iklan

iklan floral cake

iklan ada

Wednesday, March 28, 2012

UDANG GORENG BUTTER BEREMPAH

Assalamualaikum


Selamat pagi dan salam satu Malaysia buat semua pengunjung yang sentiasa setia menemani Masam Manis.
Macam mana hari ni? semua sihat? Alhamdulillah...
Semoga kita diberikan kesihatan yang baik dan dilapangkan akal serta fikiran.. dapat menjalani kehidupan dengan ceria, penuh dengan ketenangan dan diwarnai dengan kebahagiaan..


Semua dah sarapan pagi ni? sarapan apa ye.. yang berat atau yang ringan.. Atau ada yang masih lagi dalam program diet..
Jangan cam tu... walaupun berdiet tapi sarapan pagi adalah satu yang amat penting. Kita kena dapatkan sumber tenaga pada awal pagi supaya segala aktiviti kita dapat berjalan dengan lancar..
Kalau perut kosong sudah pasti otak kita pun tidak dapat berfikir dengan baik.. Amalkan gaya hidup sihat untuk menjana kehidupan yang lebih harmoni dan bahagia..
Alamak.. dah macam pakar motivasi pulak! hihi


Cuaca di JB sekarang ni tak menentu. Pagi panas.. petang pulak hujan.. bila petang panas pagi pulak hujan. Kadang kala kalau panas terik yang amat sangat sampai sakit kepala dibuatnya.. dan bila hujan pula selebat-lebat tidak..

Faktor cahaya lah yang selalu menganggu proses untuk mengambil gambar bagi tukang gambar yang tak pro macam ita ni.. Lagi pulak ita bergantung sepenuhnya pada cahaya matahari. Kalau dah hujan lebat dan cahaya pun tak de.. terpaksalah kuburkan sahaja hasrat untuk ambil gambar.. Tapi jika masih ada kesamaran cahaya yang muncul dicelah jendela.. dapatlah ita cari sedikit ruang untuk mengambil gambar..


Dan inilah hasil gambar yang kebiasannya ita ambil jika hari hujan dan cahaya kurang. Kadang kala kalau ita ambil gambar waktu dah lewat petang, beginilah juga hasilnya..

Sebab itulah sebagai photographer kita kena bijak mencuri idea dan kreativiti. Walaupun kurang cahaya kita kena cari alternatif lain untuk dapatkan hasil yang kita inginkan..


Ramai juga yang bertanya macam mana ita ambil gambar yang terang,  putih dan ada masa bokeh di belakang dan objek di belakang terlalu kabur..

Untuk dapatkan gambar yang macam tu perlukan cahaya yang banyak. Ita kena tunggu hari betul-betul panas dan terang baru ita dapat tangkap gambar yang macam tu.. kalau tak warna putih tu tak putih betul dan kadang kala kebiru-biruan..

Sekarang tak boleh dapat gambar macam tu, sebab hari-hari hujan. Nanti kalau ita dapat cahaya yang ok ita akan tunjukkan caranya bagaimana ita ambil gambar tu..
Senang aje.. sebenarnya kalau tgk mesti tak caya tapi tu lah.. kita tunggu mentari muncul ye..


Berbalik semula pada resepi yang nak dikongsikan hari ni. 
Lewat sikit ita bersiaran pagi ni, komputer ita buat hal lah pulak! Nak godeh-godeh tak pandai.. terpaksa tunggu suami ita dan Amirul.. tu yang lama tu.. entah lah ita pun tak tau apa masalahnya.. 
Nasib baik boleh guna komputer yg satu lagi ni.. tapi ita lebih selesa guna komputer yg lama tu.. Tak pe lah kan kita bagi peluang dia berehat dulu.. demam agaknya tu.. nak kena bawa gi klinik.. hihi
 

Resepi yang nak dikongsikan hari ni cukup simple dan mudah penyediannya. Cepat dimasak dan sedap dimakan. Udang memang kegemaran anak-anak ita terutamanya Dalili. Kalau masak udang dia suka yang kering kerana mudah dia nak ratah. 

Ita pula tak boleh makan udang... Kalau makan malam tak boleh tidur.. bukan malam aje .. siang-siang hari ni pun tak boleh buat kerja asyik mengaru aje.. habis badan jadi merah macam udang kena goreng jugak! 

Resepi ni kegemaran anak-anak dan suami. Makan dengan nasi panas-panas pasti bertambah-tambah. Ita sediakan satu lagi lauk ayam untuk digandingkan bersama nanti ita kongsikan resepi ayam tu di lain episod.. hihi


UDANG GORENG BUTTER BEREMPAH

1 kg udang ~ di buang kepala dan ekor, cuci bersih
1 tangkai daun kari ~ hiasan
2 sudu besar butter
Garam dan gula secukup rasa

Bahan Perap
2 sudu besar rempah kari daging
1 biji telur
1 sudu besar tepung jagung
secubit garam

Perap udang bersama bahan perapan anggaran 20 minit.
Kemudian goreng udang dalam minyak panas
Angkat dan toskan
Ketepikan udang.

Bahan Tumis
1 labu bawang besar dipotong dadu kecil
1 biji bawang putih ~ di cincang halus
5 biji cili padi ~ hiris halus kalau tak suka pedas kurangkan
2 tangkai daun kari ~ ambil daunnya dan hiris halus

Panaskan butter dalam kuali
Tumiskan bahan tumis hingga harum
Kemudian masukkan udang dan gaul rata dan sebati
Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa
Taburkan daun kari ( hiasan) dan  sedia dihidangkan




Tuesday, March 27, 2012

MEE REBUS JOHOR

Assalamualaikum


Selamat pagi semua..
Dah sarapan?
Kalau belum marilah kita sarapan sama-sama... bersama  kita nikmati mee rebus yang enak dan lazat ni.. hihi

Bila kita sebut mee rebus, sudah pastinya warga Johor dan mengecap-ngecap air liur.. Dah terbayang mee kuning bersama taugeh, tauhu, telur, daun sup, daun bawang, bawang goreng serta tidak ketinggalan kerupuk tepung yang rangup!.  Pulak bila disiramkan kuah yang pekat berkilat aduh!!! segera perut mengalunkan irama keroncong minta diisi...


Inilah salah satu menu yang cukup istimewa dari Negeri Darul Takzim ini.  Menu yang telah lama bertapak di sini dan merupakan menu yang menjadi kegemaran ramai warga Johor. Bila mulut menyebut mee rebus segera teringat mee rebus Haji Wahid, Lan Janggut, Stulang atau Warung ZZ yang cukup terkenal di bandar JB.

Kepada yang bertandang ke Johor jangan lupa untuk singah di gerai yang menjual mee rebus, pasti kepulangan anda akan teringat-ingat dan terbayang-bayang  kelazatan dan keenakan kuah mee rebus yang cukup istimewa ini.


Bagi yang tak berkesempatan jangan gusar dan bimbang, hari ini ita akan kongsikan resepi Mee Rebus Johor yang dikongsikan oleh Chef yang semakin meningkat naik namanya ini siapa lagi kalau bukan Chef Riz.
Resepi ini telah di kongsikan oleh adik Iza Akma dari blog Singahsana Kitchen.
Menurut Iza Akma, resepi ni beliau peroleh sewaktu menonton sebuah rancangan masakan di televisyen Sajian Kontampori yang dikendalikan oleh anak-anak Dato Chef Wan iaitu Serina dan Chef Riz.

Bila membaca coretan Iza Akma, segera kenangan ita terbayang ke era awal 90an yang ketika itu teknologi maklumat dan internet belum lagi bercambah. Masa itu, setiap kali ingin mendapatkan resepi terbaru, kaca TV lah tempat rujukan ita yang utama. Setiap kali menekan TV tangan ita telah tersedia dengan pen dan kertas. Manalah tau kalau2 terbuka rancangan masakan, dapatlah ita salin dan simpan sebagai rujukan untuk dimasak buat suami dan anak-anak.

Yang selalu menjadi masalah, bila tengah menyalin blackout lah pulak!! aduh.. punya lah susah nak dapatkan resepi waktu itu. Sudah semestinya program masakan yang dikendalikan oleh Dato Chef Wan , Chef Zaidah, Kak Rubiah Suparman, Jaafar Onn dan beberapa Chef ternama tanahair menjadi pilihan ita. Dari situlah mula timbul minat ita untuk belajar memasak dan mencuba apa sahaja resepi yang ita teringin merasa. 


Sekarang keadaan sudah jauh berubah, kehadiran banyak bloger masakan yang sering berkongsi resepi, lambakkan buku dan majalah masakan dipasaran serta program masakan di TV banyak menyumbangkan idea kepada masyarakat khususnya bagi  kaum wanita untuk memilih sajian yang sihat dan menambat selera keluarga tersayang.

Berbalik kita kepada resepi kali ni, pada ita resepi ini juga sedap! dan menepati selera ita dan keluarga. Setiap resepi punya keistimewaan tersendiri hasil sentuhan sang penciptanya. Kepada yang nak merasa bolehlah mencuba!

Terima kasih pada Iza Akma yang bersusah payah menyalin resepi, mencuba dan kongsikan pula dialam maya ini untuk di cuba dan dirasa oleh pengemar-pengemar mee rebus macam ita ni. Semoga setiap perkongsian ini mendapat keberkatan dan ganjaran pahala seperti yang dijanjikan.

Kesempatan ini juga ita ambil, bagi meminta izin untuk kongsikan pula resepi ini disini, sebagai rujukan anak-anak dan juga kawan-kawan yang lain.. Boleh ye....


MEE REBUS JOHOR
By: Chef Riz
Rancangan Masakan : Sajian Kontamporari
Rujukan : Iza Akma

300 gm daging kisar atau udang segar ~ ita guna daging batang pinang dan hiris nipis
1/2 cawan udang kering ~ disangai dan kisar halus
5 sudu makan cili kisar ~ boleh tambah jika suka pedas
2 sudu makan rempah kari
1 sudu makan serbuk ketumbar
1 kiub pati daging
250 gm keledek oren ~ direbus dan di lenyek
1/2 air asam jawa
garam dan gula secukup rasa
1/2 buku gula Melaka ~ ita tambah
air secukupnya
minyak untuk menumis

2 batang serai ~ dititik
8 kuntum bunga lawang

Bahan Kisar
3 labu bawang besar
4 ulas bawang putih
1 inc halia
3/4 inc lengkuas
1 biji buah keras
Sedikit air



Penyediannya
Mula-mula kita rebus keledek hingga empuk. Kemudian keledek itu dilenyek ~ ketepikan
Panaskan minyak dalam periuk
Masukkan bunga lawang dan serai yang dititik.
Apabila naik harum masukkan bahan kisar dan tumis
Masukkan cili kisar dan terus menumis hingga garing dan berbau harum
Kemudian masukkan udang kering yang telah dikisar halus dan tumis semula hingga sebati.
Masukkan daging, kacau sebentar hingga daging hampir empuk ~ tambah air jika kuah terlalu kering.
Selepas itu masukkan rempah kari dan serbuk ketumbar kacau rata.
Masukkan air secukupnya ~ kuantiti air bergantung kepada kepekatan kuah
Bila kuah dah mendidih masukkan kiub daging dan biarkan mendidih semula.
Akhir sekali masukkan keledek yang telah dilenyek, air asam jawa, garam dan gula secukup rasa
Didihkan semula kuah seningga kuah sedikit pekat
Setelah serasi rasanya boleh lah dihidangkan.


Mee rebus kebiasannya di makan bersama
Mee kuning ~ yang dicelur
Taugeh ~ juga dicelur
Tauhu digoreng dan dipotong dadu
Telur rebus
Limau kasturi
Daun sup dan daun bawang yang dihiris halus
Cili merah dan cili hijau yang dihiris halus
Bawang goreng
Dan tepung goreng rangup








Monday, March 26, 2012

BINGKA KELAPA PANDAN

Assalamualaikum..


Selamat pagi dan salam penuh keceriaan buat semua pengunjung yang sudi menjengah dapur Masam Manis.
Bertemu kita kembali di pagi yang ceria, di minggu baru. Semoga minggu ini, banyak lagi ilmu masakan yang dapat kita pelajari dan banyak lagi resepi menarik yang akan di cuba.


Hari ni ita nak kongsikan satu lagi resepi kuih tradisional iaitu Bingka Kelapa Pandan. Resepi yang telah dikongsikan oleh kak Wan dari blog Resepi CitarasaWan. Oh ye sebelum ita terlupa ita mengambil sedikit ruang untuk mengucapkan tahniah kepada beberapa rakan bloger yang telah muncul dalam beberapa majalah masakan tanahair termasuk lah juga kak Wan yang masakannya telah menghiasi cover depan majalah Aroma bulan April.

.

Tidak ketinggalan juga buat rakan baik ita dialam bloger ni CT Delima yang juga turut menghiasi majalah Aroma dan Rasa Online. Turut sama Kak Zuriani dari blog Semanis Gula yang menghiasi cover majalah Saji bulan April ni. Juga kepada rakan-rakan yang lain yang turut sama menghiasi beberapa majalah lain, tahniah dari ita buat semua.  Semoga setiap perkongsian ini mendapat keberkatan dari Nya. Ilmu yang dikongsikan ini ibarat sebutir benih di campak ke laut menjadi pulau...


Berbalik kita semula kepada resepi kuih bingka kelapa pandan ni. Resepi ni tersangatlah mudah cara penyediannya. Tak sampai berapa minit kita dah pun dapat menikmati sepotong kuih bingka yang sedap!  Amat sesuai dijadikan hidangan untuk minum petang apatah lagi untuk merai tetamu yang berkunjung ke rumah.

Dari bahan-bahan yang mudah dan murah pastinya terasa berbaloi mencuba!
Pada mulanya ita sangka kuih ni akan liat kerana ia menggunakan tepung pulut. Tapi bila siap dibakar ternyata tekaan ita meleset.. ianya lembut dan sedap dimakan hangat-hangat bersama secawan kopi.
Terima kasih pada kak Wan selaku penyumbang resepi. Juga kepada rakan-rakan seangkatan yang juga telah mencuba!


BINGKA KELAPA PANDAN
By : Kak Wan
Rujukan : Yatie

200gm kelapa parut putih
80gm gula pasir
150gm tepung pulut
1 biji telur A - di pukul ringan
4 sudu besar air
1/2 sudu kecil garam
1/4 sudu teh pandan emulco - jika suka

Satukan kelapa parut, gula, garam dan tepung, gaul rata. Masukkan telur, pandan emulco dan air sedikit demi sedikit sambil di kacau rata. Adunan tidak cair atau terlalu pekat, kelihatan parutan kelapa bila di adun.
Leser acuan baulu / cara dengan minyak. Kemudian panaskan di dalam oven hingga minyak betul-betul panas.
Keluarkan acuan, masukkan adunan hingga penuh. Bakar selama 20 - 30 minit di dalam oven pada suhu 200C atau hingga permukaan kuih keperangan.




Saturday, March 24, 2012

SOTO BANDUNG

Assalamualaikum



Selamat petang semua. Semalam nak bersiaran tak sempat jadi hari ini ita kongsikan resepi yang tertunggak yang tak sempat lagi ita kongsikan.

Soto, biasa popular di Johor. Rata-rata masyarakat Johor sukakannya. Biasa ia di hidangkan tidak kira waktu, boleh juga di buat sarapan pagi, hidangan untuk menjamu kawan-kawan atau juga sebagai hidangan penganti nasi.

Ita memang suka makan soto, tak kiralah soto nasi impit atau mee, kedua-duanya pun ita suka. Kalau makan pasti bertambah-tambah dan sudah semestinya kuahnya akan dihirup hingga licin.. slurrrpp!!

Ita juga suka mencuba setiap resepi soto yang ita jumpa. Ini kerana ita nak tau rasa soto yang terbaik dan pasti akan kerap ita sediakan untuk keluarga.

Kali ini ita cuba pula resepi soto dari seberang. Soto Bandung sudah semestinya berasal dari Kota Bandung di Indonesia. Ita dapat resepi ni dari koleksi buku masakan dalam simpanan ita. Dah lama sebenarnya ita beli buku ni, banyak juga resepi yang menarik dari negara seberang yang dikongsikan dalam buku masakan ni.
 

Bagaimana rasa soto Bandung ni?? emmm... bolehlah..... rasanya macam sup daging, walaupun kuahnya sedikit berkeladak atau keruh tapi rasanya macam cair aje.. tak sama macam soto yang biasa ita makan atau masak. Mungkin kurang rempah ratusnya ialah ia tidak menggunakan rempah soto, serai atau lengkuas di dalam penyediannya.

Faktor yang mengeruhkan kuah adalah dari daun sup dan daun bawang yang dikisar sekali dalam penyediaan perencahnya. Kalau ita cuba lagi sekali nanti pasti ita terpaksa ubah dan tokok tambah bahan-bahan lain supaya ia bertepatan dengan selera.

Keistimewaan soto Bandung apabila ia dimakan bersama tauhu. Emmm.. itulah faktor penyebab kenapa ita teringin mencuba resepi ni. Ialah biasa soto yang ita makan tak pernah pula dimakan bersama tauhu, kali ni berlainan sikit.. kata orang tak cuba tak tau kan???


SOTO BANDUNG
Rujukuan : Buku Resepi Citarasa Istimewa Dari Seberang

250 gm dagibg lembu ~ di rebus kemudian dihiris nipis
4 keping tauhu ~ digoreng dan dipotong kecil
50 gm kacang tanah ~ digoreng
1 batang lobak merah ~ di potong kecil
Bawang goreng secukupnya
Daub sup dan daun bawang secukupnya
Taugeh ~ secukupnya
Nasi impit ~ secukupnya
1 kiub daging ~ ita tambah

Bahan Rempah
5 ulas bawang merah ~ dikisar
3 ulas bawang putih ~ dikisar
2 tangkai daun bawang ~ dikisar
1 tangkai daun sup ~ dikisar
2 inc halia dikisar
Garam dan serbuk perasa ~ secukup rasa
Minyak untuk menumis


Cara Penyediaan

Rebus daging dan air sehingga empuk.
Keluarkan daging dari periuk dan potong atau hiris nipis.
Dalam periuk kecil, tumis bahan rempah sehingga harum dan naik aromanya.
Kemudian masukkan ke dalam air rebusan daging tadi.
Masukkan juga lobak dan kiub daging.
Masak sehingga mendidih
Perasakan dengan garam dan serbuk perasa secukup rasa.

Soto bandung di makan bersama nasi impit, pegedil, taugeh, tauhu goreng, kacang tanah, dan taburan bawang goreng dan daun sup dan bawang.
Sediakan juga cili kicap untuk rasa yang pedas.



Thursday, March 22, 2012

DEVIL'S FOOD CHOCOLATE CAKE

Assalamualaikum


Debaran dan penantian pastinya sudah berakhir semalam.. Kepada mereka-mereka yang berjaya pastinya senyuman sentiasa terukir dibibir. Kegembiraan, keceriaan, kesyukuran, dan kebanggaan pastinya tergambar di wajah masing-masing. Bangga dan gembira dengan usaha dan penat lelah bertungkus lumus mentelaah pelajaran berbayar dengan segulung kejayaan. Tahniah! buat semua yang berjaya, kepada warga pendidik dan juga ibu bapa yang tidak pernah putus berdoa untuk melihatkan kejayaan anak-anak.


Bagi mereka yang kurang bernasib baik, jangan berputus asa. Ini rezeki yang telah tertulis olehNya. Terima setiap kententuan dengan reda dan sabar. Setiap yang berlaku ada hikmah dan pengajaran disebaliknya. Kecundang atau gagal hari ini bukan kayu pengukur untuk perjalanan hari esok.

Sistem pendidikan Malaysia yang berteraskan peperiksaan.. bukanlah jaminan masa depan yang cemerlang. Semua kejayaan yang akan kita capai selepas ini bertitik nokhtah dari bakat dan usaha yang tidak mengenal putus asa. Sentiasa berfikiran positif, cari kelebihan dan bakat yang ada dalam diri. Insyaallah jika kita percaya pada bakat dan kelebihan yang Allah kurniakan, insyaallah.... sudah semestinya kejayaan akan sentiasa terbentang luas dihadapan...


Jutaan terima kasih yang tak terhingga kepada seluruh warga pendidik yang sentiasa berkerja keras mendidik anak bangsa bagi melahirkan jenerasi pewaris yang cermerlang, berjaya di dunia dan berjaya di akhirat.

Usaha murni warga pendidik pastinya akan sentiasa dikenang dan terpahat di sanubari ini. Terima kasih diatas setiap ilmu yang dicurahkan. Terima kasih atas usaha yang tidak pernah ada mengenal penat dan jemu.

Semoga ilmu yang dicurahkan akan mendapat ganjaran di akhirat kelak sebagaimana yang telah dijanjikan Nya.. insyaallah....


GURU OH GURU
Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
USMAN AWANG
1979


Hari ini ita nak kongsikan satu resepi kek yang pada ita sangat sedap!. Ita buat kek ni untuk bekalan anak Ita, Azrul tempoh hari. Balik cuti hari tu, becok mulutnya asyik menyebut minta ita butkan kek untuk dibawa pulang ke asrama. Walaupun terasa sangat sibuk cuti hari tu.. ita meluangkan juga sedikit masa untuk menyiapkan kek ni.

Mula pening juga kepala memikir nak buatkan kek apa. Pulak bila Azrul kata dia nak kek yang bertoppingkan ganache atau cream. Mula ita kata mungkin agak sukar nak buat kek yang berkrim, bimbang krimnya akan  cair di pertengahan perjalanan.

Alhamdulillah.. bila terpandang resepi kek ni yang di sharekan Yatie, ita ambil keputusan untuk buatkan kek ini aje.. sebab cara membuatnya yang mudah dan bahan-bahan pun ada di dapur.

Ita buat 2 adunan. Sedap sangat kek ni. Gabungan antara coklat dan lemon memang serasi. Bila makan terasa melekat rasa lemon dan coklat bersatu. Bau lemon, vanila dan coklat  yang harum dan keknya yang lembut memang membuatkan anak tekak ni asyik nak mengulang -ngulang menikmatinya tak puas rasanya..

Rasa-rasanya perjalanan kek ni telah jauh dari satu dapur ke satu dapur....  Resepi asal dari Shelly Kaldunski book on Cupcakes, dan dikongsikan oleh The Kitchen Gurdian
Terima kasih kepada tuan empunya resepi, kepada rakan-rakan yang telah kongsikan resepi ini juga. Ita minta izin untuk kongsikan resepi ni disini pula sebagai rujukan dan panduan yang lain.


DEVIL'S FOOD CHOCOLATE CAKE
By: Shelly Kaldunski book on Cupcakes
Rujukan : Yatie

Bahan Kek Coklat
2 cawan tepung gandum
1 / 2 cawan cocoa powder
1 1/2 sudu kecil soda bikarbonat
1 / 2 sudu kecil garam
1 / 2 cawan gula pasir
1 / 2 brown sugar
125 gm mentega
2 biji telur gred A
2 sudu kecil vanila ekstrak
1/2 cawan buttermilk-(buat sendiri guna 1/2 cawan susu ditambah dengan 1 sudu kecil cuka dan rehatkan selama 10 minit).
1 cawan air suam


Panaskan oven pada suhu 170C
Sediakan loyang ukuran 9 inc.
Alas dngn kertas minyak dan sapu butter di sekelilingnya.

Ayak tepung, cocoa powder, soda bikarbonat, garam, dan ketepikan.
Pukul mentega dengan gula sampai ringan dan mengembang, tambah telur.
Bila semuanya sudah sebati masukkan bahan-bahan  kering(tepung, cocoa powder) bergantian dengan bahan2 cecair (buttermilk+air suam) dalam tiga bahagian.
Terakhir masukkan vanili estract.
Bakar selama sekitar 30 minit atau hingga masak.

Cream Cheese Frosting
125gm Philadelphia cream cheese
60gm mentega
1/2 cawan gula aising
1 sdt vanili ekstrak
1 sudu kecil jus daripada lemon
1 sudu kecil paste lemon ~ ita tambah

Pukul cream cheese dan mentega hanya sampai creamy aje, tambahkan gula aising dan jus lemon.

Chocolate Ganache
100ml double cream/ whipping cream
250gm coklat gelap dicincang halus
sedikit garam ~ ita tak letak
1 sudu besar golden syrup ~ ita tambah
1 sudu teh paste vanila ~ ita tambah


Double boil cream jangan sampai mendidih,tambah coklat & sedikit garam, kacau rata. Bila semua sudah cair
Angkat dan sejukkan

Melapis Kek
Tunggu kek benar-benar sejuk
tuangkan cream cheese frosting atas kek dan ratakan. Ita masukkan dalam piping bag dan paipkan atas kek.
Simpan dalam peti ais sebentar hingga cream cheese mengeras dalam 20 ~ 30 minit
Tuangkan ganache coklat atasnya
Hiaskan kek mengikut kreativiti.
Simpan semula kek dalam peti ais hingga ganache mengeras

Untuk memotong kek yang menggunakan cream cheese.
Celupkan mata pisau dalam air panas atau boleh juga panaskan mata pisau atas  dapur.
Lap mata pisau dan potong.




DEVIL'S FOOD CHOCOLATE CAKE
By: Shelly Kaldunski book on Cupcakes
Source : Cakeworm
1 cup all purpose flour
1/4 cup cocoa powder
3/4 teaspoon bicarbonate soda
1/4 teaspoon salt
1/2 cup granulated sugar
1/2 cup brown sugar
65 gram butter
1 large egg - size A
1 teaspoon vanilla extract
1/4 cup buttermilk (homemade: 1/4 cup milk added with a few drops of distilled vinegar leave to rest for about 20 minutes
1/2 cup warm water

Methods
Set your oven at 170C (i set mine at 160C)
Prepare your cake tins, I used my casserole.
Sieve flour, cocoa powder, bicarbonate soda, salt, and set aside.
Beat butter with sugars until light and fluffy, add eggs.
When all well incorporated add the dry ingredients (flour, cocoa powder etc) and alternate with liquid ingredients (buttermilk + warm water) in three portions, last incorporate the vanilla extract.
Bake for about 30 minutes or until just cooked


Cream Cheese Frosting
250 g Philly cheese (i made only half-125g)
125 g butter (i use about 60g)
1 cup icing sugar (i used 1/2 cup)
1 teaspoon vanilla extract
juice of a squeezed slice of lemon, to rid the cheese taste (i didnt put)

Beat the cheese and butter, just until creamy, add the icing sugar, vanilla and lemon juice.


Chocolate Ganache
200 ml double cream with at least 30% fat content
250 g dark chocolate, chopped finely
a pinch of salt

In a double boiler, warm the cream until just at boiling point, add the chocolate and salt and stir, when all chocolate is melted, remove from the heat and continue stirring until all well mixed.

Wait for the cake to cool completely, spread the cream cheese frosting and pour the ganache on top.

 

Congrats to Amirul.. I'm proud of you...

Wednesday, March 21, 2012

TAUGEH IKAN BILIS

Assalamualaikum...


Taugeh adalah satu sajian atau hidangan yang menjadi kegemaran kami sekeluarga. Tapi ita tau ramai juga diluar sana yang tidak gemar makan taugeh. Kalau di rumah ita, semua suka makan taugeh tapi bila di suruh siang taugeh semua lari bertempiaran.. nak-nak yang kecik tu.. sampai sangup sorok dalam almari takut kena siang taugeh...

Selalu sangat makan taugeh kadang kala kita ingin tahu juga apakah kebaikan taugeh untuk tubuh badan kita. Untuk menjawab persoalan yang selalu bermain di benak fikiran ni, ita cuba dapatkan sedikit info dari internet. Banyak jugak kebaikan taugeh ni rupanya.. kalau macam ni lagi kerap lah ita masak taugeh di rumah.. hihi


Khasiat Taugeh Mampu Menyembuhkan Pelbagai Jenis Penyakit
By: HPA Online Network

Tapi tahukah anda, taugeh yang kerap kali menjadi pilihan terakhir untuk dijadikan sayur, sebenarnya mempunyai banyak khasiat. Taugeh dikatakan mampu menyumbang kepada kesuburan lelaki dan wanita. Pengambilan taugeh oleh kaum lelaki mampu membuatkan sperma yang dihasilkan oleh golongan ini makin baik. Begitu juga wanita, ia cukup berkesan membantu kesuburan telur yang dihasilkan.


Bagaimanapun, khasiat taugeh tidak sekadar penyumbang kesuburan, ia juga terbukti melalui kajian mengandungi bahan yang dapat melumpuhkan bibit kanser, usus besar, pankreas dan juga penyakit leukimia.

Mengikut kajian yang dijalankan taugeh sama ada dari jenis kacang hijau, alfalfa dan sebagainya mengandungi banyak unsur fitokimia yang berkhasiat. Salah satunya ialah kanavanin (canavanine), sejenis asid yang amino. Kanavanin, dikatakan mampu melumpuhkan bibit kanser leukimia, usus besar dan pankreas.


Selain itu, taugeh juga mempunyai estrogen semulajadi berfungsi sama dengan estrogen sintesis. Estrogen dalam taugeh dapat meningkatkan kepadatan dan susunan tulang, serta mencegah kerapuhan tulang (osteoporosis). Pengambilan taugeh oleh wanita secara kerap dapat membantu menghindarkan mereka dari kanser payudara, gangguan menjelang menstruasi, simptom pra-menopaus, dan gangguan akibat menopaus.

Sewaktu kacang-kacang dicambahkan untuk dijadikan taugeh secara umum kadar saponinya meningkat sehingga 450 peratus. Mereka yang berisiko penyakit strok dan serangan jantung, gara-gara kadar lemak darah yang tinggi dianjurkan lebih banyak mengambil taugeh dalam menu harian mereka. Saponi dalam taugeh, menghalau “lemak jahat” LDL, tanpa mengganggu kandungan lemak baik HDL.


Selain sarat DNA, taugeh padat dengan antioksida kuat yang menghalang tubuh dari radikal bebas perosak sel DNA. Pelindungan ini menguatkan kesimpulan taugeh merupakan sayuran yang membuat anda menjadi lebih muda. Satu lagi khasiat taugeh yang tidak kurang hebat adalah membantu membuang kotoran dalam usus besar kerana mengandungi banyak serat dan air. Inilah yang menjadi tunjang utama taugeh dalam memerangi sel kanser.

Apabila kotoran segera meniggalkan usus besar, tiada lagi zat-zat racun dalam kotoran yang yang dapat diserap tubuh. Ia akan mencegah pengumpulan bahan beracun yang dapat merangsang berseminya benih kanser. Selepas membaca kebaikan sayur taugeh janganlah ragu-ragu lagi untuk mengambilnya. Jadi apalagi, mari kita ramai-ramai makan taugeh hari-hari.


TAUGEH IKAN BILIS

300 gm taugeh ~ di bersihkan
1/2 cawan ikan bilis ~ digoreng garing
50 gm daun bawang ~ di mayang
50 gm daun sup ~ dimayang
1 biji cili merah ~ dihiris halus batang mancis
1 biji cili merah ~ dihiris halus batang mancis
5 biji cili padi ~ di hiris
3 ulas bawang merah ~ dihiris
2 ulas bawang putih ~ dihiris
1 kiub ikan bilis
Garam secukup rasa

Panaskan sedikit minyak dalam kuali
Tumis bawang merah, bawang putih dan cili padi hingga harum
Tambahkan sedikit air dan masukkan kiub ikan bilis masak hingga kuah sedikit kering
Tutup api.
Masukkan taugeh, hirisan cili hijau dan merah, daun sup dan daun bawang dan kacau rata.
Perasakan dengan garam
Biarkan sejuk sedikit baru masukkan ikan bilis goreng
Sedia dihidangkan.



Tuesday, March 20, 2012

GERANG ASAM

Assalamualaikum


Gerang Asam adalah salah satu sajian yang cukup popular dikalangan masyarakat Baba dan Nyonya.

Baba dan Nyonya adalah segolongan keturunan kaum Cina yang unik kedudukannya di kalangan kaum Cina yang terdapat di Negeri-negeri Selat, Tanah Melayu (kini sebahagian Malaysia), khususnya di negeri Melaka . Bagaimanapun, sebahagian mereka enggan mengakui bahawa mereka adalah orang Cina tetapi sebaliknya mendakwa bahawa mereka adalah rakyat British dan amat berbangga dengan kedudukan ini. Mereka memanggil diri mereka sebagai "Baba" atau "Peranakan" kerana kebudayaan mereka, yang berasal daripada warisan tradisi Cina, mempunyai unsur-unsur pengaruh kebudayaan Melayu . Penyesuaian dan resapan budaya mereka terhadap suasana sosio-budaya di persekitaran mereka di zaman silam, iaitu melalui perkahwinan campur yang berlaku di antara kaum-kaum Cina dan Melayu, adalah punca utama mengapa generasi-generasi seterusnya memanggil mereka sebagai "Baba". Dari segi anutan, kebanyakannya masih mengekalkan agama tradisional Cina dan Buddha , namun telah ramai yang memeluk agama lain seperti Kristian

Kebanyakan pendatang Cina yang terawal sekali berhijrah ke Tanah Melayu adalah daripada kelompok Hokkien. Oleh itu, kebanyakan orang Baba juga adalah Hokkien dan mereka yang berasal daripada keturunan Hokkien masih menganggap diri mereka sebagai orang Hokkien meskipun kebanyakannya tidak pandai bertutur dalam loghat Hokkien. Ada juga orang Baba yang berasal daripada keturunan Kantonis, Hakka, dan lain-lain.

Budaya Baba berasal dari Melaka tetapi apabila Pulau Pinang dan Singapura berkembang dan dimajukan, banyak juga di antara mereka yang berpindah ke kedua-dua negeri ini, terutamanya Singapura. Kaum Baba yang wujud pada hari ini bertutur dalam bahasa Baba iaitu sejenis dialek Melayu yang dapat difahami oleh kebanyakan orang Melayu.

Cara masakan mereka kebanyakannya diresapi oleh cara masakan Melayu dan adalah menjadi satu kebiasaan bagi mereka makan dengan menggunakan tangan sebagaimana juga orang-orang Melayu. Generasi Nyonya (Baba perempuan) yang terdahulu masih memakai pakaian kebaya dan kain sarong sebagaimana yang dipakai oleh orang-orang Melayu.

Kesan dari pengaruh Melayu, lahirnya masakan 'Nyonya'  yang menggunakan rempah masakan Melayu. Contohnya ayam kapitan, sejenis kari ayam kering; inci kabin, iaitu ayam goreng cara Nyonya; dan pindang bandeng, kuah ikan yang dihidangkan ketika meraikan tahun baru Cina di singapura.

~ sumber : Wikipedia  


Hari ini ita nak kongsikan satu resepi yang cukup istimewa dari masyarakat Baba dan Nyonya. Resepi ini ita ambil dari buku masakan Chef yang berasal dari keturunan Baba dan Nyonya, siapa lagi kalau bukan Chef kesukaan ramai Chef Florence Tan.

Buku beliau Receipes from the Nyonya Kitchen menghimpunkan 70 koleksi resepi dari rumpun masyarakat Baba dan Nyonya dari Melaka dan Pulau Pinang. 

Siapa yang tak kenal dengan Chef Florence Tan kan?
Anak kelahiran Baba Nyonya Melaka ini cukup fasih berbahasa Melayu. Orangnya yang peramah, sentiasa mengukir senyuman dan tuturkatanya yang lembut kadang kala seakan berdondang sayang ketika melantunkan tuturkata ketika berbicara.

Walaupun usianya sudah mencecah 65 tahun, namun beliau masih aktif mengadakan kelas atau bengkel masakan dan mempromosikan masakan Malaysia ke seluruh dunia. Beliau juga aktif melakukan kerja-kerja amal bagi membantu ibu-ibu tunggal dengan mengadakan bengkel masakan.

Dari segi pengalaman, beliau sememangnya pakar dalam masakan Baba dan Nyonya Melaka lebih dari 50 tahun. Pernah mewakili Malaysia mempromosikan masakan di Jepun, Hong Kong, England, Perancis, Netherlands dan New York.

Beliau turut di jemput untuk memperkatakan mengenai masakan Baba dan Nyonya di Stesyen Televisyen Australia ~ Channel of Australia ABC, Rick Stein di Stesyen Televisyen British BBC, Merrilees Parker dan Bobby Chin di Travel & Living, Kuali dan Simply Delicious.

 

Menurut Chef Florence Tan, masakan Baba Nyonya Melaka dan Pulau Pinang ada banyak perbezaannya. Masakan Baba Nyonya Pulau Pinang misalnya, mempunyai elemen-elemen masam- masam manis berbanding dengan masakan Baba Nyonya Melaka yang lebih kepada gabungan rempah ratus, herba dan ulam-ulaman yang membangkitkan lagi aroma dalam sesuatu masakan itu.

Berbalik pada resepi Gerang Asam ni pula, pada ita ianya seakan resepi asam pedas, namun masih ada perbezaannya bila kita menikmatinya. Sukar ita nak rungkaikan tentang keenakan dan kesedapan sajian ini, jika ingin tahu apakah perbezaannya kenalah mencuba!

Cadangan dari Chef, gerang asam enak di sediakan bersama ikan tenggiri atau ikan pari. Tapi disebabkan hanya ada ikan kembung aje dalam peti ais, ita mengambil keputusan untuk menjadikan ikan kembung sebagai galang gantinya.

Sangat enak bila dihidangkan bersama nasi panas-panas, sambal belacan dan ulam-ulaman sebagai peneman. Boleh juga di cicah bersama roti. Cubalah pastinya menjilat jari!


GERANG ASAM
By : Chef Florence Tan
Rujukan : Recipes From The Nyonya Kitchen








3/4 cawan minyak masak
3 cawan air asam jawa ~ 75 gm asam jawa +750 ml air diramas dan ambil airnya
900 gm ikan tenggiri ~ ita guna 6 ekor ikan kembung
2 helai daun limau purut
1/2 sudu kecil gula
2 1/2 sudu kecil garam
20 batang bendi 

Bahan Perencah
20 batang cili kering ~ di rendam hingga lembut
18 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
5 biji buah keras
1/2 inc kunyit hidup
1 inc lengkuas
4 batang serai ~ ita kisar 2 batang dan 2 batang lagi ita titik
1 1/2 sudu kecil belacan

Semua bahan di atas dikisar halus

Panaskan minyak dalam kuali atau periuk
Tumiskan bahan kisar hingga harum baunya
Masukkan serai yang dititik
Tambahkan air asam jawa dan biarkan ia mendidih

Besarkan api sedikit, dan masukkan ikan, daun limau purut, garam dan gula secukup rasa
Masak lagi selama 4~5 minit atau sehingga kuah mendidih
Akhir sekali masukkan bendi dan renehkan lagi hingga bendi masak sempurna


GERANG ASAM
Spicy and Sour Fish Curry
By: Chef Florence Tan
Sauce : Recipes from the Nyonya Kitchen

Ingredient
175 ml or 3/4 cup cooking oil
3 cups tamarind juice or 750 ml water + 75 gm tamarind pulp
900 gm Spanish Mackerel, sliced into 11/2 tick pieces
2 kaffir lime leaves ~ optional
1/2 teaspoon sugar
2 1/2 teaspoons salt
20 young lady's fingers

Finely Ground Paste
20 dried chillies, soaled in water and drained
18 shallots, peeled
2 cloves garlic, peeled
5 candlenuts
1/2 inc fresh turmeric, peeled
1 inc galangal, peeled
4 stalks lemon grass, sliced
11/2 teaspoons crushed dried shrimp paste

Method
Heat the cooking oil and fry finely ground paste until fragrant
Add the tamarind juice and bring to a boil. Simmer for 4 minutes
Increase the heat and add fish, kaffir lime leaves, sugar and salt.
Cookfor 4 minutes.
Add lady's fingers and cooked for another 5 minutes until the fish is done and lady's fingers are tender