Follow if you like

Jun 22, 2012

Pengalaman yang tidak dapat dilupakan...



Gua Hira


Gua Hira  ialah sebuah gua tempat di mana Nabi Muhammad s.a.w. menerima wahyu yang pertama dari Allah melalui Malaikat Jibril. Gua Hira adalah tempat Nabi Muhammad SAW selalu menyendiri dan bermunajat selain bertahannuth dan bertaqarrub kepada Allah SWT. Baginda juga selalu ke situ bagi menghindari masyarakat Arab Jahiliyah yang pada saat itu masih belum beriman kepada Allah dan sering melakukan maksiat dan dosa-dosa besar.

Gua Hira terletak di Makkah, Arab Saudi. Gua kecil ini letaknya di puncak Gunung Jabal Nur, di bahagian Utara Mekah, kira-kira 5 kilometer dari Masjidil Haram. Tinggi puncak jabal Nur sekitar 200 meter. Struktur umum Gua Hira adalah berukuran 4 m panjang dan 1.75 m untuk lebarnya. Di sekitarnya terdapat sejumlah gunung, bukit batu dan jurang. Gua Hira letaknya pada tebing menanjak yang agak curam walaupun Bukit Nur atau Jabal al-Nur tidaklah terlalu tinggi. Namun begitu, pendakian menuju ke Gua Hira melalui jalan lereng-lereng Bukit Nur yang kering dan berbatu, setiap orang haruslah memiliki kekuatan fizikal dan mental yang kuat.

Nabi dan rasul terakhir yang diutuskan oleh allah SWT ialah Nabi Muhammad SAW. Pada ketika itu  usia baginda 40 tahun. Rasulullah SAW menyampaikan perintah Allah SWT kepada kaumnya selama 22 tahun 2 bulan dan 22 hari. Nabi Muhammad SAW dilahirkan di Mekah.  Datuknya, Abdul Muttalib menamainya Al Amin ( yang terpuji). Ketika lahir Nabi Muhammad telah menjadi yatim. Pada usianya hampir 40 tahun, beliau sangat suka mengasingkan dirinya berbekalkan roti dan pergi ke Gua Hira di Jabal Nur.  Baginda ke Gua Hira untuk beribadah dan memikirkan keagungan pencipta alam ini.

Nabi Muhammad SAW mengasingkan diri di gua Hira kerana baginda ingin menghindarkan diri daripada kehidupan masyarakat Arab Jahiliyah yang sesat. Nabi Muhammad pernah bermimpi supaya mendekatkan diri dengan Allah SWT.


"Dan dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung, lalu dia memberikan petunjuk." 
~ Surah Ad Dhuha ayat 7

Nabi Muhammad SAW sentiasa berulang alik dari rumahnya ke Gua Hira seorang diri. Isteri tercinta, Siti Khadijah sering menghantar makanan untuk Rasulullah di Gua Hira. Satu peristiwa penting yang berlaku menjelang 17 Ramadhan 610 Masihi, malaikat Jibrail datang menyampaikan wahyu pertama kepada Rasulullah SAW iaitu surah Al-Alaq ayat 1-5


"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Menciptakan. Dia Telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam. Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya."
~Surah Al-Alaqayat 1-5

Setelah Rasulullah saw mengalami keadaan yang mengerunkan di Gua Hira, Rasulullah saw bergegas balik ke rumahnya dan isterinya Siti Khadijah menenangkannya. Selepas itu dia membawa Rasulullah SAW bertemu dengan Waraqah Bin Naufal, seorang pendeta Nasrani. Setelah diceritakan peristiwa tersebut kepadanya, tahulah Waraqah bahawa itu merupakan tanda bahawa Rasulullah SAW telah dipilih oleh Allah SWT sebagai seorang Nabi dan Rasul bagi menyampaikan agama Islam kepada seluruh manusia dan jin.

Pengalaman ita mendaki Gua Hira adalah satu pengalaman yang tak mungkin dapat ita lupakan. Pada mulanya ita hampir-hampir melupakan niat untuk mendaki ke gua Hira. Sebenarnya ita cukup takut atau gayat pada kedudukan yang tinggi, dan ita tidak pernah mendaki gunung.  Sehari sebelum itu mutawif telah menunjukkan Gua Hira dan menyatakan bahawa kita akan mendakinya keesokkan hari. Memandangkan Gua Hira yang terlalu tinggi kedudukannya di atas Jabar Nur, ita hampir melupakan niat untuk mengikuti rombongan jemaah. Tapi bila rakan sebilik, yang berusia 60 tahun beria-ia mengajak, ita terasa tercabar pula. Malam itu ita tidak dapat melelapkan mata, Ita terus ke Baitullah dan menunaikan solat hajat, ita berdoa  dan memohon kepada Allah SWT supaya memberikan ita kekuatan, semangat, kecekalan dan kesabaran untuk mendaki ke Gua Hira.
Berbekal semangat ingin melihat Gua Hira di mana Nabi SAW menerima wahyu yang pertama, ita mulakan perjalanan hari itu dengan lafaz Bismillah. Sampai di kaki Jabal Nur, jantung ita telah berdegup kencang, ya Allah boleh ke ita daki gunung ini?


Ita cuba menghilangkan perasaan takut dengan merakamkan gambar, tapi hanya Allah sahaja yang tahu perasaan ita waktu itu. Mendaki gua Hira memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang kuat. Stamina juga kena kuat dan sentiasa berfikiran positif. Mulut ita sentiasa kumat kamit berzikir sepanjang melangkah meniti anak-anak tangga yang curam. 


Kami mula mendaki kira-kira pukul 6 petang. Pada waktu ini ramai juga orang Arab dan lain-lain bangsa yang mendaki. Kekuatan tenaga mereka memang tidak dapat ditandingi. Sepanjang pendakian beberapa kali ita berhenti, kaki sudah mula terasa longlai. Dengan memakai jubah memang agak sukar untuk mendaki.  Mutawif pula sentiasa memberikan kata-kata semangat, membuatkan ita terus mendaki. 


Sampai di pertengahan, tiba-tiba terdengar laungan Azan Magrib, ya Allah sayunya hati ini terasa. Subahanallah tak dapat ita ungkapkan perasaan ita waktu itu bila ita mendengar laungan Azan yang serentak dari seluruh masjid yang berada di Mekah. ya Allah besarnya keagungan mu.. Syukuralhamdulillah kerana Dia memberikan ita merasai dan menikmati moment-moment indah  itu di balik mega petang yang menyelubungi langit petang, sungguh mengasyikkan sekali suasana dan pemandangan ketika itu.


Selepas azan, ita teruskan pendakian semula. Cuaca sudah mula gelap. Dalam kesamaran ita cuba memanjat anak tangga dengan penuh berhati-hati supaya tidak tersalah langkah. Kalau tersalah langkah sudah pasti malang yang menimpa.


Alhamdulillah, walaupun seribu kepayahan akhirnya ita berjaya juga sampai ke atas Jabal Nur, ketika azan insyak berkumandang.  Walaupun agak lewat dari rakan-rakan jemaah yang lain namun ita bersyukur kerana ita dapat juga menjejakkan kaki dan dapat melihat Gua Hira ( walau dalam kesamaran lampu torchlight)  di mana wahyu pertama di terima oleh junjungan kita Rasulullah SAW. 

Walaupun telah sampai ke puncak Jabal Nur, tetapi untuk sampai ke gua Hira, kita kena turun pula di tepi tebing kerana Gua Hira terletak di tepi tebing Jabal Nur. Para jemaah pula perlu jalan mengiring untuk masuk ke gua Hira yang hanya selebar 2 jengkal. Di dalam gua pula sangat gelap dan hanya dapat memuatkan 4 orang dalam satu masa. Memandangkan hari yang sudah gelap, kami tidak dibenarkan masuk. Kami hanya dapat melakukan sujud syukur dan berdoa.

inilah rakan-rakan yang telah memberikan ita semangat ketika

Kini tibalah masanya ita terpaksa pula menempuh saat yang agak sukar. Jika mendaki Jabal Nur perlukan stamina dan tenaga, untuk menuruni bukit dalam cahaya malam yang gelap gelita juga merupakan satu cabaran yang hebat bagi ita. Hampir ita nak meraung, kerana terlalu takut.  Mujur, ada teman-teman yang banyak membantu. Kaki ita sudah mengigil kerana terlalu takut. Mungkin ita terlalu gayat dan terlalu mengikut perasaan takut.

Mutawif, menyuruh ita berehat dan menenagkan hati. Pada tika itulah ita melihat satu keajiban. Pada waktu itu ita lihat banyak sangat kucing. Ita tak pasti jemaah lain nampak atau tidak. Tiba-tiba ada seakor anak kucing datang kepada ita, yang waktu itu berehat untuk menenagkan fikiran. Kucing itu baring di sisi ita dan minta di belai. Ita membelai belakang anak kucing itu. Bila melihat mutawif meneguk air, kucing itu terus melompat ke arah mutawif. Ita dapat merasakan yang anak kucing itu kehausan, malangnya air ita telah kehabisan. Ita meminta mutawif memberikan sedikit airnya kepada anak kucing itu. Dengan hanya meletakkan air di dalam tutup botol habis air itu diminum, sehingga tiga kali air di isi. Selepas hilang dahaga anak kucing itu terus hilang dalam kepekatan malam.

Ita pun mulakan semula perjalanan ita menuruni bukit. Alhamdulillah akhirnya ita sampai juga ke kaki jabal Nur dengan penuh rasa kesyukuran. Ita memohon maaf kepada semua jemaah kerana lama menunggu ita.  

Sepanjang perjalanan pulang ke hotel, hati ita tidak putus mengucapkan syukur. Tapi ita terasa yang mungkin ita akan demam atau sakit kaki keesokkan harinya.

Malam itu ita tidur dengan lenyak. Seawal pulul 2 pagi ita telah terjaga. Berkat berada di tanah suci, alhamdulillah ita sihat pagi tu, dan kaki ita juga tidak terasa sakit, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Ita terus bangun mandi dan bertolak ke Masjidil Haram untuk melakukan solat dan bersujud syukur. 

Sampai hari ini, ita masih lagi tidak percaya yang ita telah dapat mendaki Jabal Nur dan dapat melihat gua Hira di hadapan mata..
Shukur kehadratmu ya Allah.. kerana mengabulkan doa hambamu..





13 comments:

Azie said...

Alhamdulillah, Ita sudah selamat kembali. Semoga bertambah ketenangan dan kebahagiaan. Dapur Masam manis sunyi seketika.

ogyep yummy mellow said...

Alhamdulillah, berjaya juga Kak Ita mendaki & menuruninya ya... Berkat keikhlasan Dan ketekunan Kak Ita, Allah permudahkan segalanya kan, InshaAllah...

Wah, semakin menarik cerita Kak Ita ni... Tak sabar nak tunggu sambungannya...

aZuMaya said...

alhamdulillah kak ita... welcome back to m'sia...semoga dpt umrah yg mabrur..amin

khairiah khaizu said...

syukur Alhamdulillah, ita dh sampai...saya ble la nk pergi....mohon dipermudahkan

Bicara Kak Noor said...

alhamdulillah akhirnya Ita berjaya juga jugak mendaki dan menuruni dgn selamat semuanya dgn izIn Allah jua SUBHANALLAH...

Yatie said...

Syukur alhamdulillah di permudahkan segala urusan Ita dan rakan2 disana...

Cheq Sue said...

berderau bulu roma saya sambil bergenang air mata... bertuahnya kak ita kerana terpilih ke sana...

ibh_sue said...

Syukur alhamdulillah akk selmt kembali. Seronok baca pengalaman akk kat sn.

Zie said...

alhamdulillah berjaya juga kak ita mendaki berkat pertolongan yg maha Esa...

ummiaisyah said...

seronok mmbaca coretan k ita..keep on writing..

Choco Ani said...

Alhamdulillah Ita selamat kembali.. terima Kasih tak terhingga atas perkongsian informasi dan kisah yang sgt dekat dihati moga kita semua dilimpahkan rezeki dan dgn keizinan allahswt supaya dapat kita menunaikan haji dan umrah.. insyaallah

FnF Simple Life said...

Alhamdulillah...pengalaman yg tak dapat dilupakan

Lawa Collections✿ said...

Masha Allah seronoknyaa... masa saya kat sana dulu xberpeluang jejak ke gua hira'...

Powered by Blogger.