Jun 30, 2012

APPLE CRUMBLE PIE

Assalamualaikum


Pasti ada yang sudah mengecap-ngecap air liur takala melihat kelibat sebiji epal hijau kan... Pasti dah terasa akan kemasamannya. 
Ita adalah salah seorang dari pengemar epal hijau. Epal hijau yang rangup dan rasanya yang kemasaman pasti membuatkan ita seakan payah untuk berhenti mengunyah.

Masa ita mengandungkan anak sulung, ada rakan yang mencadangkan ita makan epal hijau, yang dikatakan dapat mencantikkan kulit bayi. Apalagi ibarat kata perpatah 'orang mengantuk disorongkan bantal' ita pun dok lah borong buah epal hijau yang kebetulan segar-segar di pasaraya. Sedang ita dok pilih tu.. datanglah seorang perempuan tua, dia kata " nak, anak kan mengandung, tak bagus makan epal hijau" ita pulak tercengang-cengang kerana kurang pasti.. " epal hijau tak berapa elok di makan masa kita mengandung, ia akan melemahkan otak bayi dalam kandungan" sambung perempuan tua itu lagi.
haaaa... ye ke? ita segera meletakkan semula epal hijau itu.. Sejak itu setiap kali ita mengandung, ita tak sentuh epal hijau dan tidak benarkan anak-anak makan epal hijau.. 


Ada ke yang mengalami situasi yang sama macam ita ni? Sebenarnya kata orang 'kalau tak pecahkan ruyung manakan dapat sagunya' kalau kita tak dapatkan info manalah kita tau kebaikan dan keburukannya.
Hari ni ita nak kongsikan sedikit info tentang khasiat dan kebaikan buah epal hijau. Semoga maklumat yang dikongsikan ini dapat memberikan panduan buat kita semua dalam memilih hidangan yang terbaik buat keluarga tersayang.


'An apple a day take a doctor away" pasti kita biasa dengar ungkapan ini kan?
Mengunyah sebiji epal atau meminum jusnya setiap hari sudah cukup untuk membekalkan khasiat untuk mengurangkan kandungan kolesterol dalam badan.
Kajian menunjukkan epal mengandungi elemen kesihatan phytonutrient yang boleh melambatkan pengoksidan kolesterol yang tidak baik.
Kajian mengenai khasiat epal dan jusnya disahkan terbukti meningkatkan kesihatan dan fungsi jantung. Jus yang mengandungi phytonutrient sangat baik bagi proses pertumbuhan penyakit jantung.

Serat epal pula membantu proses penghadaman dengan mengeluarkan asid organik sewaktu bertindak balas dengan bakteria dalam usus.Kandungan asid butrik juga merupakan sumber makanan sel usus yang dapat membasmi pertumbuhan sel kanser usus.

Untuk mereka yang mempunyai masalah sembelit atau sistem penghadaman, kisarkan epal hijau dengan saleri dan minum setiap pagi sebelum sarapan. Amalan ini dapat membersihkan saluran usus serta membuang toksid dengan pantas menerusi sistem pencernaan. Zat masam epal hijau sememangnya merupakan pembersih tubuh yang sangat baik.


Selain itu epal juga kaya dengan serat. Lima gram serat dalam sebiji epal bersamaan dengan 20 peratus serat yang diperlukan oleh manusia dalam diet harian.
Ia juga berfungsi sebagai pengimbang lemak yang baik, khususnya untuk kanak-kanak yang gemar mengambil makanan segera.

Malah kajian yang dilakukan oleh saintis British juga membuktikan kunyahan epal mampu mengubati masalah sakit gigi dan selaput tatar yang merosakkan gigi.
Bukan itu sahaja, di Jepun, penyelidik mendakwa amalan mengupas buah epal dapat mengaktifkan bahagian hadapan otak iaitu bahagian yang mengawal pemikiran logik, imaginasi dan penilaian.


Memakan epal juga membantu mencegah pembinaan kolestrol dalam dalam dinding saluran darah dan meningkatkan kesihatan paru-paru
Ia juga dapat membantu kesihatan tulang dengan menambahkan bahan kimia (boron) pada mineral tulang.
Serat yang terkandung dalam epal dapat membantu sistem kardiovaskular dengan mengekalkan tahap kolestrol darah dan membantu mengekalkan berat badan.
Selain itu ia juga mampu mengurangkan penyakit asma dan juga mengurangkan risiko cancer.

Adalah digalakkan untuk memakan epal bersama dengan kulitnya kerana sebahagian kandungan vitamin C terletak di bawah kulitnya.

Untuk kesegaran kulit wajah pula, potong epal hijau dan rendamkan seketika dalam air batu selama 5 minit. Kemudian letakkan hirisan epal hijau tersebut di atas muka dan biarkan selama 15 minit. Pasti anda dapat rasakan kesegarannya dan jika diamalkan selalu boleh melicinkan kulit muka.


Selain di makan begitu sahaja, epal hijau juga sangat sesuai di jadikan satu hidangan yang cukup istimewa. Pastri adalah satu gandingan yang sesuai untuk epal selain dari di buat kek.
Di Amerika, epal jenis Granny Smith adalah epal hijau paling terkenal digunakan untuk memasak. Isinya yang rangup, bukan sahaja cantik malah tahan jika di masak lama. Pai paling digemari di Amerika ialah pai epal lama.

Epal jenis rangup Mc Intosh, epal hijau Granny Smith dan jenis kuning amat sesuai di buat pai dan tart. Jangan sesekali menggunakan epal biasa untuk memasak kerana ia mengandungi banyak air dan akan pecah apabila di bakar dan rasanya juga kurang enak.

 

APPLE CRUMBLE PIE

Bahan Untuk Kulit Pastri
240g Tepung Gandum
170g Mentega sejuk ~ dipotong kecil
2 sudu besar Gula Aising
4 sudu besar air ais

Gaulkan tepung dengan gula aising
Masukkan Mentega dan gaul semula menggunakan garfu sehingga tekstur seperti serbuk roti
Campurkan air ais sesudu demi sesudu dan gaul rata dengan menggunakan garfu sehingga ia menjadi doh.
masukkan doh kedalam plastik dan simpan di dalam peti ais selama 30 minit.
Bahan Inti
5 biji apple hijau (Granny Smith)
1 biji parutan kulit lemon
Secubit garam
2 sudu besar mentega
100g gula perang
secubit serbuk kulit kayu manis
2 sudu besar tepung jagung

Apple dibuang kulit dan biji dan kemudian dihiris nipis
Ketepikan
Panaskan gula dan mentega. Kacau rata.
Masukkan hirisan Apple. Gaul rata
Masukkan garam. serbuk kayu manis dan tepung jagung.
Kacau hingga apple lembut dan kuahnya pekat
Angkat dan biarkan sejuk

Bahan Crumble
75g tepung gandum
35g mentega tanpa garam
35g gula
35g chip cokelat


Gaulkan mentega, tepung dan gula sehingga menjadi seperti serbuk roti.
Masukkan chip cokelat dan gaul rata

Cara Menyediakan Pie
Panaskan ketuhar pada suhu 220C
Sediakan acuan pie 12"
Keluarkan doh pastri dari peti sejuk
Canai doh pastri menjadi nipis dengan ketebalan 5mm
Alihkan kedalam acuan pie. Kemaskan tepinya dan buangkan lebihan.
Masukan inti ke dalam pie hingga penuh. Tinggalkan sedikit hirisan apple sebagai hiasan
Tutupkan atas pie dengan crumble.
Hiaskan dengan baki hirisan apple
Bakar pie selama 15 minit pada suhu 220C.
Kemudian turunkan suhu kepada 190C dan bakar selama 45 minit hingga bahagian atas pie berwarna perang.



Jun 28, 2012

PUDING LAICI DANGDUT




Assalamualaikum
Apa khabar semua hari ni ?
Besar harapan ita agar semuanya sihat dan sentiasa ceria. Alhamdulillah ita sihat dan semakin bertambah-tambah sihat pulak sejak kebelakangan ni.. aduyaiii.. tak taulah kenapa selera nak makan ni bertambah-tambah pulak sejak ita di Madinah lagi.. ita asyik makan dan makan dan makan.. tah kenapa ita cukup berselera pulak bila makan disana, sampai terbawa-bawa bila kembali ke tanah air ni..


Bayangkan semasa di sana, para jemaah di beri makan 3 kali sehari. Dari pagi sampai malam semua hidangan di sajikan dengan nasi. Seawal subuh lagi kita dah makan dan makan malam pula agak lewat iaitu selepas waktu Isyak. Bila perut dah kenyang apalagi teruslah kedebammm.. tidur.. tu lah yang buat badan ni.. alahaii.. segan nak cakap!


Mula-mula ita ingat nak posa masa disana, tapi memandangkan cuaca yang sangat panas dan waktu siang yang agak panjang, berapa kali ita hanya dapat puasa separuh hari sahaja, sebab tak tahan terlalu dahaga.. Tapi ada juga para jemaah yang dapat berpuasa penuh.. Alhamdulillah 
Tak lama lagi, umat Islam pun akan menyambut kedatangan bulan Ramadhan. Ada juga yang dah mula berpuasa pada bulan Rejab dan Syaaban. Bagi kaum hawa yang masih belum ganti puasa tu.. segeralah gantikan puasa yang tertinggal tu kan.. nanti kalau ditangguh-tangguh takut terlupa pulak !

Menu ita pada hari ini adalah hidangan 'pencuci mulut' kalau kata orang Melayu. Orang Inggeris pula lebih selesa memanggilnya 'dessert '.
Apa-apa lah kan yang penting ianya adalah sajian yang selalu ita sediakan terutamanya pada bulan puasa kerana suami ita amat gemar makan manisan, lebih-lebih lagi yang lembut-lembut dan dingin.


Hari ni ita sediakan Puding Laici Dangdut. Resepi ilham dari tukang masak kesayangan ita, juga  kesayangan semua peminat dunia masakan. Siapa lagi kalau bukan Kak Hanieliza. 

Kenapa ianya di panggil Puding Laici Dangdut??  emmmm...  kot-kot masa kak liza mencipta puding ni era zaman kegemilangan dangdut kot.. atau masa tu kak liza sedang asyik mendengar alunan lagu dangdut di corong radio, itu yang timbul nama tu.. tapi pada firasat ita kerana puding ni lembut dan bergoyang-goyang ala-ala Inul gituuu.. tu lah yang membuatkan kak Liza mengambil keputusan untuk meletakkan namanya puding laici dangdut... kot wallahualam.. nak tau lebih lanjut kena lah tanya dengan kak Liza..


Sebelum ita pergi umrah hari tu, ita ada ternampak Yatie buat. Masa tu ada keinginan nak buat, entah macam mana tak berkesempatan nak buat. Bila balik umrah hari tu memang teringin sangat nak makan puding laici ni.. tu lah ita merajinkan diri melayan anak tekak yang dah lama sangat mengidam ni..

Kepada yang belum cuba, mesti kena cuba! sedap tau puding ni.. Lembut dan halus aje.. Bila lalu kat anak tekak ni terasa licin aje.. seakan ia melompat-lompat dan bergoyang dangdut pula dalam mulut ita ni.. alahaiii.. lega rasa bila dah dapat menikmati segelas puding yang dingin..

Untuk membuatnya ita cadangkan untuk buat dalam gelas, mangkuk kaca atau dalam bekas kecil. Ini kerana puding sangat lembut. Kalau nak buat dalam acuan, kena lebihkan sedikit agar-agar supaya ia keras sedikit. Tapi kalau selera ita, memang ita sangat suka puding yang halus dan lembut macam ni..

Adunan dapat banyak, jadi pada yang tak besar anggota keluarganya tu buat lah 1/2 adunan sahaja. 
Ita kisar sekali sedikit buah laici dan masukkan dalam adunan. Itu terpulanglah pada citarasa masing-masing.

Terima kasih ita kepada kak Liza selaku penyumbang resepi dan juga kepada Yatie yang telah mewar-warkan tentang ke sedapan puding laici dangdut ni.
 

PUDING LAICI DANGDUT
By : Kak Hanieliza
Rujukan : Yatie

10 gm agar-agar serbuk/1 paket agar2 biasa ( agar-agar tali 28 gm)
2 liter air
2 cawan gula
2 tin laici ~ asingkan air dan buahnya
1 tin susu cair

Masak agar-agar hingga mendidih.
Masukkan gula. Biar mendidih lagi. Tutup api. Jika guna agar-agar biasa, ( tali)  tapis dulu.
Masukkan air laici dan susu cair. Kacau rata.
Tuangkan dalam acuan samada loyang ataupun mangkuk2 kecil. Sejukkan sebentar.
Kemudian sejukkan dalam fridge.
Hidangkan bersama buah laici yang telah diasingkan tadi. Boleh juga di makan bersama susu cair.


Jun 27, 2012

ROSSET VELVET CAKE

Assalamualaikum

Alahaiii... rindu betul ita dengan dapur Masam Manis ni.. Lamanya tak berasap. Terharu rasanya bila dapat masuk dapur.. Terima kasih kepada rakan-rakan dan teman-teman yang masih sudi menjenguk dapur ita ni.. maaf ye kerana  tiada juadah istimewa yang dapat ita sajikan.

Kadang kala rasa bersalah pun ada bila teman-teman selak bawah tudung saji kosong aje kan..? Nak buat macam mana mood memasak tak datang lagi. Ita masih lagi mencari mood yang dah hilang entah ke mana..

Walau bagaimanapun, dikesempatan yang ada ini ita ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada semua teman-teman yang masih lagi tak putus-putus mengucapkan Selamat Ulang Tahun walaupun sebenarnya dah berapa hari tarikh keramat itu berlalu.. Terima kasih ye!


Tidak lupa juga ita ingin merakamkan ucapan tahniah buat rakan-rakan masak ita yang semakin hari semakin bersinar..
Ucapan tahniah yang pertama buat kak Ummi dari blog Home Sweet Home yang telah dilamar oleh Majalah SAJI untuk menghiasi sisipan bulan Julai. Tahniah ye kak!
Kak Ummi merupakan bloger masakan kesukaan ita selain dari beberapa rakan bloger yang lain. Ita sentiasa menanti resepi terbaru dari kak Ummi. Bila terdengar khabar angin yang kak Ummi ingin menghadkan masa berblog, ita rasa sangat sedih.. maklumlah dapur kak Ummi banyak membimbing ita bila di dapur. Ita berharap dengan kemunculan kak Ummi di kolum Bloger Saji, membuatkan kak Ummi semakin bersemangat untuk terus berblog dan berkongsi ilmu masakan untuk kita semua.


Ucapan tahniah yang kedua, ita tujukan buat rakan blog yang mempunyai talian 'bau-bau bacang' dengan ita. Beliau yang ita maksudkan tidak lain tidak bukan, pemilik Dapur CT. Rasanya belum terlewat untuk ita mengucapkan tahniah buat CT yang semakin hari semakin bersinar bakat dan kebolehannya. Sebenarnya itulah yang kita mahu lihat kan... Seronok bila dapat berita CT dilamar beberapa majalah untuk mengetengahkan resepi dan foto-foto menarik beliau untuk dimuatkan dalam majalah. Yang paling ita teruja bila CT turut dilamar oleh sebuah majalah Itali. Tak sabar ita nak dapatkan senaskah majalah tu.. tahniah sekali lagi ye CT!

Rasa-rasanya belum terlewat lagi untuk ita kalungkan ucapan tahniah buat si cantik manis pemilik Sky Blue's Kitchen kerana telah tampil istimewa di dalam majalah Foto Grafika bersama foto-foto menarik hasil karya beliau. Sebenarnya dah lama ita lihat bakat yang ada pada Diana ni, bukan sahaja orangnya cantik manis, malahan sangat berbakat dalam memasak dan merakam gambar. Semoga dengan penghargaan yang Diana terima ni, memberikan satu semangat buat Diana mencabar diri untuk lakukan yang lebih baik lagi di masa hadapan. Tahniah sekali lagi dari akak!


Satu lagi ucapan ita tujukan khas buat kak Illah JY yang baru sahaja menyambut ulang tahun perkhawinan. Tahniah ye kak, semoga rumah tangga yang dibina kekal bahagia hingga ke akhir hayat. Semoga bertambah rezeki dan sentiasa ceria bersama puteri-puteri kesayangan.

Sebenarnya ulang tahun perkhawinan ita pun jatuh pada bulan Jun jugak, tapi tahun ni ita sambut bersendirian kerana pada tarikh tu ita berada di Jabal Rahmah,  huhu sedih.. tapi nak buat macam mana tak de rezeki nak meraikannya bersama suami.

Ok lah jangan sedih-sedih sebab ita dah sediakan kek bersempena dengan ulang tahun ita. uhuhu.. sedih lagi sebab kena buat kek sendiri... uwaaa....
Sebenarnya mula-mula suami ita kata nak buatkan ita kek, entah macam mana keknya tak menjadi.. terpaksalah  ita buat sendiri..
Ita buat kek ni pada hari ulang tahun ita, tapi tak dapat nak masukkan dalam blog sebab line internet kat rumah ita masih lagi bermasalah. Macam biskut Chipsmore, kejap ada kejap tak de..
Ada masa ia buatkan ita mengurut dada menahan sabar.. ialah bila kita dah penat menaip tiba-tiba hilang pulak.. aduyaiii.. sabar je le..

Ok lah mesti ramai yang dah tak sabar nak buat kek kan? Jom lah kita mulakan..


Kek yang ita buat ni adalah kek Red Velvet. Tapi kali ni ita buat 3 layer. Jadi ita taklah namakan kek Red Velvet, sebaliknya ita tukar pada Rosset Velvet Cake haha memandai aje tukar-tukar nama kan..

Untuk resepi ni ita masih lagi menggunakan resepi dari Rima yang ita pernah kongsikan di SINI Tapi kali ni ita ada ubah sedikit resepi dan ita olah ikut kesesuaian selera ita dan keluarga. Harap Rima tak marahlah kan ita ubah suai resepi ni sikit.. tak banyak sikit aje.. dan ianya sedikit pun tidak menjejaskan rasa kek yang sedap ni.

Untuk membuat kek ni ita buat 2 adunan. Satu adunan ita bahagikan pada 2 bahagian. Satu ita letak pewarna pink dan satu bahagian lagi ita tak letak pewarna, ita biarkan ia plain sahaja. Jika tak mau  warna yang plain tu boleh lah buat warna pink sahaja. Jadi kek tu nanti hanya ada 2 warna sahaja iaitu merah dan pink.
Untuk satu adunan lagi ita letak pewarna merah. Jadi adunan merah ni lebih tebal. Ita bahagi pada 2 keping dan ita hanya gunakan 1 keping sahaja. Selebihnya ita buat mousse nanti ita tunjukkan ye!


ROSSET VELVET CAKE

PINK AND WHITE CAKE 

1 1/4 cawan tepung
1/2 sudu teh baking powder
1/2 sudu teh garam halus
1 sudu besar susu tepung
57 gm butter tanpa garam ~ jika guna butter bergaram jangan letak garam halus
3/4 cawan gula kastor
1 biji telur
1/2 sudu teh esen vanila
1/2 cawan buttermilk
1/2 sudu teh cuka masakan
1/2 sudu teh soda bikarbonat
Sedikit pewarna pink

Panaskan oven pada suhu 170 C ~ bergantung pada kepanasan oven
Sediakan 2 loyang berukuran 8 inc.
Sapukan butter pada loyang dan alas dasar loyang dengan baking paper
Ayakkan, tepung, baking powder, garam dan susu tepung. Ketepikan
Dengan menggunakan mixer, pukul butter dan gula hingga sebati dan bertukar warna keputihan
Tambahkan telur dan pukul hingga lembut .
Tambahkan esen vanila dan pukul hingga sekata.
Kemudian, menggunakan kaedah kaup baik dengan spatula sahaja,  kita masukkan tepung berselang seli dengan buttermilk. Mulakan dengan tepung dan akhiri dengan tepung juga ( tepung, buttermilk, tepung, buttermilk dan tepung)
(* kalau buat satu warna sahaja, masa ni kita dah boleh letakkan pewarna pink. Kemudian gaul rata.
Bila dah sekata ketepikan)
Dalam bekas kecil, kita satukan cuka masakan dengan soda bikarbonat. ~ masa buat kena cepat. Dengan kadar segera kita terus tuangkan dalam adunan tepung kita tadi dan gaul rata.
Kemudian kita bahagi 2, satu letak pewarna pink satu kita biarkan plain
Dengan kadar segera terus tuang dalam loyang dan terus bakar.
Bakar kedua-dua adunan kek dalam satu masa. ( maknanya kita bakar 2 loyang sekali)
Suhu membakar 170C bergantung pada kepanasan oven masing-masing. Ita hanya guna api bawah sahaja. Supaya permukaan atas kek tidak keras. Masa membakar 45 minit atau sehingga kek dibakar sempurna.
Bila kek dah masak, biarkan 10 minit kemudian baru terbalikkan atas redai



RED VELVET CAKE
By :  Rima

1 1/4 tepung
1/2 sudu teh baking powder
1/2 sudu teh garam halus
1 sudu besar serbuk koko
1 sudu besar pewarna merah
57 gm butter tanpa garam
3/4 cawan gula kastor
1 biji telur
1/2 sudu teh esen vanila
1/2 cawan buttermilk
1/2 sudu teh cuka masakan
1/2 sudu teh soda bikarbonat

Panaskan oven pada suhu 170 C ~ bergantung pada kepanasan oven
Sediakan loyang berukuran 8 inc
sapukan butter pada loyang dan lapik dasar loyang dengan baking paper
Ayakkan tepung, baking powder dan garam ~ ketepikan
Dalam bekas kecil, satukan serbuk koko dengan pewarna merah kacau rata.
Dengan menggunakan mixer, pukul butter dan gula hingga sebati dan bertukar warna keputihan
Tambahkan telur dan pukul hingga lembut .
Tambahkan esen vanila dan serbuk koko dan pukul hingga sekata.
Kemudian, menggunakan kaedah kaup baik dengan spatula sahaja,  kita masukkan tepung berselang seli dengan buttermilk. Mulakan dengan tepung dan akhiri dengan tepung juga ( tepung, buttermilk, tepung, buttermilk dan tepung)
Dalam bekas kecil, kita satukan cuka masakan dengan soda bikarbonat. ~ masa buat kena cepat. Dengan kadar segera kita terus tuangkan dalam adunan tepung kita tadi dan gaul rata.
Dengan kadar segera terus tuang dalam loyang dan terus bakar.
Bakar kek pada suhu 170C bergantung pada kepanasan oven masing-masing. Ita hanya guna api bawah sahaja. Supaya permukaan atas kek tidak keras. Masa membakar 45 minit atau sehingga kek dibakar sempurna.
Bila kek dah masak, biarkan 10 minit kemudian baru terbalikkan atas redai
Tunggu kek benar-benar sejuk barulah kita potong kepada 2 kepingan
Ita hanya guna 1 keping sahaja kek velvet merah.

Bila kek dah siap dipotong, kita sediakan pula strawberry filling


STRAWBERRY FILLING
2 sudu besar jam strawberry
1/4 cawan air
10 biji strawberry ~ dibelah potong

Panaskan jam strawberry bersama sedikit air
Bila dah didih tutup api,  masukkan hirisan strawberri dan biarkan hingga ia lembut
Kemudian sejukkan

CREAM CHEESE FROSTING

250 gm cream cheese ~ biarkan  ia lembut dahulu
100 gm butter tanpa garam
180 gm gula icing
2 cawan Non Dairy Whipping Cream
1 sudu teh pes lemon

Pukul cream cheese dan butter sehingga lembut dan bertukar warna keputihan
Perlahan mixer dan tambahkan gula sedikit demi sedikit dan terus memukul hingga adunan sebati
Kemudian tambahkan lemon paste
Dalam bekas berasingan, pukul Non Dairy Whipping Cream hingga gebu dan bertanduk
Satukan Whipping Cream ke dalam cream cheese dan gaul menggunakan kaedah kaup balik
Bila dah siap boleh lah kita layerkan pada kek.


CARA MELAPIS KEK

Potong kek Red Velvet kepada 2 kepingan ~ buangkan bahagian atas yang keras terlebih dahulu
Bungkan lapisan keras pada kek pink dan kek putih

Letakkan sekeping kek red velvet pada lapik kek
Sapukan atau spraykan permukaan kek dsengan sedikit jus lemon ( jus lemon + sedikit air)
Kemudian layerkan satu lapisan cream cheese
Susunkan buah strawberry yang telah sejuk sepenuhnya tadi ( hanya buahnya sahaja)
Letakkan pula kepingan kek bewarna pink
Buatlah kaedah yang sama hingga habis semua lapisan
Kemudian sapukan pula keseluruhan kek dengan cheese frosting
Simpan kek dalam peti ais hingga ia mengeras

Lebihan cream cheese kita letakkan dalam piping bag.
Ita guna nozel ukuran 1M
Kemudian hiaslah kek mengikut kreativiti masing-masing. 
























Jun 24, 2012

Terima Kasih....

Assalamualaikum


Apa khabar rakan-rakan yang ita hormati dan kasihi sekalian. Harap-harap semuanya sihat, ceria-ceria selalu dan sentiasa berada di dalam rahmat Allah SWT.
Alhamdulillah ita sihat, cuma mood memasak macam hilang sekejap di bawa terbang oleh debu-debu pasir di padang yang tandus..
Bila dah lama tak ke dapur, mulalah terasa malas. Bahan-bahan memasak pun banyak yang dah lapuk.. aiii.. macam lama sangat dapur tu tak berasap kan??
Tak pe lah kan.. bagi ita sedikit masa untuk ita kumpulkan kembali tenaga, semangat dan mood memasak.. esok lusa ok lah kot..


Terima kasih Duminah


Sebenarnya dah rindu sangat nak berblog semula, tapi bila balik internet pulak bermasalah, serta merta mood pun hilang. Aduyaiii… bilalah masalah internet di rumah ni nak selesai.
Siasat punya siasat, setelah berbincang dan mencari punca masalah baru lah tahu yang masalah berpunca dari kabel bawah tanah rumah ita ni. Tu lah masalahnya kalau semua wire di konsilkan dalam tembok batu, segala kerosakan dan kecuaian pihak kontraktor tidak dapat di kenalpasti. Jalan penyelesaian terpaksalah di buat semula talian baru. Nak buat pon mengambil masa.. tah bila lah kontraktor ni nak datang dan buat semula pendawaian kabel.. sabar aje lah kan..
 
Terima kasih Rifa Ib


Aik! Ita ni dah semakin kuat membebel kan? Semalam pun Dalili dah berbunyi, “amboiii, mak.. sejak balik umrah ni makin kuat berleter..” hihi bukan berleter lah.. tu tazkirah namanya.. haha sabarje le.. Dalili

Ok lah tak mau bebel banyak-banyak
Diam tak diam.. dah 41 tahun dah usia ita sekarang.. Haaaaa??? 41 tahun.. dah mula melangkah ke era kilauan emas.. Alhamdulillah, semoga semakin meningkat usia semakin mematangkan ita dan apa-apa juga tindakan atau keputusan yang akan ita buat.

Terima kasih Ryan Numeiry


Selalu ita terfikir dan menyoroti  kembali 42 tahun yang lampau. Apalah yang telah ita lakukan dalam diri ita. Apakah sumbangan ita pada keluarga, terutamanya pada suami, emak, ayah serta anak-anak tersayang..
Apakah layak ita berada di kelompok anak-anak soleha?
Apakah ita sesabar Nabi Ismail yang sentiasa sabar dan taat pada ayahnya Nabi Ibrahim serta patuh pada penciptaNya.
Apakah ita layak mendapat tempat di sana sebagai isteri soleha?
Seperti Siti Khadijah yang sentiasa berada disisi Rasulullah SAW, memberikan semangat dan sokongan.
Sangup mendaki Gua Hira yang tinggi semata-mata untuk menghantarkan bekalan buat suami tercinta.
Atau seperti Siti Hajar yang taat kepada suami walaupun terpaksa ditinggalkan di padang pasir yang kering dan tandus.
Atau layakkah ita menjadi ibu mithali buat ana-anak tersayang?
Sebagaimana Siti Hajar yang berlari antara Safar dan Marwah demi mencari seteguk air buat penghilang dahaga anak kesayangan.
Terima kasih Liza Haw


Berapa banyak pula amalan yang telah ita kumpul untuk di hisab di sana kelak?
Ya Allah, bila mengenangkan semua itu terasa takut pula nak mula melangkah kehadapan, terasa banyak sangat banyang-banyang yang mengikut dibelakang.
Kalau dapat ita putarkan kembali putaran masa yang beredar, mahu sahaja ita kembali dan memulakan kehidupan yang baru.
Terima Kasih Ita Izuan


Tapi itulah perancangan yang telah di atur. Semuanya telah berlalu dan tidak akan berulang semula. Apa yang pasti setiap yang berlaku ada kebaikan dan keburukannya, lebih mematangkan, semakin mendewasakan dan membuatkan kita semakin bijak berfikir. Sebagaimana Firman Allah SWT di dalam surah An-Nahl ayat 1:

"sesuatu yang telah ditentukan oleh Allah pasti akan datang, maka janganlah kalian meminta untuk disegerakan.."
Terima kasih Iza Iskandar


Betapapun hari demi hari akan terus berganti, tahun demi tahun akan terus berlalu, malam demi malam pula akan datang silih berganti.
Setiap tangisan akan berhujung dengan senyuman, ketakutan akan berakhir dengan keberanian, dan kegelisahan akan ada sinar kedamaian. Sesungguhnya setiap kesulitan itu akan tetap muncul kemudahan. Semoga hari-hari yang mendatang menjanjikan kedamaian dan kebahagian.
Terima kasih sarina Puteri Hamzah


Jutaaan terima kasih pada rakan-rakan yang sentiasa berikan ita sokongan, tidak kira ketika ita suka atau berada didalam kedukaan. Sesungguhnya persahabatan yang terjalin ibarat air sungai yang mengalir, tidak akan kering jika tidak sampai musim kemaraunya.

Terima kasih atas ucapan Hari lahir yang tidak putus-putus ita terima seawal pagi hari. Maaf andai ada yang ita tak sempat lagi membalasnya atau mungkin ada yang ita terlepas pandang. Terima kasih juga buat rakan-rakan yang layangkan kat ucapan, juga yang mengalunkan halua telinga ita dengan dendangan lagu Ulang Tahun, semuanya cukup bermakna buat ita. Semoga doa-doa yang dipanjatkan akan dimakbulkan oleh yang Maha Esa. Hanya pada Nya jua ita memohon agar kalian juga sentiasa berada dalam rahmat Allah dan dibawah lindunganNya.

Terima kasih Azrinna Basri

Terima kasih Ainul Fitri
Terima kasih Noorazniah Mamat
Terima kasih Norhayati salleh
Terima kasih Yasemin

Jun 22, 2012

Pengalaman yang tidak dapat dilupakan...



Gua Hira


Gua Hira  ialah sebuah gua tempat di mana Nabi Muhammad s.a.w. menerima wahyu yang pertama dari Allah melalui Malaikat Jibril. Gua Hira adalah tempat Nabi Muhammad SAW selalu menyendiri dan bermunajat selain bertahannuth dan bertaqarrub kepada Allah SWT. Baginda juga selalu ke situ bagi menghindari masyarakat Arab Jahiliyah yang pada saat itu masih belum beriman kepada Allah dan sering melakukan maksiat dan dosa-dosa besar.

Gua Hira terletak di Makkah, Arab Saudi. Gua kecil ini letaknya di puncak Gunung Jabal Nur, di bahagian Utara Mekah, kira-kira 5 kilometer dari Masjidil Haram. Tinggi puncak jabal Nur sekitar 200 meter. Struktur umum Gua Hira adalah berukuran 4 m panjang dan 1.75 m untuk lebarnya. Di sekitarnya terdapat sejumlah gunung, bukit batu dan jurang. Gua Hira letaknya pada tebing menanjak yang agak curam walaupun Bukit Nur atau Jabal al-Nur tidaklah terlalu tinggi. Namun begitu, pendakian menuju ke Gua Hira melalui jalan lereng-lereng Bukit Nur yang kering dan berbatu, setiap orang haruslah memiliki kekuatan fizikal dan mental yang kuat.

Nabi dan rasul terakhir yang diutuskan oleh allah SWT ialah Nabi Muhammad SAW. Pada ketika itu  usia baginda 40 tahun. Rasulullah SAW menyampaikan perintah Allah SWT kepada kaumnya selama 22 tahun 2 bulan dan 22 hari. Nabi Muhammad SAW dilahirkan di Mekah.  Datuknya, Abdul Muttalib menamainya Al Amin ( yang terpuji). Ketika lahir Nabi Muhammad telah menjadi yatim. Pada usianya hampir 40 tahun, beliau sangat suka mengasingkan dirinya berbekalkan roti dan pergi ke Gua Hira di Jabal Nur.  Baginda ke Gua Hira untuk beribadah dan memikirkan keagungan pencipta alam ini.

Nabi Muhammad SAW mengasingkan diri di gua Hira kerana baginda ingin menghindarkan diri daripada kehidupan masyarakat Arab Jahiliyah yang sesat. Nabi Muhammad pernah bermimpi supaya mendekatkan diri dengan Allah SWT.


"Dan dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung, lalu dia memberikan petunjuk." 
~ Surah Ad Dhuha ayat 7

Nabi Muhammad SAW sentiasa berulang alik dari rumahnya ke Gua Hira seorang diri. Isteri tercinta, Siti Khadijah sering menghantar makanan untuk Rasulullah di Gua Hira. Satu peristiwa penting yang berlaku menjelang 17 Ramadhan 610 Masihi, malaikat Jibrail datang menyampaikan wahyu pertama kepada Rasulullah SAW iaitu surah Al-Alaq ayat 1-5


"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Menciptakan. Dia Telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam. Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya."
~Surah Al-Alaqayat 1-5

Setelah Rasulullah saw mengalami keadaan yang mengerunkan di Gua Hira, Rasulullah saw bergegas balik ke rumahnya dan isterinya Siti Khadijah menenangkannya. Selepas itu dia membawa Rasulullah SAW bertemu dengan Waraqah Bin Naufal, seorang pendeta Nasrani. Setelah diceritakan peristiwa tersebut kepadanya, tahulah Waraqah bahawa itu merupakan tanda bahawa Rasulullah SAW telah dipilih oleh Allah SWT sebagai seorang Nabi dan Rasul bagi menyampaikan agama Islam kepada seluruh manusia dan jin.

Pengalaman ita mendaki Gua Hira adalah satu pengalaman yang tak mungkin dapat ita lupakan. Pada mulanya ita hampir-hampir melupakan niat untuk mendaki ke gua Hira. Sebenarnya ita cukup takut atau gayat pada kedudukan yang tinggi, dan ita tidak pernah mendaki gunung.  Sehari sebelum itu mutawif telah menunjukkan Gua Hira dan menyatakan bahawa kita akan mendakinya keesokkan hari. Memandangkan Gua Hira yang terlalu tinggi kedudukannya di atas Jabar Nur, ita hampir melupakan niat untuk mengikuti rombongan jemaah. Tapi bila rakan sebilik, yang berusia 60 tahun beria-ia mengajak, ita terasa tercabar pula. Malam itu ita tidak dapat melelapkan mata, Ita terus ke Baitullah dan menunaikan solat hajat, ita berdoa  dan memohon kepada Allah SWT supaya memberikan ita kekuatan, semangat, kecekalan dan kesabaran untuk mendaki ke Gua Hira.
Berbekal semangat ingin melihat Gua Hira di mana Nabi SAW menerima wahyu yang pertama, ita mulakan perjalanan hari itu dengan lafaz Bismillah. Sampai di kaki Jabal Nur, jantung ita telah berdegup kencang, ya Allah boleh ke ita daki gunung ini?


Ita cuba menghilangkan perasaan takut dengan merakamkan gambar, tapi hanya Allah sahaja yang tahu perasaan ita waktu itu. Mendaki gua Hira memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang kuat. Stamina juga kena kuat dan sentiasa berfikiran positif. Mulut ita sentiasa kumat kamit berzikir sepanjang melangkah meniti anak-anak tangga yang curam. 


Kami mula mendaki kira-kira pukul 6 petang. Pada waktu ini ramai juga orang Arab dan lain-lain bangsa yang mendaki. Kekuatan tenaga mereka memang tidak dapat ditandingi. Sepanjang pendakian beberapa kali ita berhenti, kaki sudah mula terasa longlai. Dengan memakai jubah memang agak sukar untuk mendaki.  Mutawif pula sentiasa memberikan kata-kata semangat, membuatkan ita terus mendaki. 


Sampai di pertengahan, tiba-tiba terdengar laungan Azan Magrib, ya Allah sayunya hati ini terasa. Subahanallah tak dapat ita ungkapkan perasaan ita waktu itu bila ita mendengar laungan Azan yang serentak dari seluruh masjid yang berada di Mekah. ya Allah besarnya keagungan mu.. Syukuralhamdulillah kerana Dia memberikan ita merasai dan menikmati moment-moment indah  itu di balik mega petang yang menyelubungi langit petang, sungguh mengasyikkan sekali suasana dan pemandangan ketika itu.


Selepas azan, ita teruskan pendakian semula. Cuaca sudah mula gelap. Dalam kesamaran ita cuba memanjat anak tangga dengan penuh berhati-hati supaya tidak tersalah langkah. Kalau tersalah langkah sudah pasti malang yang menimpa.


Alhamdulillah, walaupun seribu kepayahan akhirnya ita berjaya juga sampai ke atas Jabal Nur, ketika azan insyak berkumandang.  Walaupun agak lewat dari rakan-rakan jemaah yang lain namun ita bersyukur kerana ita dapat juga menjejakkan kaki dan dapat melihat Gua Hira ( walau dalam kesamaran lampu torchlight)  di mana wahyu pertama di terima oleh junjungan kita Rasulullah SAW. 

Walaupun telah sampai ke puncak Jabal Nur, tetapi untuk sampai ke gua Hira, kita kena turun pula di tepi tebing kerana Gua Hira terletak di tepi tebing Jabal Nur. Para jemaah pula perlu jalan mengiring untuk masuk ke gua Hira yang hanya selebar 2 jengkal. Di dalam gua pula sangat gelap dan hanya dapat memuatkan 4 orang dalam satu masa. Memandangkan hari yang sudah gelap, kami tidak dibenarkan masuk. Kami hanya dapat melakukan sujud syukur dan berdoa.

inilah rakan-rakan yang telah memberikan ita semangat ketika

Kini tibalah masanya ita terpaksa pula menempuh saat yang agak sukar. Jika mendaki Jabal Nur perlukan stamina dan tenaga, untuk menuruni bukit dalam cahaya malam yang gelap gelita juga merupakan satu cabaran yang hebat bagi ita. Hampir ita nak meraung, kerana terlalu takut.  Mujur, ada teman-teman yang banyak membantu. Kaki ita sudah mengigil kerana terlalu takut. Mungkin ita terlalu gayat dan terlalu mengikut perasaan takut.

Mutawif, menyuruh ita berehat dan menenagkan hati. Pada tika itulah ita melihat satu keajiban. Pada waktu itu ita lihat banyak sangat kucing. Ita tak pasti jemaah lain nampak atau tidak. Tiba-tiba ada seakor anak kucing datang kepada ita, yang waktu itu berehat untuk menenagkan fikiran. Kucing itu baring di sisi ita dan minta di belai. Ita membelai belakang anak kucing itu. Bila melihat mutawif meneguk air, kucing itu terus melompat ke arah mutawif. Ita dapat merasakan yang anak kucing itu kehausan, malangnya air ita telah kehabisan. Ita meminta mutawif memberikan sedikit airnya kepada anak kucing itu. Dengan hanya meletakkan air di dalam tutup botol habis air itu diminum, sehingga tiga kali air di isi. Selepas hilang dahaga anak kucing itu terus hilang dalam kepekatan malam.

Ita pun mulakan semula perjalanan ita menuruni bukit. Alhamdulillah akhirnya ita sampai juga ke kaki jabal Nur dengan penuh rasa kesyukuran. Ita memohon maaf kepada semua jemaah kerana lama menunggu ita.  

Sepanjang perjalanan pulang ke hotel, hati ita tidak putus mengucapkan syukur. Tapi ita terasa yang mungkin ita akan demam atau sakit kaki keesokkan harinya.

Malam itu ita tidur dengan lenyak. Seawal pulul 2 pagi ita telah terjaga. Berkat berada di tanah suci, alhamdulillah ita sihat pagi tu, dan kaki ita juga tidak terasa sakit, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Ita terus bangun mandi dan bertolak ke Masjidil Haram untuk melakukan solat dan bersujud syukur. 

Sampai hari ini, ita masih lagi tidak percaya yang ita telah dapat mendaki Jabal Nur dan dapat melihat gua Hira di hadapan mata..
Shukur kehadratmu ya Allah.. kerana mengabulkan doa hambamu..





Melaksanakan Rukun Umrah

Rukun Umrah

Niat
Maksudnya :
" sahaja aku mengerjakan Umrah dan ihram aku dengannya kerana Allah taala"

Bagi jemaah wanita yang tidak sihat atau ditakuti kedatangan haid semasa didalam ihram adalah di nasihatkan berniat secara taklik

Maksudnya :
" sahaja aku mengerjakan Umrah dan Ihram aku dengannya dan sekiranya aku datang haid atau lain-lain sebab maka halallah aku dengannya.

Maka sekiranya dia kedatangan haid, dia akan menjadi halal dengan sendirinya tanpa perlu bertahalul ( membayar dam dengan menyembelih seakor kambing)

Tawaf
Bermaksud mengelilingi Kaabah kerana bertujuan beribadah berserta dengan syarat-syarat yang berikut:
  • suci daripada hadas besar dan kecil
  • Suci daripada najis pada badan, pakaian dan tempat. Bagi ibu bapa yang membawa anak-anak yang masih kecil atau belum berakal, hendaklah memastikan kebersihan mereka. Anak lelaki yang belum berkhatan dendaklah di bersihkan kemaluannya atau lebih afdal jika mereka dikhatankan terlebih dahulu.
  • Menutup aurat seperti di dalam solat bagi wanita. bagi lelaki hendaklah memakai ihram.
  • Menjadikan kiblat di sebelah kiri. Tidak boleh mengadap atau membelakangkan kiblat. Sekiranya tertolak atau terubah kedudukan, maka pusingan itu di anggap batal dan di gantikan dengan pusingan selanjutnya.
  • Hendaklah dilakukan di dalam masjid dan di luar Kaabah, diluar Hijir Ismail dan di luar sazarwan ( bingkai Kaabah)
  • lakukan sebanyak 7 pusingan dengan yakin dan sempurna.
  • Sentiasa berniat serta berqasad tawaf dan bukan disebabkan perkara lain. bagi mereka yang menolak kereta sorong, atau membawa orang lain, dinasihatkan supaya menyempurnakan tawafnya terlebih dahulu kerana ditakuti niatnya akan terpesong.

Saie antara Bukit Safar dan Bukit Marwah

Saie bermaksud berjalan berulang alik di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah.
Allah SWT berfirman di dalam KitabNya:
Sesungguhnya Safa dan Marwah itu ialah sebahagian daripada syi‘ar (lambang agama) Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat haji ke BaituLlah atau mengerjakan umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersa‘i (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya; dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah Maha Mensyukuri (memberi balasan pahala, memaafkan kesalahan, menambah nikmat, dan sebagainya), lagi Maha Mengetahui.
~ Surah Al-Baqarah 2:158
Di dalam ayat di atas, Allah SWT meletakkan Bukit Safar dan Bukit al-Marwah sebagai syi‘ar-syi‘arNya dan menjamin tiada dosa bagi mereka yang mengerjakan saie iaitu berlari-lari anak di antara keduanya.

Sae antara Safar dan Marwah ~ gambar dari google

Perkara ini sinonim dengan peristiwa ketika Siti Hajar berlari-lari di antara kedua bukit tersebut bagi mencari air untuk anaknya, Nabi Ismail. Ketika Siti Hajar dan Nabi Ismail yang masih kecil ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim bagi menyahut seruan da‘wah, bekalan air yang disimpan oleh Siti Hajar kehabisan. Maka, berlari-larilah Siti Hajar di antara dua bukit tersebut bagi mencari minuman buat anaknya yang menangis akibat terlalu dahaga di tengah-tengah padang pasir yang tandus.
Setelah tujuh kali berlari di antara kedua bukit tersebut, tiba-tiba air terpancar dari tanah tempat di mana Nabi Ismail menangis. Inilah pemberian Allah SWT kepada Siti Hajar dan Nabi Ismail yang sehingga hari ini masih mengalir walaupun diminum dan digunakan oleh berjuta-juta jemaah haji saban tahun.

Syarat-syarat melakukan saie :
  • Dilakukan setelah selesai tawaf
  • Bermula di bukit Safa dan berakhir di bukit marwah
  • Di lakukan sebanyak 7 kali dengan yakin dan sempurna
  • Bersaie di tempat yang ditetapkan iaitu di Batnul Wadi
  • Berniat sae semata-mata
Perkara-perkara yang disunatkan pada saie ialah:
  • Berniat
  • Berwuduk
  • Berzikir dan berdoa
  • Berjalan kaki
  • Berlari-lari anak antara 2 lampu hijau
  • Berturut-turut
Tahalul

Setelah selesai Saie, wajiblah bertahalul bercukur atau mengunting rambut bagi wanita. Bagi kaum lelaki adalah lebih afdhal membotakkan kepalanya. Bagi kaum wanita pula memadai hanya menggunting beberapa helai sahaja daripada rambutnya. Bagi mereka yang tidak mempunyai rambut, disunatkan melalukan pisau cukur di atas kepalanya. Setelah selesai bertahalul, maka dihalalkan segala yang diharamkan di dalam ihram.

Selepas beberapa hari berada di Mekah, kami dibawa menziarahi beberapa tempat yang bersejarah di Kota Mekah.


Gua Thur

Jabal Thur, Gunung Banteng atau Gunung Lembu Jantan adalah nama bagi sebuah gunung di Arab Saudi, terletak di tanah rendah Makkah yang menjulur ke selatan daerah Misfalah. Gunung ini juga terletak kira-kira 4 km kesebelah selatan Masjidil Haram. Tinggi gunung dari aras laut adalah 748 meter, manakala dari aras bumi iaitu 458 meter.
Pintu timur Gua Thur atau Ghar al-Thawr tingginya 1.25 meter, manakala lebar pintu guanya adalah 3.5 m X 3.5 m. Gua tersebut memiliki 2 pintu iaitu disebelah barat dan sebelah timur. Pintu disebelah baratlah yang digunakan Nabi Muhammad dan Saidina Abu Bakar untuk masuk. Pintu gua barat tingginya hanya 1 meter sekaligus lebih kecil dari pintu timur. Pintu timur hanya baru dikorek bagi membolehkan pelawat masuk dan melihat keadaan gua. Pendaki atau pelawat yang berhasrat masuk ke gua thur harus mendaki sampai ke pintu gua, dakian memakan masa 1 jam setengah hingga 2 jam bergantung kepada kekuatan stamina.

Gua Thur banyak menyimpan sejarah pahit getir Rasullullah dalam menyebarkan dakwah Islamiah ke seluruh umat manusia. Dalam kisah Hijrah Rasulullah dari kota Makkah ke kota Madinah. Rasulullah telah diperitahkan oleh Allah SWT untuk berhijrah pada malam hari, umat Islam pada waktu itu telah berbondong-bondong meninggalkan Makkah dan pergi berhijrah ke Madinah lebih awal, Rasulullah dan Saidina Abu Bakar pula menyusul kemudian.

Di gua inilah Rasulullah SAW bersama Saidina Abu Bakar bersembunyi beberapa hari untuk mengelakkan diri daripada tindakan orang-orang Quraisy semasa hendak berhijrah ke Madinah.
Pada malam itu, Baginda menyuruh Ali tidur di katil Baginda. Sebelum keluar, Baginda membacakan 
ayat daripada surah Yasin lalu meniupkan ke arah orang yang mengepung rumah Baginda. Dengan 
kuasa Allah, mereka semua tertidur dengan nyenyaknya. Tujuan mereka semua mengawal di perkarangan rumah Nabi adalah untuk memastikan mereka dapat membunuh Nabi apabila Nabi keluar menunaikan Solat Subuh.
 
Baginda terus ke rumah Abu Bakar. Abu Bakar sangat gembira kerana terpilih menemani Baginda 
untuk berhijrah. Mereka berdua bergerak ke Gua Tsur.  Hal ini sesuai dengan firman Allah dalam 
Surah An‐Nisa’ ayat 100: Maksudnya:  
 
“Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia 
akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur” 
 

Nabi Muhammad s.a.w dan Abu Bakar sangat berani. Sungguhpun kaum Quraisy menghalang 
mereka untuk berhijrah dengan pelbagai cara, mereka tetap yakin.

Bersama-sama dengan Abu Bakar baginda bertolak ke arah selatan menuju ke Gua Thur. Sesampai ke pintu gua, Saidina Abu Bakar akan memasuki dahulu pintu gua, beliau akan memastikan tiada kelibat ular, kalajengking, dan lain-lain binatang atau duri bahaya didalam gua. Sesudah dipastikan tiada binatang dan anasir bahaya, barulah Nabi memasuki gua. Dalam perjalanan malam itu, mereka berdua juga ditemani oleh Abdullah bin Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar). Pada waktu siang hari keesokannya, Abdullah telah meninggalkan mereka dan kembali ke Makkah untuk melihat keadaan di kota Makkah serta mengkhabarkan berita dari Makkah kepada Nabi.

Pada malam seterusnya Nabi Muhammad dan Saidina Abu Bakar telah tidur dalam gua, Nabi telah membaringkan kepalanya diatas peha Saidina Abu Bakar. Saidina Abu Bakar membiarkan Nabi tidur diatas peha tidak meggerakkan kakinya sedikitpun kerana beliau tidak mahu mengganggu Nabi tidur. Tiba-tiba tapak kaki Saidina Abu Bakar yang dikujurkan itu telah dipatuk oleh ular berbisa. Dalam menahan kesakitan dan kepedihan yang amat atas patukan Saidina Abu Bakar telah menitiskan air matanya, airmatanya telah menitis jatuh ke pipi Rasulullah, lalu membuatkan Rasulullah terjaga dari tidur. Melihat Saidina Abu Bakar menangis, Rasulullah terus bertanya :
“ Mengapa engkau menangis wahai Abu Bakar?”.
Abu Bakar lantas menjawab,
“ Wahai Rasulullah, aku dipatuk ular”.

 Mendengar jawapan itu, Rasululah terus meludahi kesan patukan dan mengusapnya, maka secara langsung kesan patukan hilang serta-merta dan tiada lagi rasa sakit. Kerana mukjizat Rasul suci itu mereka berdua bersyukur atas rahmat Allah. 

Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun 
menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) 
sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua”. 

~ Surah At‐Taubah ayat 40

Pada satu ketika, beberapa orang kafir Quraisy yang mencari Nabi sampai di tepi pintu Gua Tsur. Abu 
Bakar sangat bimbang lalu berkata:
“Wahai Rasulullah, sekiranya mereka masuk ke dalam gua ini,  pasti  kita  akan  dilihat  oleh  mereka”. 
Allah  melindungi  Nabi  Muhammad  dan  Abu  Bakar  lalu  berfirman: 

"Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita".
 Maka Allah menurunkansemangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan 
tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. 
 

Surah At‐Taubah ayat 40 
 
Dengan kuasa Allah, labah‐labah dan merpati membuat sarang di depan Gua Thur, menunjukkan 
bahawa gua itu tidak dimasuki oleh sesuatupun sejak sekian lama.

Nabi Muhammad s.a.w dan Abu Bakar berada dalam Gua Tsur selama 3 hari. Asma dan Aishah, 2 orang puteri Abu Bakar  ditugaskan menghantar makanan setiap hari.

Selain itu terdapat juga beberapa orang yang bertanggungjawab untuk membantu Nabi dan Saidina Abu Bakar sepanjang mereka berdua menyorok di dalam gua. Iaitu:
  • Abdullah bin Abu Bakar (anak lelaki Saidina Abu Bakar) - bertanggungjawab memberi khabar dan berita terkini dari kota Makkah.
  • Abdullah ibn Ariqath - bertanggungjawab untuk berpura-pura mengembala dua ekor kambing di sekitar Jabal Thur, perahan susu kambing dijadikan minuman kepada Nabi Muhammad SAW dan Saidina Abu Bakar.
  • Amir bin Fuhairah - bertanggungjawab menjadi juru pandu bagi Rasulullah dan Saidina Abu Bakar sepanjang perjalanan ke Madinah. Juga membantu Abdullah ibn Ariqath mengembala kambing serta bertanggungjawab menghapuskan jejak kaki Rasulullah dan Saidina Abu Bakar sepanjang perjalanan ke Madinah.




Sungguhpun kaum Quraisy merancang 
untuk membunuh Nabi, Allah mempunyai perancangan yang tersendiri. Firman Allah dalam surah Al‐
Anfal ayat 30: 

“Dan ingatlah (Wahai Muhammad), ketika orang‐orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu 
daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan 
tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik‐baik yang menggagalkan 
tipu daya”.  



Jabal Rahmah

Tidak lengkap rasanya ziarah ke Tanah Suci Mekah, jika tidak singgah di Jabal Rahmah, bukit yang letaknya di sekitar Padang Arafah. Di Jabal Rahmah inilah diriwayatkan sebagai tempat bertemunya Nabi Adam dan Hawa setelah berpisah 400 tahun dikeluarkan dari syurga dan di campakkan ke bumi. Sehingga kini, bukit ini masih utuh dan tersergam dengan sebuah tugu monumen di puncaknya. Banyak jemaah yang naik ke bukit ini untuk melawat atau berdoa di situ.

Jabal Rahmah terletak 25 km di tenggara kota Makkah, ianya termasuk dalam wilayah Arafah. Di puncak Jabal Rahmah ada sebuah tugu yang menandakan titik atau tempat pertemuan itu. Tinggi tugu tersebut lebih kurang 8-10 meter. Untuk sampai ke tempat itu atau tugu itu, jaraknya hanya 150 meter dari kaki bukit. Masa yang diperlukan untuk sampai ke puncak itu adalah diantara 15-20 minit untuk mendakinya.



Nabi Adam a.s adalah manusia dan  Nabi pertama diciptakan oleh Allah SWT .Beliau
ditempatkan  disyurga bersama pasangannya Hawa. Malangnya, Nabi Adam dan Hawa
termakan dengan pujuk rayu syaitan. Mereka telah memakan sejenis buah dari pepohon yang
dilarang Allah SWT.

Nabi Adam dan Hawa  amat menyesal dengan tindakan mereka kerana mengingkari
larangan Allah SWT itu. Berdoalah Nabi Adam dengan rasa penuh penyesalan memohon
keampunan Allah SWT (surah al-a’rof ayat 23):
Keduanya berkata:
"Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika
Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami
termasuk orang-orang yang rugi".

Maha pengasih Allah SWT mengampunkan Nabi Adam dan Hawa.

Dikatakan Nabi Adam a.s diturunkan di India dan Hawa pula di turunkan di Jeddah. Nama tempat Jeddah membawa maksud “datuk perempuan” ia merujuk kepada Hawa. Hawa ialah datuk perempuan iaitu (nenek) kita yang di turunkan di Jeddah. Dari peristiwa inilah Jeddah mendapat namanya.
Jabal Rahmah merupakan satu-satunya bukit yang ada di Arafah. Jabal membawa erti “bukit” manakala Rahmah memberikan maksud “kasih sayang”. Jika di gabungkan menjadi Bukit Kasih Sayang.

Arafah pula membawakan satu istilah bermaksud “mengenal”. Ia sering menjadi sebutan dengan nama panggilan Arafah kerana di sinilah berlakunya sebuah peristiwa dalam sejarah islam detik pertemuan dan perkenalan Nabi Adam a.s dan Hawa setelah mereka diturunkan ke bumi dari syurga.
Arafah

Walaupun Umrah tidak memerlukan kita melalui proses Wukuf di Arafah, tetapi para jemaah Umrah tetap di bawa melawat ke Padang Arafah sebagai mengenali lokasi ini jika suatu hari nanti kita akan melakukan Ibadah Haji.

Arafah merupakan salah satu lokasi di luar batas tanah suci, yang terletak di sebelah tenggara Masjidil Haram dengan jarak 22km. Luas padang Arafah sekitar 10.4 km persegi.
Arafah atau apa yang lebih dikenali sebagai Padang Arafah adalah tempat perhimpunan semua jemaah haji pada 9 Zulhijah setiap tahun. Mereka melaksanakan solat, menghabiskan waktu dengan beribadah, berdoa, membaca Quran, berzikir, tazkirah dan sebagainya. Perbuatan tersebut di kenali sebagai wuquf iaitu salah satu daripada rukun Haji. Jika seseorang jemaah haji tidak melakukan wukuf di Arafah maka hajinya tidak sah.
Dinamakan Arafah kerana Nabi Adam AS dan Hawa bertemu dan saling kenal mengenali (ta’aruf) buat pertama kalinya di sini.
Ada pendapat lain pula mengatakan Malaikat Jibril AS mengajar Nabi Ibrahim AS tentang ibadah haji. 

Sesudah itu Jibril AS bertanya : 
”‘Arafta?” (Kamu sudah tahu?)  

Lalu Nabi Ibrahim AS menjawab :
 “Arraftu” (Aku sudah tahu). 

Maka dinamakan tempat itu Arafah.
Manakala menurut Ibnu Abbas RA, dinamakan Arafah kerana manusia mengetahui dan mengakui dosa dan kesalahannya.

Amalan wukuf di Padang Arafah ini adalah satu perhimpunan besar manusia di padang dengan bahang terik mentari. Perhimpunan ini melambangkan perhimpunan besar yang bakal dihadapi oleh semua umat manusia, untuk menunggu dihisab di padang Mahsyar kelak.
gambar kiri di atas bukit terdapat batu yang berlubang, disitulah  dikatakan tempat di mana Nabi Ibrahim AS menyembelih anaknya Nabi Ismail AS apabila mendapat wahyu dari Allah, kemudian ianya telah ditukarkan dengan seakor kibas.

Ketika Nabi Ibrahim ketiadaan anak, baginda berdoa kepada Allah SWT dengan penuh pengharapan:
Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku (anak) yang termasuk dari orang-orang yang soleh!
~ Surah Al-Saffat 37:100

Maka, Allah SWT mengurniakan baginda seorang putera dengan lahirnya Nabi Ismail:
Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan dengan (kelahiran) seorang anak yang penyabar (Nabi Ismail).
~ Surah Al-Saffat 37:101

Namun kegembiraan Nabi Ibrahim tidak lama akibat seruan da‘wah oleh Allah SWT kepada baginda. Lalu baginda meninggalkan isteri dan putera baginda yang masih kecil di tengah-tengah padang yang tandus bersama-sama doa baginda.
Setelah beberapa tahun kemudian, pulang Nabi Ibrahim ke pangkuan keluarganya, tetapi sekali lagi Allah SWT menguji baginda seperti mana firmanNya:
Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, (Nabi Ibrahim) berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?” (Anaknya) menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu; dengan izin Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.
Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan dia (Nabi Ibrahim) merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah kami),
Serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim!
Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi itu.” Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
~ Surah Al-Saffat 37:105

Ujian ini terlalu berat bagi Nabi Ibrahim yang merupakan bapa kandung Nabi Ismail di samping masa yang begitu singkat bagi baginda sebelum mengenali puteranya yang ditinggal sekian lama. Allah SWT berfirman:
Sesungguhnya (perintah) ini adalah satu ujian yang nyata.
~ Surah Al-Saffat 37:106

Ketika hendak menyembelih Nabi Ismail, Nabi Ibrahim mula sedar bahawanya puteranya itu kurniaan Allah SWT atas permintaan baginda sendiri, maka baginda tiada hak jika Allah SWT sendiri menginginkan kembali nyawa Nabi Ismail yang dikurniakanNya. Saat Nabi Ibrahim menyembelih puteranya, Allah SWT menggantikan Nabi Ismail dengan seekor qibas. FirmanNya:
Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan (kibas) yang besar.
~ Surah Al-Saffat 37:107

Inilah rupa Kibas, ia seakan kambing kampung, tetapi berbulu tebal. Mempunyai ekor yang lebar.
Muzdalifah

Muzdalifah adalah suatu kawasan dari kawasan yang terletak di antara Mina dan Arafah di Arab Saudi. Kawasan ini merupakan sebahagian dari Tanah Haram (Masyair Haram). Umat Islam yang menunaikan ibadah Haji pada bulan Zulhijjah adalah diminta untuk berada di Muzdalifah sekurang-kurangnya dari waktu terbit fajar hari Nahr, tanggal 10 Zulhijjah (menurut ulama Syafi`iah (Syafie) dan Hanabilah boleh dari setengah akhir malam pada hari Nahr) sampai waktu terbit matahari hari Nahr.


Jemaah haji akan berhenti disini sambil mengutip 7 biji batu untuk melontar Jumrah Aqabah, kemudian mereka akan bertolak ke Mina.

Para jemaah kemudian melakukan lontaran batu peringkat pertama sebagai lambang membaling batu ke arah syaitan dan sebahagiannya mengorbankan seekor haiwan untuk disembelih.

Dalam tempoh tinggal tiga hari lagi sebelum musim haji berakhir, para jemaah meneruskan lontaran batu ke tugu batu yang melambangkan kedudukan syaitan.

Pada tahun ini, perkhidmatan kereta api akan membawa jemaah antara Mina dan Padang Arafah melalui Muzdalifah.
Inilah landasan keretapi laju yang akan membawa jemaah haji tahun ini antara Mina dan Padang Arafah. Di katakan ianya adalah rekaan daripada arketek Malaysia.
Rujukan :
http://ms.wikipedia.org/wiki/Jabal_Thawr
http://darahmerdeka.wordpress.com/2009/11/26/haji-yang-terkorban/



 

AzlitaMasamManis. Powered by Blogger.