetamu yang hadir boleh menikmati minuman berkabornat maupun makanan dari pulut misalnya. Oleh yang demikian, anda harus bersedia dengan menyiapkan makanan alternatif buat tetamu seperti mengantikan air meneral dengan air berkarbonat dan mengantikan pulut atau lemang  dengan nasi impit. Dengan demikian , mereka masih boleh menikmati juadah ketika berkunjung ke kediaman anda.

Jadual Memasak
Memandangkan pada waktu hari raya anda akan memasak dalam kuantiti  yang lebih banyak daripada kelaziman, anda harus merancang masa memasak anda agar dapat menyiapkan juadah pada masa yang diinginkan. Misalnya bahan tumisan untuk penyediaan juadah boleh di sediakan lebih awal. Nasi impit boleh di sediakan awal dan lain-lain lagi yang tidak menyukarkan tugas anda. Ini bertujuan memudahkan perjalanan kerja anda di dapur dan menjadikan semua perkara lebih terurus.




Rujukan : Majalah IMPIANA Julai ~ Sept 2012
Gambar Koleksi : Google





Aug 10, 2012

TIPS MENGHIAS RUANG MAKAN

Ruang makan adalah ruang interaksi kedua yang tidak kurang pentingnya dalam sesebuah kediaman. Lazimnya, ruang ini di bina pada pelan lantai tengah yang menghubungkan ruang dapur dan ruang tamu.
Memandangkan peranannya yang amat besar, tidak hairanlah mengapa ia antara ruang yang tidak pernah terlepas daripada pengubahsuai.

Perubahan ketara yang ingin diaplikasikan pada ruang makan banyak bergantung pada trend semasa, dan juga bilangan ahli keluarga. Namun ada juga yang inginkan ruang makan untuk ahli keluarga berasingan dengan tetamu.
Faktor keluasan ruang dan baget banyak mempengaruhi seseorang dalam memilih material yang bersesuaian mengikut status mereka.

RUANG YANG TERHAD


Untuk lebih menampakkan keluasan pada satu ruang makan yang terhad, penggunaan cermin lebih membantu menampakkan keluasan sesuatu ruang. Penggunaan kertas dinding dan warna juga memainkan peranan besar untuk menghasilkan mood di ruang makan tersebut. 

RUANG SEDERHANA


Ruang yang sederhana dengan baget yang sederhana juga memerlukan perancangan dan penelitian khusus. Menjadikan media masa sebagai bahan rujukan antara alternatif yang bijak bagi mengatur perancangan dan mengurangkan perbelanjaan.
Pemilihan perabut yang bersesuaian dengan baget yang sederhana cukuplah sekadar tampil memenuhi keselesaan dan bertepatan dengan tema kediaman.

Apa yang penting anda harus memilih material yang tahan lasak dan berkualiti. Bagaimana pun apa yang perlu ditekankan perabut tidak terlalu ringkas dan terlalu berserabut.

Memilih kediaman berkonsep terbuka antara alternatif yang juga praktikal. Tidak perlu tambahan baget untuk membina panel pembahagi, namun kehadiran archway seumpamanya menjadikan penataan turut nampak sempurna. 

Sementara itu aksesori seperti lampu kristal turut boleh di tambah agar ruang tidak nampak kaku. Ia tampil sebagai penyeri ruang untuk kelihatan lebih menarik. 

BAGET BESAR DAN MEWAH


Peruntukan perbelanjaan yang besar biasanya di perlukan bagi kerja-kerja ubahsuaian ruang yang bersaiz besar. Dari sudut pandangan atas, kiri, kanan dan juga bawah semuanya haruslah diberikan sentuhan agar menghasilkan paparan ruang yang cukup berbeza, gah dan eksklusif.

Bagi yang mementingkan keselesaan dan kualiti sesuatu perabot, memiliki perabut berjenama sememangnya mampu memberi kepuasan berganda serta ruang bakal terlihat eksklusif.

TIPS MENGHIAS MEJA MAKAN

Tampilkan gaya elegan pada meja makan dengan meletakkan beberapa hiasan yang mempunyai ketinggian berlainan. Sebagai contoh letakkan kaki lilin berlainan ketinggian.

Gunakan pengaruh lampu untuk menyerlahkan hiasan meja. Lampu yang agak kuning dan malap mampu membangkitkan suasana romantik

Gunakan warna yang bersesuaian sebagai alas meja dan pinggan mangkuk. Elakkan daripada menggunakan alas meja berwarna gelap atau yang sewaktu dengannya. Pilih warna yang agak lembut.

Warna pinggan mangkuk juga perlu sepadan dengan warna alas meja. Elakkan menggunakan warna yang sama kerana ia boleh menengelamkan juadah yang terhidang. Warna seperti hijau, merah epal atau kuning lemon juga boleh dipertimbangkan.



  • Garfu di sebelah kiri pinggan
  • Sudu di sebelah kanan pinggan
  • Pisau diletakkan di sebelah kanan pinggan dengan mata pisau mengadap ke pinggan.
  • Gelas minuman diletakkan berderet di sebelah kanan atas.
  • Piring mentega atau roti di letakkan di sebelah kiri atas.



Rujukan dan panduan : Majalah IMPIANA
Gambar eksklusif dari : Google

TIPS MENYUSUN ATUR RUANG TAMU KEDIAMAN

Setiap kali hadirnya bulan yang mulia, selain kita melipat gandakan amalan kita juga sudah berkira-kira tentang persiapan menjelang hari Lebaran. Pelbagai persiapan yang telah kita lakukan, selain dari penyediaan juadah dan kuih muih untuk merai tetamu, apa yang lebih di titik beratkan ialah ruang kediaman.

Tradisi kunjung-mengunjung di Hari Raya adalah satu amalan yang telah sebati dalam diri kita. Setiap kali tibanya hari Lebaran, pastilah ruang sosial utama di kediaman menjadi tumpuan para tetamu yang berkunjung ke rumah.  Sudah semestinya tuan rumah ingin memberikan keselesaan maksimum kepada tetamu yang berkunjung ke rumahnya.

Setiap kali musim perayaan, ramai antara kita mengambil peluang untuk mengubah suai kediaman agar tampil hebat dan bergaya. Ada yang menukar langsir dan tak kurang juga yang menukar perabut baru. Walau apapun yang anda lakukan, perancangan yang teliti sebelum membeli adalah perkara yang harus anda fikirkan, supaya tidak berlaku pembaziran atau perabut yang di beli tidak bersesuaian dengan hiasan dalaman rumah anda.

Ruang tamu sebagaimana namanya, merupakan ruang untuk anda menerima tetamu. Ia adalah ruang rasmi. Hari ini ita ingin kongsikan beberapa idea dekorasi ruang tamu yang mungkin boleh di jadikan panduan untuk kita menghias ruang tamu rumah kita agar tampil bergaya dan memeriahkan lagi kedatangan lebaran kali ini.

MODEN KONTEMPORARI


Moden dan kontemporari, kedua-duanya mempunyai ciri yang hampir sama, ringkas dan tidak berserabut. Salah satu ciri yang menyerlahkan stail moden ialah penggunaan warna tona hitam, kelabu, perak dan juga putih. Idea kontemporari terkini lebih menekankan warna terang dan bercorak geometri.

KEDESAAN INGGERIS


Konsep dan gaya kedesaan Inggeris mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri. Konsep sebegini dikatakan mampu memberikan ketenangan dan menyuntik eleman kelembutan kepada pemilik. Kedesaan Inggeris menjurus kepada warna lembut, gelap dan yang paling ketara adalah penonjolan motif flora pada langsir, kusyen dan alas meja.

KLASIKKAL MEWAH

gaya klasik Eropah
Setiap orang mempunyai citarasa pilihan mereka tersendiri. Ini juga banyak bergantung kepada corak kehidupan dan baget.
Gaya Klasikal ialah sentuhan dekorasi yang mengadunkan elemen Greek dan Roman pada abad ke 18. Perabut kebanyakkannya bergaya mewah dengan fabrik mewah dari sutera, brocade, kapas dan wool menjadi kemestian dalam konsep ini.


GAYA MINIMALIS


Ruang minimalis lebih kosong dengan perabut yang terhad dan kawasan rumah tampak lebih luas dan santai. Ruang minimalis menjadi pilihan masyarakat urban yang merindukan kejujuran, kesederhanaan dan keselesaan penghuninya.

TIPS MENYUSUN ATUR RUANG TAMU KEDIAMAN


1. Jika ruang tamu ingin dimanfaatkan tempat merai tetamu sepenuhnya, tempat duduk elok disusun berdekatan supaya tetamu merasai kemesraan tuan rumah. Pastikan jarak di antara tempat duduk tidak terlalu jauh hingga mewujudkan ruang di tengah yang boleh menjadi kawasan lalu-lalang. Ini akan mengganggu perbualan dan sebaiknya, aliran lalu-lalang disediakan di belakang sofa.



2. Ambil kira keluasan ruang tamu, kedudukan tingkap dan pintu sebelum memilih tempat duduk kerana sofa memerlukan ruang. Pastikan kehadirannya tidak menghalang kawasan lalu-lalang di muka pintu atau sekitar ruang tamu.



3. Jika ruang tamu anda memanjang dan sempit, bahagikan tempat duduk kepada dua kumpulan iaitu sama ada tempat duduk gaya susunan 2 + 1 + 1 atau gaya susunan 1 + 1 dan di sudut lain ditempatkan kerusi kayu serta rotan yang ringkas. Meja kopi diletak di bahagian tengah.

4. Sofa dua atau tiga tempat duduk  bukan bermakna sepanjang masa diduduki. Biasanya ia tidak digunakan sepenuhnya pada satu masa kerana menyukarkan perbualan. Di sini, perlunya tambahan sofa satu tempat duduk yang dapat memberi keselesaan.



5. Ruang tamu yang digunakan untuk berbual dan menikmati hidangan ringan memerlukan meja kopi besar diletakkan di tengah ruang dilengkapi meja sisi serta sepasang sofa dua atau tiga tempat duduk diatur bertentangan.

6. Untuk mengelakkan kebosanan selain mewujudkan tata hias menarik, pastikan fabrik pelbagai warna dan corak dipilih. Gabungan sofa dan kerusi pula mampu mewujudkan kelainan.
Kerusi beralas tangan jenis rotan dan kayu serta sofa bersayap menampilkan gaya menarik. Selain itu, ia boleh dijadikan tempat duduk tambahan dan sudut membaca.




Rujukan :
http://www.senihias.com/v2/?p=721
Gambar dari Google

AzlitaMasamManis. Powered by Blogger.