Follow if you like

Jun 22, 2012

Melaksanakan Rukun Umrah

Rukun Umrah

Niat
Maksudnya :
" sahaja aku mengerjakan Umrah dan ihram aku dengannya kerana Allah taala"

Bagi jemaah wanita yang tidak sihat atau ditakuti kedatangan haid semasa didalam ihram adalah di nasihatkan berniat secara taklik

Maksudnya :
" sahaja aku mengerjakan Umrah dan Ihram aku dengannya dan sekiranya aku datang haid atau lain-lain sebab maka halallah aku dengannya.

Maka sekiranya dia kedatangan haid, dia akan menjadi halal dengan sendirinya tanpa perlu bertahalul ( membayar dam dengan menyembelih seakor kambing)

Tawaf
Bermaksud mengelilingi Kaabah kerana bertujuan beribadah berserta dengan syarat-syarat yang berikut:
  • suci daripada hadas besar dan kecil
  • Suci daripada najis pada badan, pakaian dan tempat. Bagi ibu bapa yang membawa anak-anak yang masih kecil atau belum berakal, hendaklah memastikan kebersihan mereka. Anak lelaki yang belum berkhatan dendaklah di bersihkan kemaluannya atau lebih afdal jika mereka dikhatankan terlebih dahulu.
  • Menutup aurat seperti di dalam solat bagi wanita. bagi lelaki hendaklah memakai ihram.
  • Menjadikan kiblat di sebelah kiri. Tidak boleh mengadap atau membelakangkan kiblat. Sekiranya tertolak atau terubah kedudukan, maka pusingan itu di anggap batal dan di gantikan dengan pusingan selanjutnya.
  • Hendaklah dilakukan di dalam masjid dan di luar Kaabah, diluar Hijir Ismail dan di luar sazarwan ( bingkai Kaabah)
  • lakukan sebanyak 7 pusingan dengan yakin dan sempurna.
  • Sentiasa berniat serta berqasad tawaf dan bukan disebabkan perkara lain. bagi mereka yang menolak kereta sorong, atau membawa orang lain, dinasihatkan supaya menyempurnakan tawafnya terlebih dahulu kerana ditakuti niatnya akan terpesong.

Saie antara Bukit Safar dan Bukit Marwah

Saie bermaksud berjalan berulang alik di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah.
Allah SWT berfirman di dalam KitabNya:
Sesungguhnya Safa dan Marwah itu ialah sebahagian daripada syi‘ar (lambang agama) Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat haji ke BaituLlah atau mengerjakan umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersa‘i (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya; dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah Maha Mensyukuri (memberi balasan pahala, memaafkan kesalahan, menambah nikmat, dan sebagainya), lagi Maha Mengetahui.
~ Surah Al-Baqarah 2:158
Di dalam ayat di atas, Allah SWT meletakkan Bukit Safar dan Bukit al-Marwah sebagai syi‘ar-syi‘arNya dan menjamin tiada dosa bagi mereka yang mengerjakan saie iaitu berlari-lari anak di antara keduanya.

Sae antara Safar dan Marwah ~ gambar dari google

Perkara ini sinonim dengan peristiwa ketika Siti Hajar berlari-lari di antara kedua bukit tersebut bagi mencari air untuk anaknya, Nabi Ismail. Ketika Siti Hajar dan Nabi Ismail yang masih kecil ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim bagi menyahut seruan da‘wah, bekalan air yang disimpan oleh Siti Hajar kehabisan. Maka, berlari-larilah Siti Hajar di antara dua bukit tersebut bagi mencari minuman buat anaknya yang menangis akibat terlalu dahaga di tengah-tengah padang pasir yang tandus.
Setelah tujuh kali berlari di antara kedua bukit tersebut, tiba-tiba air terpancar dari tanah tempat di mana Nabi Ismail menangis. Inilah pemberian Allah SWT kepada Siti Hajar dan Nabi Ismail yang sehingga hari ini masih mengalir walaupun diminum dan digunakan oleh berjuta-juta jemaah haji saban tahun.

Syarat-syarat melakukan saie :
  • Dilakukan setelah selesai tawaf
  • Bermula di bukit Safa dan berakhir di bukit marwah
  • Di lakukan sebanyak 7 kali dengan yakin dan sempurna
  • Bersaie di tempat yang ditetapkan iaitu di Batnul Wadi
  • Berniat sae semata-mata
Perkara-perkara yang disunatkan pada saie ialah:
  • Berniat
  • Berwuduk
  • Berzikir dan berdoa
  • Berjalan kaki
  • Berlari-lari anak antara 2 lampu hijau
  • Berturut-turut
Tahalul

Setelah selesai Saie, wajiblah bertahalul bercukur atau mengunting rambut bagi wanita. Bagi kaum lelaki adalah lebih afdhal membotakkan kepalanya. Bagi kaum wanita pula memadai hanya menggunting beberapa helai sahaja daripada rambutnya. Bagi mereka yang tidak mempunyai rambut, disunatkan melalukan pisau cukur di atas kepalanya. Setelah selesai bertahalul, maka dihalalkan segala yang diharamkan di dalam ihram.

Selepas beberapa hari berada di Mekah, kami dibawa menziarahi beberapa tempat yang bersejarah di Kota Mekah.


Gua Thur

Jabal Thur, Gunung Banteng atau Gunung Lembu Jantan adalah nama bagi sebuah gunung di Arab Saudi, terletak di tanah rendah Makkah yang menjulur ke selatan daerah Misfalah. Gunung ini juga terletak kira-kira 4 km kesebelah selatan Masjidil Haram. Tinggi gunung dari aras laut adalah 748 meter, manakala dari aras bumi iaitu 458 meter.
Pintu timur Gua Thur atau Ghar al-Thawr tingginya 1.25 meter, manakala lebar pintu guanya adalah 3.5 m X 3.5 m. Gua tersebut memiliki 2 pintu iaitu disebelah barat dan sebelah timur. Pintu disebelah baratlah yang digunakan Nabi Muhammad dan Saidina Abu Bakar untuk masuk. Pintu gua barat tingginya hanya 1 meter sekaligus lebih kecil dari pintu timur. Pintu timur hanya baru dikorek bagi membolehkan pelawat masuk dan melihat keadaan gua. Pendaki atau pelawat yang berhasrat masuk ke gua thur harus mendaki sampai ke pintu gua, dakian memakan masa 1 jam setengah hingga 2 jam bergantung kepada kekuatan stamina.

Gua Thur banyak menyimpan sejarah pahit getir Rasullullah dalam menyebarkan dakwah Islamiah ke seluruh umat manusia. Dalam kisah Hijrah Rasulullah dari kota Makkah ke kota Madinah. Rasulullah telah diperitahkan oleh Allah SWT untuk berhijrah pada malam hari, umat Islam pada waktu itu telah berbondong-bondong meninggalkan Makkah dan pergi berhijrah ke Madinah lebih awal, Rasulullah dan Saidina Abu Bakar pula menyusul kemudian.

Di gua inilah Rasulullah SAW bersama Saidina Abu Bakar bersembunyi beberapa hari untuk mengelakkan diri daripada tindakan orang-orang Quraisy semasa hendak berhijrah ke Madinah.
Pada malam itu, Baginda menyuruh Ali tidur di katil Baginda. Sebelum keluar, Baginda membacakan 
ayat daripada surah Yasin lalu meniupkan ke arah orang yang mengepung rumah Baginda. Dengan 
kuasa Allah, mereka semua tertidur dengan nyenyaknya. Tujuan mereka semua mengawal di perkarangan rumah Nabi adalah untuk memastikan mereka dapat membunuh Nabi apabila Nabi keluar menunaikan Solat Subuh.
 
Baginda terus ke rumah Abu Bakar. Abu Bakar sangat gembira kerana terpilih menemani Baginda 
untuk berhijrah. Mereka berdua bergerak ke Gua Tsur.  Hal ini sesuai dengan firman Allah dalam 
Surah An‐Nisa’ ayat 100: Maksudnya:  
 
“Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia 
akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur” 
 

Nabi Muhammad s.a.w dan Abu Bakar sangat berani. Sungguhpun kaum Quraisy menghalang 
mereka untuk berhijrah dengan pelbagai cara, mereka tetap yakin.

Bersama-sama dengan Abu Bakar baginda bertolak ke arah selatan menuju ke Gua Thur. Sesampai ke pintu gua, Saidina Abu Bakar akan memasuki dahulu pintu gua, beliau akan memastikan tiada kelibat ular, kalajengking, dan lain-lain binatang atau duri bahaya didalam gua. Sesudah dipastikan tiada binatang dan anasir bahaya, barulah Nabi memasuki gua. Dalam perjalanan malam itu, mereka berdua juga ditemani oleh Abdullah bin Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar). Pada waktu siang hari keesokannya, Abdullah telah meninggalkan mereka dan kembali ke Makkah untuk melihat keadaan di kota Makkah serta mengkhabarkan berita dari Makkah kepada Nabi.

Pada malam seterusnya Nabi Muhammad dan Saidina Abu Bakar telah tidur dalam gua, Nabi telah membaringkan kepalanya diatas peha Saidina Abu Bakar. Saidina Abu Bakar membiarkan Nabi tidur diatas peha tidak meggerakkan kakinya sedikitpun kerana beliau tidak mahu mengganggu Nabi tidur. Tiba-tiba tapak kaki Saidina Abu Bakar yang dikujurkan itu telah dipatuk oleh ular berbisa. Dalam menahan kesakitan dan kepedihan yang amat atas patukan Saidina Abu Bakar telah menitiskan air matanya, airmatanya telah menitis jatuh ke pipi Rasulullah, lalu membuatkan Rasulullah terjaga dari tidur. Melihat Saidina Abu Bakar menangis, Rasulullah terus bertanya :
“ Mengapa engkau menangis wahai Abu Bakar?”.
Abu Bakar lantas menjawab,
“ Wahai Rasulullah, aku dipatuk ular”.

 Mendengar jawapan itu, Rasululah terus meludahi kesan patukan dan mengusapnya, maka secara langsung kesan patukan hilang serta-merta dan tiada lagi rasa sakit. Kerana mukjizat Rasul suci itu mereka berdua bersyukur atas rahmat Allah. 

Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun 
menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) 
sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua”. 

~ Surah At‐Taubah ayat 40

Pada satu ketika, beberapa orang kafir Quraisy yang mencari Nabi sampai di tepi pintu Gua Tsur. Abu 
Bakar sangat bimbang lalu berkata:
“Wahai Rasulullah, sekiranya mereka masuk ke dalam gua ini,  pasti  kita  akan  dilihat  oleh  mereka”. 
Allah  melindungi  Nabi  Muhammad  dan  Abu  Bakar  lalu  berfirman: 

"Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita".
 Maka Allah menurunkansemangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan 
tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. 
 

Surah At‐Taubah ayat 40 
 
Dengan kuasa Allah, labah‐labah dan merpati membuat sarang di depan Gua Thur, menunjukkan 
bahawa gua itu tidak dimasuki oleh sesuatupun sejak sekian lama.

Nabi Muhammad s.a.w dan Abu Bakar berada dalam Gua Tsur selama 3 hari. Asma dan Aishah, 2 orang puteri Abu Bakar  ditugaskan menghantar makanan setiap hari.

Selain itu terdapat juga beberapa orang yang bertanggungjawab untuk membantu Nabi dan Saidina Abu Bakar sepanjang mereka berdua menyorok di dalam gua. Iaitu:
  • Abdullah bin Abu Bakar (anak lelaki Saidina Abu Bakar) - bertanggungjawab memberi khabar dan berita terkini dari kota Makkah.
  • Abdullah ibn Ariqath - bertanggungjawab untuk berpura-pura mengembala dua ekor kambing di sekitar Jabal Thur, perahan susu kambing dijadikan minuman kepada Nabi Muhammad SAW dan Saidina Abu Bakar.
  • Amir bin Fuhairah - bertanggungjawab menjadi juru pandu bagi Rasulullah dan Saidina Abu Bakar sepanjang perjalanan ke Madinah. Juga membantu Abdullah ibn Ariqath mengembala kambing serta bertanggungjawab menghapuskan jejak kaki Rasulullah dan Saidina Abu Bakar sepanjang perjalanan ke Madinah.




Sungguhpun kaum Quraisy merancang 
untuk membunuh Nabi, Allah mempunyai perancangan yang tersendiri. Firman Allah dalam surah Al‐
Anfal ayat 30: 

“Dan ingatlah (Wahai Muhammad), ketika orang‐orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu 
daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan 
tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik‐baik yang menggagalkan 
tipu daya”.  



Jabal Rahmah

Tidak lengkap rasanya ziarah ke Tanah Suci Mekah, jika tidak singgah di Jabal Rahmah, bukit yang letaknya di sekitar Padang Arafah. Di Jabal Rahmah inilah diriwayatkan sebagai tempat bertemunya Nabi Adam dan Hawa setelah berpisah 400 tahun dikeluarkan dari syurga dan di campakkan ke bumi. Sehingga kini, bukit ini masih utuh dan tersergam dengan sebuah tugu monumen di puncaknya. Banyak jemaah yang naik ke bukit ini untuk melawat atau berdoa di situ.

Jabal Rahmah terletak 25 km di tenggara kota Makkah, ianya termasuk dalam wilayah Arafah. Di puncak Jabal Rahmah ada sebuah tugu yang menandakan titik atau tempat pertemuan itu. Tinggi tugu tersebut lebih kurang 8-10 meter. Untuk sampai ke tempat itu atau tugu itu, jaraknya hanya 150 meter dari kaki bukit. Masa yang diperlukan untuk sampai ke puncak itu adalah diantara 15-20 minit untuk mendakinya.



Nabi Adam a.s adalah manusia dan  Nabi pertama diciptakan oleh Allah SWT .Beliau
ditempatkan  disyurga bersama pasangannya Hawa. Malangnya, Nabi Adam dan Hawa
termakan dengan pujuk rayu syaitan. Mereka telah memakan sejenis buah dari pepohon yang
dilarang Allah SWT.

Nabi Adam dan Hawa  amat menyesal dengan tindakan mereka kerana mengingkari
larangan Allah SWT itu. Berdoalah Nabi Adam dengan rasa penuh penyesalan memohon
keampunan Allah SWT (surah al-a’rof ayat 23):
Keduanya berkata:
"Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika
Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami
termasuk orang-orang yang rugi".

Maha pengasih Allah SWT mengampunkan Nabi Adam dan Hawa.

Dikatakan Nabi Adam a.s diturunkan di India dan Hawa pula di turunkan di Jeddah. Nama tempat Jeddah membawa maksud “datuk perempuan” ia merujuk kepada Hawa. Hawa ialah datuk perempuan iaitu (nenek) kita yang di turunkan di Jeddah. Dari peristiwa inilah Jeddah mendapat namanya.
Jabal Rahmah merupakan satu-satunya bukit yang ada di Arafah. Jabal membawa erti “bukit” manakala Rahmah memberikan maksud “kasih sayang”. Jika di gabungkan menjadi Bukit Kasih Sayang.

Arafah pula membawakan satu istilah bermaksud “mengenal”. Ia sering menjadi sebutan dengan nama panggilan Arafah kerana di sinilah berlakunya sebuah peristiwa dalam sejarah islam detik pertemuan dan perkenalan Nabi Adam a.s dan Hawa setelah mereka diturunkan ke bumi dari syurga.
Arafah

Walaupun Umrah tidak memerlukan kita melalui proses Wukuf di Arafah, tetapi para jemaah Umrah tetap di bawa melawat ke Padang Arafah sebagai mengenali lokasi ini jika suatu hari nanti kita akan melakukan Ibadah Haji.

Arafah merupakan salah satu lokasi di luar batas tanah suci, yang terletak di sebelah tenggara Masjidil Haram dengan jarak 22km. Luas padang Arafah sekitar 10.4 km persegi.
Arafah atau apa yang lebih dikenali sebagai Padang Arafah adalah tempat perhimpunan semua jemaah haji pada 9 Zulhijah setiap tahun. Mereka melaksanakan solat, menghabiskan waktu dengan beribadah, berdoa, membaca Quran, berzikir, tazkirah dan sebagainya. Perbuatan tersebut di kenali sebagai wuquf iaitu salah satu daripada rukun Haji. Jika seseorang jemaah haji tidak melakukan wukuf di Arafah maka hajinya tidak sah.
Dinamakan Arafah kerana Nabi Adam AS dan Hawa bertemu dan saling kenal mengenali (ta’aruf) buat pertama kalinya di sini.
Ada pendapat lain pula mengatakan Malaikat Jibril AS mengajar Nabi Ibrahim AS tentang ibadah haji. 

Sesudah itu Jibril AS bertanya : 
”‘Arafta?” (Kamu sudah tahu?)  

Lalu Nabi Ibrahim AS menjawab :
 “Arraftu” (Aku sudah tahu). 

Maka dinamakan tempat itu Arafah.
Manakala menurut Ibnu Abbas RA, dinamakan Arafah kerana manusia mengetahui dan mengakui dosa dan kesalahannya.

Amalan wukuf di Padang Arafah ini adalah satu perhimpunan besar manusia di padang dengan bahang terik mentari. Perhimpunan ini melambangkan perhimpunan besar yang bakal dihadapi oleh semua umat manusia, untuk menunggu dihisab di padang Mahsyar kelak.
gambar kiri di atas bukit terdapat batu yang berlubang, disitulah  dikatakan tempat di mana Nabi Ibrahim AS menyembelih anaknya Nabi Ismail AS apabila mendapat wahyu dari Allah, kemudian ianya telah ditukarkan dengan seakor kibas.

Ketika Nabi Ibrahim ketiadaan anak, baginda berdoa kepada Allah SWT dengan penuh pengharapan:
Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku (anak) yang termasuk dari orang-orang yang soleh!
~ Surah Al-Saffat 37:100

Maka, Allah SWT mengurniakan baginda seorang putera dengan lahirnya Nabi Ismail:
Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan dengan (kelahiran) seorang anak yang penyabar (Nabi Ismail).
~ Surah Al-Saffat 37:101

Namun kegembiraan Nabi Ibrahim tidak lama akibat seruan da‘wah oleh Allah SWT kepada baginda. Lalu baginda meninggalkan isteri dan putera baginda yang masih kecil di tengah-tengah padang yang tandus bersama-sama doa baginda.
Setelah beberapa tahun kemudian, pulang Nabi Ibrahim ke pangkuan keluarganya, tetapi sekali lagi Allah SWT menguji baginda seperti mana firmanNya:
Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, (Nabi Ibrahim) berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?” (Anaknya) menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu; dengan izin Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.
Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan dia (Nabi Ibrahim) merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah kami),
Serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim!
Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi itu.” Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
~ Surah Al-Saffat 37:105

Ujian ini terlalu berat bagi Nabi Ibrahim yang merupakan bapa kandung Nabi Ismail di samping masa yang begitu singkat bagi baginda sebelum mengenali puteranya yang ditinggal sekian lama. Allah SWT berfirman:
Sesungguhnya (perintah) ini adalah satu ujian yang nyata.
~ Surah Al-Saffat 37:106

Ketika hendak menyembelih Nabi Ismail, Nabi Ibrahim mula sedar bahawanya puteranya itu kurniaan Allah SWT atas permintaan baginda sendiri, maka baginda tiada hak jika Allah SWT sendiri menginginkan kembali nyawa Nabi Ismail yang dikurniakanNya. Saat Nabi Ibrahim menyembelih puteranya, Allah SWT menggantikan Nabi Ismail dengan seekor qibas. FirmanNya:
Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan (kibas) yang besar.
~ Surah Al-Saffat 37:107

Inilah rupa Kibas, ia seakan kambing kampung, tetapi berbulu tebal. Mempunyai ekor yang lebar.
Muzdalifah

Muzdalifah adalah suatu kawasan dari kawasan yang terletak di antara Mina dan Arafah di Arab Saudi. Kawasan ini merupakan sebahagian dari Tanah Haram (Masyair Haram). Umat Islam yang menunaikan ibadah Haji pada bulan Zulhijjah adalah diminta untuk berada di Muzdalifah sekurang-kurangnya dari waktu terbit fajar hari Nahr, tanggal 10 Zulhijjah (menurut ulama Syafi`iah (Syafie) dan Hanabilah boleh dari setengah akhir malam pada hari Nahr) sampai waktu terbit matahari hari Nahr.


Jemaah haji akan berhenti disini sambil mengutip 7 biji batu untuk melontar Jumrah Aqabah, kemudian mereka akan bertolak ke Mina.

Para jemaah kemudian melakukan lontaran batu peringkat pertama sebagai lambang membaling batu ke arah syaitan dan sebahagiannya mengorbankan seekor haiwan untuk disembelih.

Dalam tempoh tinggal tiga hari lagi sebelum musim haji berakhir, para jemaah meneruskan lontaran batu ke tugu batu yang melambangkan kedudukan syaitan.

Pada tahun ini, perkhidmatan kereta api akan membawa jemaah antara Mina dan Padang Arafah melalui Muzdalifah.
Inilah landasan keretapi laju yang akan membawa jemaah haji tahun ini antara Mina dan Padang Arafah. Di katakan ianya adalah rekaan daripada arketek Malaysia.
Rujukan :
http://ms.wikipedia.org/wiki/Jabal_Thawr
http://darahmerdeka.wordpress.com/2009/11/26/haji-yang-terkorban/



 

2 comments:

ogyep yummy mellow said...

Salam Kak Ita,
seronok baca catatan Kak Ita ni.. siap dengan sejarahnya sekali... memang buat homework betul Kak Ita ni... ada sambungannya lagi tak?

Sufaini Bidin said...

welcome back kak..miss u so much

Powered by Blogger.